Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Realme C3 dengan tiga kamera dan pengimbas capjari kian menghampiri Malaysia

Realme Indonesia sore ini melancarkan telefon pintar bajet terbaru mereka, Realme C3. Walaupun model ini telah dilancarkan di India, Realme C3 yang dilancarkan di Indonesia ini memiliki beberapa perbezaan ketara. Pendek kata, Realme C3 di Indonesia adalah lebih baik dari Realme C3 di India.

Kuasa Realme C3 digerakkan oleh cip terbaru Mediatek yang difokuskan untuk bermain game, Helio G70. Menurut Realme, ia menerima markah di ujian aras AnTuTu yang lebih tinggi dari Snapdragon 665 di Redmi Note 8. Di Indonesia, hanya ada satu variasi iaitu RAM 3GB dan storan dalaman 32GB.

Skrin telefon ini berukuran 6.5-inci bertakuk kecil, dengan resolusi HD+. Bateri di dalamnya sangat besar, berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan 10W melalui mikroUSB.

Perbezaan ketara antara Realme C3 India dan Indonesia adalah di belakang. Versi India hanya ada dua kamera belakang tanpa pengimbas capjari, tetapi di Indonesia terdapat tiga kamera belakang bersama pengimbas capjari. Kamera belakang ini ialah kamera utama 12MP F1.8, kamera makro F2.4 dan kamera potret 2MP. Kamera hadapan pula ialah kamera 5MP F2.4.

Realme C3 juga adalah telefon pertama dari Realme yang menggunakan antaramuka Realme UI, berasaskan Android 10. Telefon ini datang dengan tiga slot kad, dua slot untuk kad sim dan satu slot kad mikroSD. Ia juga masih ada jek audio 3.5mm.

Terdapat dua warna disediakan untuk Realme C3, merah dan biru. Ia memiliki kemasan matte dengan warna gradien seakan pancaran cahaya matahari.

Realme C3 akan dijual di Indonesia bermula hari ini, pada harga IDR1.699.000 (~RM516) dengan RAM 3GB dan storan 32GB. Tetapi khas untuk hari ini sahaja, ia diberi diskaun IDR150.000 menjadikan harganya cuma IDR1.549.000 (~RM470).

BACA  Pelanggan Celcom di seluruh negara berdepan gangguan internet pagi ini

Masih belum ada berita tentang kedatangannya ke Malaysia. Memandangkan harga jualan Realme C3 sama dengan Realme C2 ketika dilancarkan tahun lepas iaitu IDR1.699.000, maka kami jangka harga jualannya di Malaysia juga boleh kekal sama iaitu RM499.

Bagaimanapun, kita perlu tunggu pengumuman rasmi dari Realme Malaysia dahulu. Harapnya cepatlah ia dilancarkan di sini.