Ucapan terima kasih ditujukan kepada pihak kerajaan kerana melaksanakan beberapa langkah yang baik dan perlu untuk membanteras penyebaran coronavirus (COVID-19) di Malaysia. Banyak kawasan yang memerlukan klarifikasi dalam beberapa hari akan datang. Kami menyedari bahawa arahan ini bukan tempoh berkurung (lockdown), kerana kita masih boleh bergerak tetapi memperhebat jarak sosial dan sekatan ke atas pergerakan. Ia amat kritikal.
Walau bagaimanapun, apa diharapkan akan berlaku sekarang, adalah rakyat Malaysia memberi respon terhadap langkah-langkah ini dengan cara yang bertanggungjawab. Sayangnya apa yang kita lihat adalah banyak tingkah laku yang tidak bertanggungjawab oleh ramai rakyat Malaysia secara individu dan sebagai kumpulan. Sekarang COVID-19 bukan lagi musuh utama kita tetapi rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab, tidak peduli dan mengambil sikap tidak percaya telah menyebarkan virus ini secara meluas.
Terdapat beberapa perkara yang rakyat Malaysia TIDAK BOLEH lakukan dalam tempoh menghadapi arahan penutupan premis perniagaan, jabatan kerajaan dan sekolah.
Berhenti Merantau: Jangan Balik Kampung atau merancang percutian dalam negara
Saya melihat ramai rakyat Malaysia yang telah merancang untuk pulang ke rumah ibubapa atau bercuti di dalam Malaysia bersama anak-anak atau rakan. Sebarang bentul perjalanan masa kini hanya akan meningkatkan lagi penyebaran virus dan mengakibatkan kerosakan pada halangan yang telah dibina kerajaan. Balik ke kampung sekarang hanya akan membawa virus kepada orang tua di kampung yang berisiko tinggi untuk mati. Tolonglah, tolong hentikan semua kelakuan bersalaman, mencium tangan dan berpelukan kerana ia berisiko tinggi. Kita perlu bertanggungjawab dan tinggal di rumah serta hanya keluar apabila perlu. Ia tidak bermakna kita tidak boleh kekal cergas dengan berjalan-jalan di kejiranan atau di taman berhampiran.
Hentikan Pembelian Panik dan Penimbunan Barang Keperluan
Pembelian panik di pasar raya, barangan runcit dan kedai-kedai lain oleh orang ramai pada hari ini dan semalam adalah aktiviti yang berbahaya. Beratur panjang dengan troli bahkan sebelum pasar raya dibuka. Anda tidak perlu menyimpan makanan kerana bekalan tidak akan habis. Tetapi pembelian panik mendorong ramai individu berada dalam kelompok dengan jarak yang rapat sekali gus bertentangan dengan tujuan menjarakkan sosial. Ini adalah aktiviti berisiko tinggi, dan meningkatkan peluang anda untuk dijangkiti virus. Ia harus dielakkan. Pasar raya mesti menyekat bilangan pengunjung yang masuk, menguatkuasakan jarak sosial 1-2 meter dan hadkan jumlah yang boleh dibeli oleh satu keluarga. Ingat juga bahawa penimbunan dan pembelian secara berlebihan menyebabkan orang lain tidak akan mendapat akses kepada bekalan dalam jangka masa pendek.
Hentikan Semua Mesyuarat dan Perjumpaan Kumpulan
Ingatlah bahawa perjumpaan dalam kumpulan yang kecil dan intim lebih berbahaya daripada kumpulan besar. Tiada saiz kumpulan yang selamat. Berhenti merancang atau mengadakan sebarang mesyuarat doa fizikal, perhimpunan sosial yang kecil, makan malam, acara kumpulan untuk sebarang aktiviti. Majlis perkahwinan perlu dibatalkan atau dihadkan kepada ahli keluarga. Pengebumian harus dihadkan kepada keluarga terdekat. Sila gunakan media sosial dan internet untuk berkomunikasi dan terus berhubung. Anda boleh mempunyai aktiviti secara dalam talian. Makan di luar perlu dihadkan dengan kemungkinan jarak sosial yang maksimum. Kita mesti belajar dari China yang telah mengubah makan di luar (menjarakkan-sosial-makan-luar) secara meluas, kepada cara yang selamat-koronavirus dengan membawa pulang dan menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan.
Bagi mereka yang masih tidak yakin mengenai apa yang sedang berlaku di dalam negara, sila lihat graf (dilampirkan) yang menunjukkan pertumbuhan COVID-19 di Malaysia berbanding dengan Singapura. Negara jiran itu berada dalam kawalan dan Australia mungkin berdepan dengan keadaan yang sama dengan kita. Grafik menunjukkan perubahan dalam penularan dalaman sejak kita mencapai 100 kes. Anda dapat melihat pertumbuhan pesat (iaitu pertumbuhan tidak terbatas) di negara kita. Kita menjangkakan bahawa virus kini menyebar secara meluas dalam komuniti dan mencecah beribu-ribu kes. Kita boleh mengharapkan untuk mula melihat gelombang orang sakit yang serius dalam 2 hingga 4 minggu akan datang dan gelombang kematian pada minggu-minggu selepas itu.
Untuk jarak sosial berfungsi, kita mesti berhenti melancong, keluar dan berkumpul di negara ini termasuk di bandar-bandar, pekan, kampung dan kejiranan
Walaupun ada beberapa perkara yang tidak patut kita lakukan, ada banyak perkara yang BOLEH DILAKUKAN oleh rakyat Malaysia. Ini adalah masa untuk bekerjasama dan saling menyokong sebagai satu komuniti
Beri Sokongan Kepada Mereka yang Terjejas Dari Segi Kewangan
Sekarang adalah masa untuk bekerjasama dan berkongsi sumber dengan golongan miskin atau mereka yang akan dilanda kesusahan akibat kehilangan pekerjaan yang dibayar harian. Terdapat ramai yang tidak akan dapat bekerja pada masa ini kerana perniagaan mereka ditutup. Ada individu yang dibayar dan orang lain akan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Ingat juga pendatang asing di negara kita. Walaupun kita menunggu kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak sistem subsidi, sudah tiba masanya bagi semua rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran bersama, menyokong satu sama lain dan berkongsi kekayaan kita. Saya suka pendekatan Kanada yang tidak menakut-nakutkan penduduk mereka tetapi mengambil berat. Saya merayu kepada semua dengan keupayaan teknikal untuk menubuhkan kumpulan sokongan dalam talian. Kita semua boleh mengenal pasti orang-orang di komuniti terdekat yang memerlukan atau dilanda kesukaran dan kemudian menganjurkan misi bantuan sesama kita untuk membantu mereka. Apa yang diperlukan orang susah dan mereka yang dibayar secara harian pada masa ini, adalah wang tunai.
Beri Sokongan kepada pasukan barisan hadapan (Frontline), terutamanya ahli Profesional Penjagaan Kesihatan
Pada masa ini akan ada orang-orang yang perlu bekerja, terutamanya ahli profesional penjagaan kesihatan tetapi juga perkhidmatan kecemasan lain dan mereka yang memastikan bekalan barang keperluan penting mencukupi. Sila ingat mereka dan lihat bagaimana kita dapat memberi sokongan kepada mereka. Ia adalah masa untuk rakan-rakan, jiran dan keluarga untuk memberi sokongan kepada individu-individu ini. Mereka mungkin memerlukan penjagaan anak atau penghantaran keperluan makanan. Kita perlu mewujudkan sistem sokongan yang selamat dengan koronavirus. Jika mereka tidak dapat bekerja kerana perlu mendahulukan anak atau keluarga, kita semua akan menderita.
Rayuan kepada Hartawan Malaysia, Hospital Swasta dan Syarikat Telekomunikasi
Akhirnya adalah rayuan kepada mereka yang sangat kaya di negara kita. Kekayaan tidak boleh dibawa mati dan anda mempunyai lebih daripada yang anda boleh belanjakan untuk diri dan keluarga anda. Sila pertimbangkan untuk berkongsi pada masa ini dengan komuniti, rakan-rakan Malaysia anda. Berkongsi dengan golongan miskin dan mereka yang berdepan kesukaran hidup berikutan kehilangan sumber pendapatan. Pada masa sama tidak dilupakan kepada perkhidmatan kesihatan awam. Perkhidmatan kesihatan awam telah mengalami kekurangan dana yang kronik selama lebih dari 30 tahun dan memerlukan suntikan kewangan yang serius untuk membangunkan perkhidmatan rawatan intensif, membeli peralatan perlindungan peribadi, membeli alat pemantauan penting untuk pesakit, dan lain-lain. Beri sumbangan besar kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan dapat membendung wabak ini secara mendadak kerana pada masa ini mereka masih sangat kekurangan sumber (walaupun apa yang dikatakan kepada umum). Juga gunakan semua hubungan perniagaan dan kawan anda untuk membolehkan ktia mendapatkan semua barangan yang diperlukan bagi menangani epidemik ini, terutamanya dari China. Kita juga perlu menyokong ramai pengamal perubatan am di lapangan yang kekurangan keperluan perlindungan asas termasuk topeng muka. Sekiranya profesional kesihatan dan perkhidmatan kesihatan putus asa dan kecewa, tiada siapa yang akan memberikan rawatan sekiranya kita sakit.
Kepada hospital swasta: ini bukan masa untuk membuat wang. Berikan caj kadar minimum (break-even) untuk penjagaan pesakit pakar, pesakit dalam dan pesakit luar. Sudah tiba masanya untuk sektor swasta membantu memberikan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada kes bukan koronavirus untuk membenarkan hospital KKM menumpukan perhatian kepada gelombang pesakit COVID-19 yang akan datang tidak lama lagi.
Kepada syarikat telekomunikasi di Malaysia, sila pertimbangkan untuk melakukan apa yang telah dilakukan oleh Telco yang bertanggungjawab di luar negara, iaitu menjadikan perkhidmatan internet tersedia dan percuma kepada semua orang. Pada masa ini komunikasi yang berkesan adalah penting dan ia tidak boleh dihalang dengan pembayaran. Kanak-kanak dan pelajar universiti di rumah memerlukan jalur lebar yang baik untuk membolehkan mereka terus belajar.
Anda semua rakyat Malaysia yang kaya, hospital swasta dan syarikat telekomunikasi, bukan sahaja dapat memenangi hati masyarakat tetapi juga akans sentiasa dipanjatkan doa dan keberkatan rakyat Malaysia lain, kerana tindakan anda akan menyelamatkan banyak nyawa. Seperti kata Joey Wat, ketua pegawai eksekutif Yum China Holdings, dalam wawancara baru-baru ini dengan CNN mengenai koronavirus “Setiap syarikat yang hebat mempunyai jiwa yang dalam. Sudah tentu kita perlu belajar untuk menghasilkan wang, pada masa yang sama, dalam keadaan seperti ini, kita perlu belajar bagaimana untuk tidak membuat wang.”
Koronavirus menunjukkan kepada kita bahawa kita semua adalah rakyat Malaysia, tidak dibahagikan dengan perbezaan etnik, agama, budaya atau ekonomi. Kami akan tenggelam atau berenang bersama kerana virus tidak membezakan antara kita. Masa untuk menunjukkan virus bahawa kita bukan musuh kita sendiri. Masa untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita mempunyai disiplin seperti orang Korea Selatan dalam mengekalkan jarak sosial yang ketat, cinta orang Kanada untuk menjaga antara satu sama lain dan keberanian orang Itali dalam menghadapi kesukaran ini.
Harapan kepada semua rakyat Malaysia pada masa ini, ingatlah 3 frasa: kekalkan jarak sosial, kekalkan jarak sosial, kekalkan jarak sosial.
Tulisan ini diterjemah dari artikel asal yang disumbang oleh Dato’ Dr Amar-Singh HSS, Konsultan Pedeatrik Kanan. Anda juga boleh menyumbang sebarang tulisan kepada kami di sini.