Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Realme X2 Pro: Buka Kotak & Hands-on

Realme adalah satu jenama yang sedang viral dalam industri telefon pintar ketika ini. Di India saja, mereka mencatatkan pertumbuhan 400% dalam suku-3 tahun 2019. Di Malaysia, ia sinonim dengan penawaran telefon berspesifikasi mantap pada harga sangat kompetetif. Sangat kompetetif sehinggakan pengguna kini ada pilihan dan bukan lagi hanya Xiaomi saja untuk produk harga patut.

Setelah beberapa ketika pengguna Malaysia dimanjakan dengan model seperti siri Realme 3 dan Realme 5, jenama yang kini berada dalam arus perdana itu bersiap sedia untuk terjah awan yang lebih tinggi. Realme X2 Pro dijangkakan beri saingan sengit kepada model-model kelas flagship dengan penawaran produk berspesifikasi tinggi.

Melihat pada trend Realme meletakkan produk-produk sedia ada mereka dalam pasaran hari ini, mereka berpotensi cerah untuk menjadi flagship killer sekiranya formula yang pernah digunakan OnePlus satu ketika dulu diguna pakai.

Mudah saja formulanya, spesifikasi tinggi pada harga midrange. Ketika artikel ini dihasilkan, maklumat tentang harga Realme X2 Pro masih belum didedahkan, namun sementera menunggu pelancarannya, bolehlah kita lihat apakah kandungan yang ada dalam sekotak Realme X2 Pro untuk jadi halwa mata sebelum mendapatkan seunit telefon itu di hari jualannya.

Telefon yang hampir sempurna

Biasanya produk sulung premium akan diberkan kotak yang lain daripada lain. Tapi, kotak Realme X2 Pro tiada apa yang menarik pun untuk tunjukkan apa yang terkandung dalamnya mungkin ialah flagship killer yang seterusnya.

Dalam kotak, anda akan terima casing lutsinar mudah lentur, kepala pengecas SuperVOOC 50W dan seutas kabel USB-C khas untuk aktifkan SuperVOOC. Seperti biasa, anda tak boleh hilangkan kabel ini sekiranya ingin nikmati quick charge sepantas mungkin.

BACA  Saya cuba Photoshop Camera dan ia APP yang "berhantu"

Walaupun Realme X2 Pro ada jek audio 3.5mm, tiada earfon percuma diberikan tapi saya tak rasakan itu masalah besar sebab kalau diberikan sekalipun, belum tentu ia daripada kualiti tinggi. Lebih baik Realme salurkan sumber yang ada kepada telefon itu sendiri berbanding menyediakan aksesori tambahan.

Inilah Realme X2 Pro.

Daripada segi rekaan, ia nyata lebih baik daripada mana-mana telefon Realme sebelum ini. Bukan saja belakang dan depan telefon ini dilapisi kaca Corning Gorilla, estetikanya saya rasakan lebih tinggi. Misalnya pada pertemuan panel paparan dengan panel belakang. Pada Realme 3 dan Realme 5, saya anggapnya sebagai tak kemas kerana tidak sejadi, sebaliknya di X2 Pro isu itu sangat minimum.

Realme X2 Pro
Realme 5 Pro

Bahagian mukanya ada panel OLED sebesar 6.5”. Ini adalah produk kedua Realme yang gunakan panel OLED selepas Realme XT. Tapi panel pada X2 Pro lebih baik sebab miliki refresh rate 90Hz yang biasanya ditemui pada telefon-telefon yang dikhususkan untuk gaming.

Antara telefon yang ada panel seperti ini ialah seperti Razer Phone 1, ROG Phone 1, BlackShark 2 Pro, dan seangkatan dengannya. Kelebihan ada panel dengan refresh rate tinggi adalah paparan yang lebih selesa untuk dipandang apabila kesan motion blur nyata dikurangkan berbanding kebiasaan.

ROG Phone 2
Nubia Red Magic 3S
Black Shark 2 Pro

Penggunaan OLED dimanfaatkan sepenuhnya apabila selain cara menyahkunci gunakan wajah, pengimbas cap jari juga hadir disebalik paparan sebagai alternatif kepada mekanisme pengecaman biometrik.

Sejurus keluar kotak, Realme X2 Pro menjalankan ColorOS yang melapisi Android 9 Pie. Selain jek audio 3.5mm, harus juga dipuji ciri stereo speaker pada telefon ini. Kalau anda ber-gaming tanpa headfon sekalipun, audio yang keluar daripada speaker terbina adalah jelas dengan bass lebih lunak berbanding telefon dengan ekaspeaker.

BACA  Peranti 5G pertama Realme akan dilancar di Malaysia minggu hadapan

Di bahagian spesifkasi mentah, telefon ini boleh dikatakan duduk sebaris dengan model seperti ROG Phone 2, Nubia Red Magic 3S, dan BlackShark 2 Pro. Mereka ini adalah nama-nama besar dalam kategori flagship kerana pada setiap mereka ada SoC Snapdragon 855+. Tak perlu dipertikai lagi prestasi gaming pada Realme X2 Pro kerana ia pastinya hebat.

Menemani cip hebat itu adalah RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 256GB. Ada satu sentuhan halus daripada pengeluarnya pada bahagian storan. Ada tiga keluasan storan disediakan iaitu 64GB, 128GB, dan 256GB. Dua storan tertinggi telefon ini menggunakan piawaian UFS 3.0 manakala yang 64GB gunakan UFS 2.1.

Secara ringkasnya UFS 3.0 lebih baik daripada segi halaju read/write yang lebih pantas serta penggunaan tenaga yang cekap. Secara teorinya, hayat bateri akan jadi lebih panjang disamping prestasi bateri yang lebih baik.

Realme jarang kedekut di bahagian bateri. Hampir keseluruhan penawaran telefon mereka miliki sekurang-kurangnya 4,000mAh tenaga dalam baterinya dan telefon kali ini tidak terkecuali. Pengeluarnya menggunakan mekanisme dwibateri seperti yang digunakan OPPO pada R17 Pro. Hal ini bermakna, ada dua keping bateri 2,000mAh dalam badan X2 Pro.

Ia membolehkan Realme menyuntik teknologi SuperVOOC 50W untuk pengecasan superpantas, antara yang terpantas dalam industri setakat ini. Di R17 Pro, saya ambil masa 35 minit saja untuk mengisi bateri 3,750mAh yang dimilikinya. Jangkakan tempoh yang hampir serupa untuk Realme X2 Pro.

Di bahagian pengimejan, ia dilengkapi kuadkamera belakang dan ekakamera depan, spesifikasi yang serupa boleh anda temui pada Realme XT. Pada kamera utama, telefon ini diberikan sensor Samsung GW1 64MP. Tiga baki kamera belakang lain masing-masing ialah 13MP (telefoto), 8MP (ultralebar), dan 2MP (potret). Swafoto boleh diambil menggunakan kamera selfie 16MP.

BACA  Hands on Samsung Galaxy A31, kurang padu walaupun ada Super AMOLED dan NFC

Bahagian kamera Realme X2 Pro adalah biasa dan releven dengan telefon-telefon 2019 yang lain. Berikut adalah beberapa sampel gambar daripada lensa telefon ini.

Kesimpulannya

Realme X2 Pro adalah sebuah pendatang baru yang patut digeruni pesaingnya. Spesifikasi mentahnya saja sudah cukup menunjukkan Realme tak main-main terutama pada SoC Snapdragon 855+ beserta kapasiti RAM dan storan yang tinggi.

Realme tak berhenti di situ, X2 Pro diberikan pula panel paparan OLED dengan refresh rate 90Hz. Jangan mimpilah untuk temui panel ini pada telefon flagship Xiaomi seperti Pocophone ataupun Mi.

Speaker stereo dengan jek audio 3.5mm tersedia sebagai alternatif juga amat dialu-alukan untuk menambah baik pengalaman melayani kandungan multimedia anda. Bahagian bateri juga tak ketinggalan, ia ada bateri besar 4,200mAh dengan SuperVOOC 50W yang pasti jadikan X2 Pro kekal menyala sepanjang hari tanpa masalah.

Rekaan telefon ini nyata ditambah baik daripada produk-produk sebelum ini. Saya banyak kali berikan komen pada bahagian kemasan yang menyabung panel paparan dengan badannya yang nampak macam tak ngam. Kombinasi kuadkamera belakang 48MP dan ekakamera selfie 16MP adalah releven untuk telefon 2019. Ia cukup untuk berikan penggunanya prestasi pengimejan yang baik.

Pendek kata, Realme X2 Pro adalah sebuah telefon yang hampir sempurna. Kepingan jigsaw puzzle yang masih kita tiada adalah harga. Saya boleh katakan yang tanda harga bermula RM2,500 ke bawah adalah munasabah sekiranya ingin merebut gelaran flagship killer.

Untuk perbandingan, BlackShark 2 Pro dijual pada harga bermula RM2,499, Nubia Red Magic 3S bermula RM2,299 manakala ROG Phone 2 diletakkan pada RM3,499. Jadi tak banyak alternatif untuk telefon Snapdragon 855+ dalam lingkunngan harga RM2,500 yang tentu sekali perlu dimanfaatkan oleh Realme.