Ada dua telefon midrange akan tembusi pasaran Malaysia pada 27 Mac 2020. Dua yang saya maksudkan ialah Realme 6 dan Redmi Note 9S.
Miliki specs dan harga yang hampir setara, sudah tentu pembeli akan terkebil-kebil untuk pilih yang mana satu lebih berbaloi.
Daripada anda mencongak dalam minda, lebih baik saya bawa anda menganalisis kedua-dua telefon ini daripada pangkal hingga hujungnya untuk bantu anda lakukan keputusan.
Mari kita mulakan. Berikut adalah ringkasan spesifikasi Realme 6 dan Redmi Note 9S.
Skrin
Paparan kedua-dua Realme 6 dan Redmi Note 9S ada resolusi yang sama iaitu 2400 kali 1080 piksel. Mereka juga gunakan panel IPS LCD tapi bezanya Redmi Note 9S ada paparan sedikit besar, lebih kurang 3% saja. Jadi tiada masalah untuk anda pilih jika keuputsan berdasarkan saiz paparan.
Tapi Realme 6 ada kelebihan ketara kerana panelnya ada kadar segar semula 90Hz yang nyata lebih memuaskan semasa gaming berbanding panel 60Hz. Manfaat menggunakan panel refresh rate tinggi adalah motion blur diminimumkan untuk APP yang menyokongnya. Sudah tentu navigasi pada UI telefon nampak lebih licin berbanding yang lain.
Tapi, panel 90Hz akan makan lebih banyak bateri berbanding 60Hz. Maka, anda boleh jangkakan impak pada hayat bateri Realme 6 jika anda gunakannya.
Harga
Realme 6 ada tanda harga RM999. Tapi, pada hari pertama penjualannya, anda boleh dapatkan seunit telefon itu pada harga RM799 antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi 27 Mac 2020 eksklusif di Lazada.
Redmi Note 9S ditawarkan dalam dua perisa, paling murah RM799 miliki konfigurasi 4+64 manakala RM899 miliki konfigurasi 6+128. Namun, varian termurah anda hanya boleh belinya di Lazada pada hari pertama jualannya iaitu 27 Mac 2020.
Kalau nak beli melalui Shopee, ia akan ditawarkan pada 1 April 2020.
Specs yang lebih berkuasa tempahannya akan dimulakan pada 7 April 2020 di semua saluran jualan dan mula diedarkan pada 7 April 2020.
System-on-Chip (SoC)
Realme 6 menggunakan SoC MediaTek Helio G90T, untuk pengeluar MediaTek, ia adalah cip flagship yang mereka ada. Dilancarkan dalam bulan Jun 2019, G90T ada 8 teras semuanya. Daripada teras-teras tersebut:
- 2 adalah teras Cortex A76 berkelajuan 2Ghz
- 6 adalah teras Cortex A55 berkelajuan 2Ghz
Di sebelah Redmi Note 9S, Xiaomi mengguna pakai Snapdragon 720G. Sama seperti G90T, SoC ini turt ada 8 teras dengan konfigurasi seperti berikut:
- 2 teras Kryo 465 (berasaskan Cortex A76) berkelajuan 2.3GHz
- 6 teras Kryo 465 (berasaskan Cortex A55) pada kelajuan 1.8Ghz
Perbandingan teras demi teras, ia kelihatan sama saja. Bezanya cumalah pada kelajuan teras. Di Snapdragon, teras yang berkuasa tinggi miliki clockspeed yang lebih tinggi daripada G90T tapi teras cekap tenaga miliki clockspeed lebih rendah.
Atas kertas, 720G lebih jimat tenaga untuk kegunaan kasual seperti layari web, medsos dan sebagainya dan ia mungkin menjelaskan kenama cip MediaTek lebih kuat penggunaan tenaganya jika lihat pada clockspeed teras cekap tenaganya.
RAM & Storan
Redmi Note 9s hadir dengan pilihan RAM lebih tinggi. Varian paling tinggi Redmi Note 9s adalah yang miliki RAM 6GB serta storan 128GB. Sungguhpun Realme 6 ada storan yang sama tinggi, tapi pilihan RAM-nya dihadkan kepada 4GB sahaja untuk pasaran Malaysia.
Kalau tak cukup bajet, Note 9s juga ditawarkan dalam konfigurasi 4+64. Mujurlah kedua-dua produk ini ada slot khas untuk mikro-SD dan bukannya jenis hibrid sekiranya anda ingin perluaskan ruang penyimpanan data.
Kamera
Di bahagian kamera, kelihatan spesifikasi yang setara ditawarkan oleh pengeluar masing-masing. Anda dapat kamera biasa, ultralebar, makro, bokeh, dan satu kamera selfie.
Perbezaan megapiksel pada sensor terutamanya pada kamera makro saya rasakan picis sahaja. Malahan, saya anggap kamera makro sebagai hiasan saja sebab anda boleh dapat hasil yang sama apabila crop-kan gambar daripada kamera utama.
Kamera depan pun sama bilangan pikselnya. Jangan-jangan, sensornya pun daripada model yang sama.
Maka, untuk bahagian kamera, pilih mana-mana telefon pun tiada masalah.
Bateri
Bahagian bateri sedikit mencabar untuk dapatkan kata putus. Realme berikan bateri kecil tapi pengecasan pantas 30W sebaliknya Redmi berikan bateri besar tapi pengecasan tak sepantas Realme.
Tapi, kalau anda fikirkan kembali, Realme 6 menggunakan teknoogi VOOC OPPO, yang memerlukan blok pengecas dan kabel khas untuk menikmati pengecasan pantas. Pengecasan pantas Redmi sebaliknya lebih mesra kelengkapan sebab boleh gunakan blok pengecas pihak ketiga, asalah ada piawaian QuickCharge daripada Qualcomm.
Rumusan
Xiaomi memang kacau “line” Realme. Kedua-dua model Redmi Note 9S miliki tanda harga lebih rendah daripada harga rasmi Realme 6. Tapi, untuk tempoh terhad, anda boleh dapatkan Realme 6 pada harga yang lumayan murahnya.
Pada sudut specs, tak banyak perbezaan boleh diperhatikan. Tapi faktor pelaris Realme adalah pada paparan 90Hz-nya. Rasanya tiada telefon bawah RM1,000 ada paparan sebegini. Tapi, orang pasti akan ragu-ragu dengan konfigurasi RAM 4GB saja sedangkan Redmi tawarkan sehingga 6GB.
Pada sudut kamera, saya katakan tiada perbezaan dan kalau adapun, tidaklah begitu ketara.
Bahagian bateri analisis asaya agak bercampur baur. Realme bateri kecil tapi pengecasan pantas sebaliknya Redmi bater besar pengecasan perlahan bebanding Realme. Tapi nak selamat, pilih Redmi sebab pengecasan pantasnya lebih universal.
Redmi ada kelebihan sikit sebab ada IR Blaster. Tapi, untuk jarjan, dua-dua ada komponen lebih kurang sama, anda dapat pengimbas jari di sisi dan jek audio 3.5mm.
Sangat sengit perbandingan ini, boleh anda turunkan pendapat anda dalam ruangan komen?