Satu lagi telefon pintar yang lebih baik dari Galaxy S10e akan diumumkan

Kita baru sahaja mendengar berita bahawa Galaxy Note 10 Lite mungkin akan diperkenalkan tahun hadapan. Ketibaannya mungkin tidak berseorangan kerana dikhabarkan, ia akan ditemani oleh satu lagi model baru, Galaxy S10 Lite.

Siri Galaxy S10 yang dilancarkan pada awal tahun 2019 menampilkan tiga model iaitu Galaxy S10, Galaxy S10+ dan Galaxy S10e sebagai model paling kurang berkuasa. Bagaimanapun, Galaxy S10 Lite yang akan dilancarkan ini dilihat lebih baik dari Galaxy S10e.

Perkara ini didedahkan oleh laman WinFuture yang sering membocorkan berita dengan tepat. Menurut mereka, Galaxy S10 Lite dan Galaxy Note 10 Lite akan dilancarkan di Eropah tidak lama lagi. Walaupun masih tiada gambar dikongsikan, beberapa maklumat teknikal telah mereka temui, antaranya ialah ia akan menggunakan nombor model SM-G770F.

Dalam maklumat itu lagi, Galaxy S10 Lite akan memiliki skrin Super AMOLED berukuran 6.7-inci dengan resolusi HD Penuh. Terdapat lubang di tengah atas skrin, sama seperti di siri Galaxy Note 10.

Satu perkara besar yang membezakannya dari siri Galaxy S10 ialah Galaxy S10 Lite ini akan menggunakan cip Snapdragon 855, bukannya Exynos 9820. Kebiasaannya, pasaran Eropah dan Asia akan menerima pemproses Exynos manakala pasaran Amerika menggunakan Snapdragon.

Selain itu, Galaxy S10 Lite ini akan disertakan RAM sebanyak 8GB dan storan dalaman 128GB. Samsung dikatakan akan mengekalkan slot kad mikroSD pada Galaxy S10 Lite.

Perbezaan ketara yang dilihat kelebihan pada Galaxy S10 Lite ialah kamera belakangnya. Sementara Galaxy S10e hanya ada dua kamera, Galaxy S10 Lite akan dilengkapi tiga kamera belakang. Ia menggunakan kamera utama 48MP F2.0 bersama penstabil imej optikal yang boleh dicondongkan, dipanggil sebagai tilt-OIS, atau tOIS. Kamera seterusnya ialah kamera ultra lebar 12MP F2.2 dan kamera ketiga pula kamera makro 5MP F2.4. Untuk kamera hadapan, ia menggunakan kamera 32MP F2.2 yang dimuatkan di dalam lubang di atas skrin.

BACA  Video Hands-on Galaxy Z Flip Boleh Anda Tonton Sekarang

Kelebihan ini diteruskan lagi apabila Galaxy S10 Lite akan dipasang dengan bateri 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 45W melalui USB-C. Terdapat tiga warna akan disediakan iaitu hitam, putih dan biru. Telefon ini akan menjalankan sistem operasi Android 10 bersama antaramuka Samsung One UI 2.0 siap keluar dari kotak.

WinFuture turut menyatakan, harga rasmi untuk Galaxy S10 Lite di Eropah telah ditetapkan pada EUR679.99 (~RM3,121). Harga ini sebenarnya lebih rendah dari Galaxy S10e yang dijual di Eropah sekarang pada EUR759 (~RM3,483). Jadi, jika Galaxy S10 Lite dijual di Malaysia, ia pasti akan diletakkan di bawah paras RM3,000 juga.

Memang jelas Galaxy S10 Lite ini lebih baik dari Galaxy S10e. Adakah Samsung akan membiarkan harganya sebegitu? Kita nantikan dulu pengumuman rasminya.

Sumber: Sammobile, WinFuture