fbpx

Realme 5 Pro: Buka Kotak & Hands-on

Realme adalah sebuah syarikat junior, jika dibandingkan dengan pengeluar telefon lain. Sungguhpun begitu, mereka ada penawaran telefon pintar yang agak ekstensif meliputi kategori permulaan hinggalah flagship. Di Malaysia, sekurang-kurangnya 6 produk Realme boleh dibeli dalam pasaran, daripada Realme C2 hinggalah Realme 3 Pro.

Tak lama lagi, akan ada ahli baru yang akan memperkukuh keududukan Realme dalam arena telefon kelas pertengahan negara kita. Realme 5 Pro kemaskini kepada Realme 3 Pro dengan beberapa penambahbaikan yang menarik. Untuk meneliti apakah pembaharuan itu, kita ada sekotak Realme 5 Pro untuk dibuka.

Selepas menukar cogan kata mereka daripada “Proud To Be Young” kepada “Dare To Leap”, Realme juga dikesan menukar gaya kotak produk mereka. Realme 5 Pro kali ini, dia hadir dalam kotak warna putih.

Apa ada dalam kotak?

Dalamnya, selain telefon itu sendiri, ada beberapa benda yang akan anda temui seperti casing lutsinar, pengecas VOOC, dan kabel USB-C. Ya, memang benar, kabel USB-C seperti yang dipinta ramai anda. Malangnya, walaupun telefon ini ada jek audio 3.5mm, Realme tidak pula menyertakan earfone secara percuma.

Realme 5 Pro masih kekalkan rekaan Realme 3 Pro contohnya pada footprint. Kalau anda tak biasa, pasti sukar untuk bezakan antara dua telefon ini. Cara nak bezakan 5 Pro daripada 3 Pro adalah pada kuadkamera belakang dan kemasan plastiknya. Kali ini, Realme katakan yang mereka terapkan rekaan diamond cut berbanding corak berjalur pada edisi terdahulu.

Semasa memegang telefon, memang takkan syak lagi dibina daripada materi plastik sebahagian besarnya. Tapi, jika telefon ini diletakkan pada paras harga Realme 3 Pro, tak adil untuk mengecam telefon ini hanya kerana kemasan badannya.

BACA  Hands-on: Apa yang anda dapat bila langgan Astro Ultra?

Tapi dalam ada satu perkara yang saya nak adu tentang telefon ini iaitu pada bahagian kelim tempat panel belakang badan bercantum dengan paparan. Ia adalah rekaan yang diwarisi daripada Realme 3 Pro dan ia nampak pelik. Ia seperti Realme tersalah beri ukuran dimensi pada pengilang dan hasilnya paparan seperti tersembul keluar daripada panel belakang.

Kelihatan paparan Realme 5 Pro tersembul keluar daripada panel belakang

Saya ambil satu contoh telefon yang turut berada dalam kelas midrange macam Realme 5 Pro ini. Huawei Y9 (2019) ini, tempat panel belakang dan paparannya bertemu menghasilkan hampir sifar kelim.

Contoh rekaan yang kemas daripada Huawei Y9 (2019)

Selain daripada isu itu, saya tiada masalah dengan rekaan telefon ini. Kedudukan butang kuasa dan bunyi yang bersetentang antara satu sama lain adalah baik sebab kombo butang untuk ambil screenshot adalah lebih mudah dengan cara ini.

Apa ada dalam Realme 5 Pro?

Biarpun bahagian luar nampak sama seperti sebelumnya, Realme menambah baik beberapa perkara daripada Realme 3 Pro untuk menghasilkan Realme 5 Pro.

Yang pertama adalah SoC kali ini lebih segar. Snapdragon 712 berbeza daripada 710 yang digunakan sebelum ini pada clockspeed yang lebih tinggi.

Lagi bahagian yang dikemas kini adalah pada konfigurasi RAM-nya. Generasi kali ini memperlihatkan Realme membubuh RAM sehingga 8GB yang tentunya dialu-alukan peminatnya lebih-lebih lagi menjelang tahun 2020 yang saya rasakan 6GB adalah had minimum RAM untuk Android beroperasi dengan lancar.

Apabila keluar kotak, Realme 5 Pro menjalankan sistem operasi ColorOS 6 berasaskan Android 9. Harapnya telefon ini akan dapat kemaskini Android 10 secepat mungkin kerana penyakit tak dapat kemas kini sistem operasi adalah yang merencatkan orang ramai daripada mendapatkan telefon bajet.

Jabatan kamera adalah bahagian yang nyata dinaik taraf. Anda dapat empat buah kamera belakang dengan kombinasi kamera 48MP, 8MP (ultralebar), 2MP (makro), dan 2MP (bokeh).

BACA  Realme X2 Pro Mungkin Berharga Sekitar RM2,300 Atas Sebab Ini

Kamera depan Realme 5 Pro saya lihat bilangan megapikselnya adalah rendah berbanding sebelumnya. tapi ia gunakan sensor IMX 471, komponen yang sama boleh anda jumpa dalam kamera selfie OnePlus 7 Pro. Maka anda boleh jangkakan kualiti gambar selfie bagaimana yang bakal anda perolehi.

Yang saya suka telefon ini adalah, ia menyediakan 2 slot kad SIM dan 1 slot kad mikro-SD. Semuanya boleh digunakan serentak dan telefon ini menyokong kad SD sehingga 256GB luasnya.

Bahagian bateri saya dapati tiada apa-apa pembaharuan dilakukan. Ia masih dikenakan bateri besar sedikit daripada 4,000mAh dan menyokong VOOC 3.0. VOOC 3.0 bekerja pada kadar 20W untuk mengalirkan arus masuk ke dalam bateri. Tapi kali ini, Realme menggunakan port USB-C untuk mengecas yang tentunya mendapat pujian ramai.

Berikut adalah spesfikasi teknikal Realme 5 Pro dibandingkan dengan Realme 3 Pro.

Kesimpulan

Realme membawakan kemas kini yang dialu-alukan pada Realme 5 Pro. Walaupun rekaan nampak sama, tapi bahagian-bahagian pentingnya terima pembaharuan. Realme 5 Pro ada:

  • SoC baru yang lebih tinggi clockspeed
  • konfigurasi RAM 8GB, paling tinggi setakat ini dalam penawaran mereka
  • kuadkamera yang versatil

Dalam kelasnya, tak ramai yang boleh menyaingi apa yang ditawarkan telefon ini. Xiaomi Mi A3 adalah baik, cumanya paparan HD+ saja. Huawei siri Y dan Samsung siri A juga ada dalam kelas ini tapi masing-masing tak gunakan SoC Snapdragon yang tentunya mendapat pandangan sini pengguna kebanyakkan. Yang ada pun ,mungkin Mi 9 Lite, tapi itu pun kalau ia tiba di Malaysia.

Xiaomi Mi A3
Samsung Galaxy A30s dan A50s
Xiaomi Mi 9 Lite

Realme 5 Pro dijadualkan pengumumannya dalam pasaran Malaysia pada 3 Oktober 2019 ini. Untuk harga, ia sepatutnya berada di sekitar Realme 3 Pro sewaktu dilancarkan.

Sewaktu diumumkan, varian Realme 3 Pro hadir dalam dua perisa, 4GB+64GB dijual pada harga RM899 manakala 6GB+128GB dijual pada harga RM1,099. Tapi, sekarang Realme 3 Pro yang paling mahal itu sudah berada di tangga RM999 yang tentunya beri ruang yang selesa untuk Realme 5 Pro menyelit.