Honor Malaysia telah memberi petunjuk kedatangan laptop keluaran mereka sejak tahun lepas lagi. Ketibaannya kian hampir dan pasti apabila kami dijemput ke satu pertemuan bersama media untuk memperkenalkan laptop Honor MagicBook.
Dalam pertemuan tersebut, Honor turut menyediakan beberapa unit laptop Honor Magicbook untuk diteliti dan dicuba. Sedikit sebanyak, kami dapat mengenali laptop pertama dari Honor ini, walaupun mereka masih belum menetapkan tarikh pelancarannya di Malaysia.
Honor MagicBook diperkenal sebagai laptop yang memiliki skrin 14-inci, di dalam badan 13-inci. Tetapi skrin ini memiliki bingkai yang sangat tebal di atas dan bawahnya. Jadi tidak dirasakan badannya seperti laptop 13-inci. Skrin ini memiliki nisbah 16:9 dengan resolusi HD Penuh, dan ia boleh diputar 180-darjah untuk membenarkannya dibuka rata.
Apabila ditutup, laptop ini memiliki bahagian paling tebal 15.8mm serta seberat 1.45kg. Ia jauh dari kategori ultra nipis dan ringan, tetapi tidak membebankan bahu apabila disimpan di dalam beg.
Kuasa yang menggerakkan Honor MagicBook disumbang oleh cip mudahalih keluaran AMD, iaitu Ryzen 5 3500U generasi kedua. Menurut AMD, cip ini setanding dengan pemproses Intel Core i5 dengan harga lebih murah. Grafik pula diurus oleh cip grafik AMD Radeon Vega 8. RAM sebanyak 8GB dan storan SSD seluas 512GB dipasang siap ke dalam laptop ini dan ia tidak boleh ditukar untuk dinaik taraf.
Sistem bunyi dihasilkan oleh 4 pembesar suara yang terletak di kiri dan kanan laptop. Sepasang di tepi papan kekunci dan sepasang lagi di bawah laptop. Teknologi Dolby Atmos memperkasa sistem bunyi untuk memberikan pengalaman bunyi sekeliling yang lebih hidup.
Papan kekunci MagicBook dipasang lampu di belakang, menjadikan ia mudah digunakan di suasana malap. Trackpad yang agak besar terletak di bawahnya. Honor turut menerapkan ciri keselamatan biometrik, iaitu pengimbas capjari pada butang kuasa. Ini membantu daftar masuk ke Windows dengan pantas dan lebih selamat.
Bateri 57.4Wh dipasang ke dalam MagicBook dan ia dicas melalui port USB-C. Honor memberikan pengecas USB-C 65W dwi-guna, yang boleh digunakan untuk mengecas MagicBook serta mengecas mana-mana telefon pintar dengan kuasa sehingga 18W.
Sambungan yang terdapat pada MagicBook agak lengkap. Ia memiliki jek audio 3.5mm, USB-C untuk mengecas dan menghantar data, 1 port HDMI, 1 port USB 3.0 dan 1 port USB3.0. Tiada slot kad memori dan tiada sambungan rangkaian berwayar. Sambungan wayarles pula disokong menerusi WiFi dan Bluetooth.
Satu fungsi unik pada MagicBook ialah MagicLink. Fungsi ini membenarkan penghantaran data wayarles dengan pantas dan mudah, menggunakan telefon Honor dan Huawei yang serasi. Hanya dekatkan telefon tersebut di pelekat Magiclink di bawah papan kekunci dan pengguna boleh terus menghantar pelbagai fail ke laptop.
Selepas meneliti segala yang ada pada laptop Honor MagicBook, ia sebenarnya adalah laptop Honor generasi pertama. Pada bulan November tahun lepas, Honor telah melancarkan laptop MagicBook generasi kedua di China. Ia memiliki rekaan yang lebih menarik tetapi spesifikasi tidak banyak berbeza. Selain cip Ryzen 5, ia turut ditawarkan dengan cip Ryzen 7 serta grafik Vega 10 yang lebih perkasa.
Sebagai anak syarikat Huawei, laptop ini tidak dapat lari dari dibandingkan dengan model yang sama dari Huawei. Laptop MateBook D 15 telah dilancarkan di Malaysia awal tahun ini, pada harga di bawah RM2,500. Ia memiliki banyak persamaan seperti penggunaan cip AMD Ryzen tetapi berbeza di saiz skrin, storan serta kameranya, yang boleh disembunyikan di dalam papan kekunci.
Tarikh pelancaran Honor MagicBook di Malaysia masih belum diketahui tetapi ia semakin hampir. Kita boleh menjangkakan harganya lebih murah dari laptop Huawei iaitu di bawah RM2,500, seperti yang sering terjadi di telefon pintar Honor dan Huawei.
Adakah harga dan spesifikasi laptop ini cukup menarik minat anda? Nantikan kedatangannya tidak lama lagi.