fbpx

Nuemera tampil menjelaskan tidak bersalah terhadap kebocoran data peribadi PCBS

Minggu lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan di Parlimen, telah memberhentikan perkhidmatan syarikat yang telah dilantik pada tahun 2017 untuk melindungi data peribadi pengguna telefon mudah alih, selepas dikesan berlakunya kebocoran data peribadi pengguna termasuk no kad pengenalan, dari syarikat yang sama. Syarikat tersebut, Nuemera (M) Sdn Bhd hari ini tampil menjelaskan kedudukan mereka dalam masalah ini.

Menurut Nuemera, mereka terpaksa tampil memberi penjelasan fakta berkaitan siasatan kes ini. Semasa siasatan dijalankan pada Oktober 2017, Nuemera telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Siasatan ini tidak sahaja melibatkan Nuemera, malah meliputi SKMM serta syarikat telekomunikasi yang terbabit.

Dalam siasatan yang dijalankan selama 6-bulan itu, PDRM telah melawat kemudahan perkhidmatan Perkhidmatan Sekatan Selular Awam atau Public Cellular Blocking Service (PCBS), yang terletak di Pusat Data SKMM di Cyberjaya. Hasil siasatan PDRM tersebut mendapati, Nuemera tidak melakukan sebarang kesalahan seperti yang diterangkan di dalam surat kepada peguam Nuemera bertarikh 26 April 2018.

Surat tersebut menyatakan, “hasil siasatan mendapati sehingga kini tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Syarikat Nuemera (M) Sdn Bhd serta kakitangan yang terlibat dalam kebocoran atau penjualan data-data di Internet”.

Di sini, Nuemera ingin menjelaskan bahawa kebocoran data yang berlaku bukan berpunca dari Nuemera mahupun sistem PCBS.

Dalam isu berbeza, pemberhentian perkhidmatan Nuemera oleh SKMM sedang dibincangkan di Pusat Timbang Tara Asia Antarabangsa (AIAC) kerana pertikaian kontrak. Dari pihak Nuemera, mereka menjelaskan telah memenuhi tanggungjawab mereka di dalam kontrak. Kerana ia masih dalam perbincangan, Nuemera tidak dapat memberi ulasan lanjut mengenainya.

SKMM pula hanya menyatakan pemberhentian khidmat Nuemera dan tidak mengulas lanjut apakah tindakan yang diambil terhadap Nuemerea. SKMM juga tidak memberitahu apa yang berlaku terhadap sistem PCBS, sama ada diteruskan lagi atau tidak.

BACA  Oppo F11 Pro diturunkan harga kepada tiga angka

PCBS ialah satu inisiatif SKMM untuk menyediakan perkhidmatan yang membenarkan mangsa kecurian atau kehilangan telefon mudah alih, menghalang telefon tersebut dari digunakan untuk membuat panggilan, SMS atau akses internet walaupun kad SIM ditukar. Ia menggunakan nombor IMEI di telefon mudah alih untuk membuat sekatan.