Tempahan awal untuk siri Galaxy S20 di Malaysia telah dibuka dari 12 hingga 26 Februari 2020. Dari pengumuman ini, kita mengetahui bahawa hanya Galaxy S20 Ultra memiliki sokongan rangkaian 5G. Bagi Galaxy S20 dan S20+, hanyalah sehingga rangkaian 4G LTE.
Semakan pengesahan Galaxy S20 Ultra di SIRIM menunjukkan senarai jalur rangkaian yang disokong. Menggunakan nombor model SM-G988B/DS, ia menyenaraikan 5G dengan dua jalur, 3500 (3.5Ghz) dan 3700 (3.7Ghz). Ia tiada jalur 700Mhz seperti yang ada di Huawei Mate 30 Pro 5G dan Oppo Find X2 Pro.
Apa pentingnya 700MHz?
Awal tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menetapkan penggunaan spektrum 700MHz, 3.5GHz, 26GHz and 28GHz untuk kegunaan rangkaian 5G di Malaysia. Syarikat telekomunikasi dijangka akan menggunakan spektrum 700MHz dan 3.5GHz untuk talian mudahalih kerana ia menawarkan kapasiti dan liputan yang baik dan seimbang.
Sementara penggunaan jalur 3.5GHz boleh memberikan kepantasan tinggi mencecah lebih 1Gbps, ia memiliki jarak liputan yang lebih kecil berbanding 700MHz. Bermakna, pengguna terpaksa bergantung kepada rangkaian 4G di kawasan luar bandar dan kurang penduduk.
Dalam salah satu demo 5G di Langkawi, TM merupakan syarikat telekomunikasi pertama yang berjaya menguji rangkaian 5G SA di jalur 700MHz dan 3.5GHz serentak. TM turut berkongsi bagaimana sambungan jalur 3.5GHz menawarkan kapasiti lebih tinggi untuk menyokong pengguna yang lebih ramai di kawasan berkepadatan tinggi, sementara jalur 700MHz membantu meluaskan liputan 5G.
TM turut menyatakan, satu stesen 5G 700MHz secara teorinya boleh meliputi kawasan seluas 10km. Ia sesuai untuk pemasangan di kawasan luar bandar yang kurang padar manusia. Tetapi ia memiliki kapasiti lebih rendah, menjadikan kelajuannya menurun ke sekitar 200Mbps. Ini masih lebih baik dari 4G.
Untuk jalur 26GHz dan 28GHz pula, walaupun ia menawarkan lebih kapasiti tetapi liputannya sangat terhad. Malah, ia tidak boleh menembusi dinding. Dengan cuaca di Malaysia yang sering hujan dan lembap, ia juga mudah terganggu.
Dengan tanda harga RM4,999 bagi Galaxy S20 Ultra, sukar untuk menemui titik mesti beli baginya memandangkan ia datang dengan storan 128GB sahaja. Perbezaan harga RM1,000 berbanding Galaxy S20+ juga terlalu besar memandangkan ia berbeza di kamera, RAM dan 5G sahaja.
Adakah ini pilihan untuk telefon 5G pertama anda atau menunggu ketibaan telefon 5G lain dengan sokongan 700Mhz dan 3.5Ghz? Jangan lupa, rangkaian 5G di Malaysia dijangka akan mula dikomersialkan sekitar suku ketiga 2020 dan akan mengambil masa diluaskan ke seluruh Malaysia. Pada waktu itu, mungkin dah datang Galaxy S30.
Sumber: SoyaCincau