Telefon Realme berkuasa Snapdragon 855+ di bawah RM2000?

Realme Malaysia akhirnya mengesahkan telefon pintar paling berkuasa dari mereka, X2 Pro akan tiba di Malaysia minggu depan. Tarikh pelancarannya telah ditetapkan pada hari Isnin, 2 Disember 2019.

Minggu lepas, Realme Malaysia telah mengadakan kempen SHARE NOW to WIN Realme X2 Pro di Facebook rasmi mereka. Kempen ini bertujuan mahu mencapai 10,000 perkongsian tetapi hanya mencapai sekitar 8,300 share sahaja pada tarikh tutup, 23 November 2019. Tetapi mereka melanjutkannya lagi sehingga 26 November 2019 dan kini telah mencecah lebih 11,000 share. Jika anda masih belum menyertai, segeralah ke Facebook Realme Malaysia untuk peluang memenangi Realme X2 Pro.

Untuk anggaran harga, kita boleh membandingkannya dengan Eropah kerana harga Realme X2 Pro telah diumumkan di sana. Sebelum itu, cuba bandingkan harga Realme 5 Pro di Eropah dan Malaysia.

  • Eropah, Realme 5 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – EUR249 (~RM1,145)
  • Malaysia, Realme 5 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM1,099

Harga di atas menunjukkan telefon pintar Realme 5 Pro di Eropah lebih mahal ~5% dari harga di Malaysia. Jika kita menggunakan anggaran perbezaan 5% ini, harga untuk Realme X2 Pro di Malaysia mungkin seperti begini:

  • Realme X2 Pro (6GB+64GB) – EUR399 (~RM1,845) -5% = ~RM1,752
  • Realme X2 Pro (8GB+128GB) – EUR449 (~RM2,076) -5% = ~RM1,972
  • Realme X2 Pro (12GB+256GB) – EUR499 (~RM2,308) -5% = ~RM2,192

Adakah Realme Malaysia akan menjual versi terendah Realme X2 Pro di bawah RM2,000? Lebih tepat lagi, adakah Realme akan membawanya ke Malaysia? Ini kerana Realme 5 Pro hanya ada 1 versi di Malaysia sedangkan terdapat 2 versi di Eropah.

Kita tunggu pengumuman rasmi dari Realme Malaysia dalam majlis pelancarannya minggu depan.

BACA  Realme teruskan pelancaran X50 Pro 5G pada 24 Februari di lokasi berbeza

Untuk yang belum kenal, Realme X2 Pro adalah model pertama Realme yang dibekalkan pemproses Qualcomm kelas flagship, Snapdragon 855+ bersama RAM sehingga 12GB serta storan dalaman sehingga 256GB dari jenis UFS3.0.

Skrinnya sebesar 6.5-inci dari jenis Super AMOLED dengan kadar refresh rate sehingga 90Hz serta takuk kecil yang memuatkan kamera hadapan 16MP. Paparan ini dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5 serta pengimbas capjari di dalam skrin. Malah ia diapit oleh pembesar suara stereo di atas dan bawah telefon dengan teknologi Dolby Atmos. Jek audio 3.5mm juga masih terdapat padanya.

Untuk kamera, Realme X2 Pro menggunakan empat kamera belakang. Kamera utamanya 64MP F1.8 dari sensor Samsung GW1, bersama kamera telefoto 13MP F2.5 yang berupaya mengezum hibrid 20x, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera pengesan kedalaman 2MP.

Bateri di dalamnya berkapasiti 4,000mAh dan menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 50W melalui sambungan USB-C. Ia boleh mengecas penuh telefon dalam masa 35 minit sahaja.