Sejak dikenakan sekatan oleh kerajaan Amerika Syarikat, Huawei dan jenama di bawahnya Honor, tidak lagi boleh melengkapkan peranti terbaru mereka dengan aplikasi dan perkhidmatan dari Google Mobile Servies (GMS) seperti Google Playstore, YouTube, Maps, Mail dan sebagainya. Untuk mengatasi masalah ini, Huawei memperkenalkan Huawei Mobile Services (HMS).
Walaupun begitu, masih terdapat cara untuk memasang Google Playstore ke dalam peranti baru Huawei dan Honor yang tidak memiliki GMS. Tetapi cara ini tidak rasmi dan Google menyarankan agar pengguna tidak mencuba cara tersebut. Saranan Google ini dipaparkan di laman Android Help Community selepas Google menerima banyak persoalan berkenaannya.
Menurut Google, aplikasi dan perkhidmatannya tidak terdapat di peranti baru Huawei kerana sekatan kerajaan Amerika. Hanya peranti yang memiliki pengesahan Google Play Protect sahaja yang dibenarkan menggunakan Google Play Store, Google Play Protect dan aplikasi Google. Ini sebagai langkah keselamatan bagi memastikan data peribadi dan keselamatan pengguna terjaga.
Google juga menekankan, pengesahan Play Protect di peranti telah melalui ujian keselamatan dan keserasian yang ketat untuk memastikan keselamatan data dan aplikasi pengguna sentiasa terjaga. Malah, semua peranti ini dipasang siap dengan perisian Google Play Protect dari kilang, yang memberikan perlindungan agar keselamatan peranti tidak terjejas selepas itu.
Kerajaan Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan kepada Huawei tahun lepas dan mana-mana peranti yang dihasilkan selepas 16 Mei 2019, tidak lagi boleh menerima pengesahan Google. Sebagai kesannya, peranti Huawei disenaraikan sebagai tiada pengesahan dan tidak lagi boleh menggunakan aplikasi Google dan GMS.
Google menyatakan, memasang aplikasi Google melalui pintu belakang tidak akan berfungsi dengan baik kerana ia tidak dibenarkan untuk digunakan di peranti yang tidak menerima pengesahan di mana keselamatan boleh terjejas. Google juga memberi amaran bahawa aplikasi Google yang dipasang melalui pintu belakang, mempunyai risiko tinggi ia telah diubahsuai dan ini boleh menjejaskan keselamatan dan data peribadi pengguna.
Jika anda pemiliki peranti Huawei dan Honor baru yang menggunakan HMS, cara terbaik untuk memasang aplikasi ialah menerusi Huawei AppGallery. Huawei kini bekerja keras untuk memastikan pelbagai aplikasi popular untuk disenaraikan di AppGallery tetapi masih banyak yang belum ada di dalamnya.
Antara peranti baru yang menggunakan HMS adalah seperti Huawei Mate 30, Mate 30 Pro, Mate 30 Pro 5G, Nova 7i and the Honor 9X Pro. Cara paling selamat untuk menggunakan perkhidmatan Google seperti Mail, YouTube dan Maps di peranti Huawei dan Honor yang menggunakan HMS, adalah melalui pelayar web. Tetapi terdapat banyak kekurangan fungsi di pelayar web berbanding aplikasi sebenar, antaranya notifikasi.
Persoalan penting tentang pemasangan aplikasi menerusi pintu belakang, adalah dari mana sumbernya. APK aplikasi Android boleh didapati dengan mudah di alam maya. Bila mana APK ini cuba dipasang, Huawei akan memberi amaran, memasang aplikasi dari seumber tidak diketahui akan menjadikan peranti anda berisiko tinggi terjejas.
Google komited untuk melindungi keselamatan pengguna Google di semua peranti Huawei dan Honor. Masih banyak peranti Huawei dan Honor yang memiliki akses ke GMS antaranya ialah Huawei Nova 5T, Y9s, Y9 Prime 2019, P30, P30 Pro, Honor 20, Honor 20 Pro dan Honor 9X.
Malah, ada peranti baru Huawei dan Honor yang dilancarkan selepas 16 Mei 2019, memiliki pengesahan Google. Ini kerana Huawei dan Honor dilaporkan mengitar semula model lama dan diperkenalkan sebagai model baru, bagi membolehkan GMS digunakan pada peranti tersebut.
Adakah anda tiada masalah untuk memasang aplikasi dari luar Google Playstore dan Huawei AppGallery? Jangan salahkan orang lain jika maklumat peribadi anda terjejas sebab Google dan Huawei dah beri amaran awal, bahaya pemasangan aplikasi dari sumber yang tidak diketahui.