fbpx

ASUS ROG Phone II Strix Edition tiba untuk penuhi permintaan peminat di Malaysia

Semasa ASUS pertama melancarkan telefon pintar ROG Phone II di China, ia memperkenalkan Tencent Edition dengan harga RMB3,499 (~RM2,095) sahaja. Tetapi apabila dilancarkan di Malaysia, harga termurah yang dijual ialah versi Elite yang berharga RM3,499. Ketika itu, menurut ASUS Malaysia mereka hanya membawa versi terhebat yang mengandungi RAM 12GB, pengecas 30W bersama aksesori AeroCooler di dalam kotak.

Kini permintaan peminat telah dikabulkan. ASUS Malaysia kini membawakan ROG Phone II Strix Edition yang berharga RM2,499 sahaja, tetapi dengan beberapa perkara terpaksa dikorbankan.

Versi yang lebih murah ini memiliki RAM hanya 8GB, berbanding 12GB pada versi Elite (RM3,499) dan Ultimate (RM4,499). Storannya juga lebih kecil, hanya 128GB. Tetapi lain-lain perkara adalah sama. Pembeli Edisi Strix juga akan menerima perkakas Aero Case, penyejuk AeroActive Cooler II dan pengecas 30W bersama kabel USB-C ke USB-C.

Kipas Penyejuk AeroActive Cooler II

ROG Phone II memiliki skrin berukuran 6.59-inci dari jenis AMOLED, dengan refresh rate 120Hz dan resolus HD Penuh. Skrin ini tiada takuk dan lubang kerana ASUS mengekalkan bingkai tebal untuk meletakkan kamera hadapan. Ini juga memberikan pengguna ruang menggenggam telefon tanpa tersentuh skrin. Bingkai tebal ini juga memuatkan pembesar suara stereo, menambah pengalaman bermain permainan video yang lebih mengasyikkan.

Kuasa telefon ini digerakkan oleh pemproses Snapdragon 855+, cip terbaik untuk telefon pintar pada tahun 2019. Ia datang bersama RAM 8GB atau 12GB, dan pilihan storan sehingga 1TB.

Untuk telefon sebesar ini, ia ada bateri superbesar 6,000mAh. Ia dicas pantas menggunakan piawaian QuickCharge 4.0 dan juga Power Direct (PD). Dalam kotak, pengecas 30W disediakan yang dikatakan mampu mengisi 66% bateri, kurang daripada sejam. Menariknya, telefon ini memiliki dua port USB-C untuk dipadankan dengan pelbagai aksesori tambahan.

BACA  Realme Buds Air dan Realme 5i akan dilancarkan di Malaysia pada 14 Januari

Sebagai telefon pintar, ia turut dilengkapi kamera. Di hadapan, terdapat kamera 24MP di atas skrin dan di belakang pula, ada dua kamera iaitu kamera utama 48MP dan kamera ultra lebar 13MP. Sebagai telefon gaming pula, telefon ini memiliki butang tambahan AirTrigger di sisi.

Bagi menjadikan pengalaman bermain permainan video yang lebih tinggi, pengguna boleh menambah pelbagai aksesori tambahan seperti Mobile Desktop Dock, TwinView Dock 2, Pro Dock, WiGig Display Dock Plus, ROG Kunai GamePad dan banyak lagi.

Kenali ASUS ROG Phone II lebih lanjut menerusi video kami di bawah ini.