Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Pelancaran global Xiaomi Mi 10 dan Oppo Find X2 ditangguhkan akibat pembatalan MWC

Selepas banyak syarikat menarik diri dari menyertai MWC 2020 untuk mengelakkan penyebaran wabak COVID-19, penganjurnya GSMA mengumumkan terpaksa membatalkan acara tersebut semalam. Disebabkan itu, syarikat yang sebelum ini komited untuk meneruskan pelancaran produk baru mereka di MWC 2020, turut sama menyatakan penangguhan acara mereka. Antaranya ialah Xioami dan Oppo.

Xiaomi Mi 10

Menerusi kenyataan rasmi di media sosial, Xiaomi menyatakan mereka memahami keputusan yang diambil GSMA untuk membatalkan MWC 2020. Bagi memastikan keselamatan pekerja, rakan niaga, media dan orang ramai, Xiaomi juga akan menangguhkan majlis pelancaran yang dirancang di MWC, ke lokasi berbeza di Eropah pada satu tarikh yang lain.

Xiaomi pada awalnya merancang untuk membuat pelancaran antarabangsa Mi 10 pada 23 Februari 2020, sehari sebelum acara MWC 2020 bermula. Ia telah dilancarkan di China semalam, dalam satu acara kecil dan disiarkan secara strim dalam talian.

Terdapat dua model yang dilancarkan iaitu Mi 10 dan Mi 10 Pro, dengan harga lebih tinggi dari model sebelumnya. Kedua-dua telefon ini dikuasakan pemproses Snapdragon 865 5G, RAM LPDDR5, storan UFS3.0 bersama skrin AMOLED 6.67-inci 90Hz dengan resolusi HD Penuh. Perbezaannya terletak di kamera belakang, bateri dan kuasa pengecasan pantasnya. Maklumat lanjut mengenai spesifikasi kedua-dua telefon ini boleh dirujuk di sini.

Oppo Find X2

Oppo pula merancang untuk melancarkan Find X2 dua hari sebelum MWC 2020 bermula, iaitu 22 Februari 2020. Acara pelancaran ini turut ditangguhkan ke bulan Mac 2020. Oppo telah menghantar kenyataan rasmi berkenaan penangguhan ini kepada media, seperti berikut:

Oppo respects and understands GSMA’s decision to cancel the MWC Barcelona 2020 event. After serious consideration, we have also decided to reschedule the Oppo Find X2 Global Launch event, originally scheduled on 22nd February. As of now, the event will be rescheduled for March and more information will be shared soon. Thank you for your continued support, and we kindly look forward to unveiling our latest flagship 5G smartphone in the near future.

Kenyataan tersebut secara ringkas menyatakan, Oppo menghormati dan memahami keputusan GSMA membatalkan MWC 2020. Selepas mengambil kira pelbagai sudut, Oppo turut menangguhkan majlis pelancaran global Find X2 ke bulan Mac. Maklumat lanjut akan dikongsi tidak lama lagi.

BACA  Ini rupa sebenar 4 model baru iPhone 12

Find X2 dilaporkan akan dikuasakan pemproses baru Snapdragon 865, bersama skrin 2K 120hz. Menariknya, ia telah menerima pengesahan SIRIM dalam dua model, Find X2 4G serta Find X2 Pro 5G.