Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

6 syarikat telekomunikasi perjelas inisiatif internet percuma untuk semua

Dalam pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin oleh Perdana Menteri petang tadi, salah satu perkara yang diumumkan ialah internet percuma 1GB setiap hari sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak diterangkan lebih lanjut bagaimana pelaksanaannya melainkan ia akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi.

Perkara ini dijelaskan menerusi satu kenyataan media bersama oleh enam syarikat telekomunikasi iaitu Celcom Axiata Berhad (“Celcom”), Digi Telecommunications Sdn Bhd (“Digi”), Maxis Berhad (“Maxis”), U Mobile Sdn Bhd (“U Mobile”), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan TIME dotcom Berhad (“TIME”).

Internet percuma bagi semua pelanggan

Semua pelanggan Pascabayar dan Prabayar Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile akan menerima internet percuma berkelajuan tinggi sebanyak 1GB setiap hari, untuk digunakan antara pukul 8 pagi dan 6 petang. Ini akan bermula pada 1 April 2020 dan berkuatkuasa sepanjang tempoh PKP. Pelanggan akan dapat menikmati kelebihan ini melalui penebusan dari pengendali masing-masing.

TM dan TIME pula akan menyokong pengendali mudah alih di atas, dengan menyediakan kapasiti gentian optik tambahan bagi memenuhi permintaan penggunaan yang lebih tinggi waktu ini.

Syarikat telekomunikasi juga sedang berusaha untuk mengurangkan beban segmen B40 dan akan mengumumkan pelan untuk tujuan ini dalam masa terdekat. Perbincangan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sedang dijalankan untuk menubuhkan mekanisme terbaik.

Semua pengendali akan menawarkan pakej dan bantuan khusus untuk pelanggan mereka. Pelanggan boleh merujuk kepada pengendali masing-masing untuk maklumat lanjut.

KEMASKINI 31/3 – Semak semua tawaran di bawah ini:

  1. Celcom & Xpax – Tidak perlu daftar, automatik dapat
  2. U Mobile – Sekali daftar dan automatik terima seterusnya
  3. Maxis & Hotlink – Kena tebus setiap hari
  4. Yoodo – Automatik terima, tiada had masa, baki bawa ke depan
  5. TuneTalk – Sekali daftar dan automatik terima setiap hari
  6. Digi – Sekali daftar dan automatik terima setiap hari
BACA  Maxis tawarkan telefon 5G Huawei dari RM1 serta beli 1 percuma 1

Panggilan percuma ke nombor hotline dan kecemasan

Semua pengendali menyediakan panggilan tanpa caj kepada nombor hotline dan kecemasan yang penting, termasuk Pusat Tanggungjawab Krisis Kesediaan Kementerian Kesihatan (“KKM”), cawangan negeri KKM, hospital yang digazet untuk pemeriksaan COVID-19 dan penahanan, talian hotline PKP, dan laman web rasmi KKM.

Untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat penting mengenai COVID-19, semua pengendali bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyebarkan pengumuman kesihatan, kecemasan, dan pengumuman awam melalui siaran SMS setiap hari kepada pelanggan kami.

Pelaburan RM400 juta pertingkat liputan dan keupayaan rangkaian

Syarikat-syarikat telekomunikasi juga turut memberi komitmen untuk melabur RM400 juta sehingga suku kedua tahun ini untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan
kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan. Pelaburan ini juga akan meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian untuk tapak kritikal seperti hospital, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat-pusat media.

NFCP diteruskan

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan terus dilaksanakan untuk menambah baik kesalinghubungan digital negara, terutamanya di kawasan luar bandar. Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 1 pada 27 Februari 2020 untuk pelaksanaan enam (6) projek di bawah NFCP (NFCP 1-6) bagi tahun 2020. Projek-projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) di bawah kawal selia dan tadbir urus MCMC.