Jika anda perlukan data tambahan sepanjang duduk di rumah, saya syorkan anda untuk menempah kad sim Yoodo jika belum ada. Walaupun namanya tidak disenaraikan semasa pengumuman 1GB data percuma, Yoodo menyahut seruan kerajaan ini dengan memberi lebih dari yang dicadangkan.
Yoodo sebelum ini telah tampil dengan insiatif sendiri dengan memberikan pengguna 1GB data pada setiap hari Isnin sehingga hujung April. Kini Yoodo meluaskan tawaran tersebut, dengan memberikan 1GB data setiap hari hingga 14 April. Sebagai komitmen mereka dengan inisiatif sebelum ini, Yoodo juga akan memberikan 1GB percuma pada hari Isnin, 20 dan 27 April 2020.
Tawaran dari Yoodo ini jauh lebih menarik dari Celcom dan U Mobile. Ini kerana data percuma yang diberikan ini tiada had masa penggunaan (Celcom dan U Mobile mengehadkan pada pukul 8 pagi hingga 6 petang), malah data yang tidak habis digunakan boleh dibawa ke depan sehingga kitaran pelan yang seterusnya. Yoodo juga memulakan inisiatif ini 2 hari lebih awal, pada 30 Mac 2020 berbanding 1 April pada yang lain.
Menurut Soalan Lazim (FAQ):
- Data 1GB percuma akan ditambah pada baki data yang masih ada di pelan anda. Sebagai contoh, jika pelan anda mempunyai ‘15GB daripada 20GB’, ia akan memaparkan ‘16GB daripada 20GB’ sejurus anda menerima Data 1GB tersebut.
- Data 1GB percuma akan terkumpul jika tidak dihabiskan. Sebagai contoh, jika pelan anda tidak luput/diperbaharui antara 30 Mac – 14 April 2020, anda akan menerima sebanyak 14 GB Data percuma yang dapat digunakan sehingga pelan anda luput/diperbaharui.
- Tarikh luput Data 1GB akan mengikut tarikh luput/pembaharuan pelan yang aktif ketika Data itu diberikan. Sebagai contoh, jika pelan anda sudah menerima Data 1GB percuma pada 30 Mac, 31 Mac dan 1 April untuk jumlah 3GB dan pelan anda akan luput/diperbaharui pada 1 April, 3GB anda akan luput apabila pelan anda luput/diperbaharui. Namun, jika pelan anda kekal aktif, anda akan menerima 1GB percuma setiap hari dari 2 April – 14 April 2020.
Jadi, untuk menikmati data percuma ini, anda hanya perlu memastikan pelan anda aktif. Anda boleh melanggan serendah mungkin, seperti hanya melanggan pelan SMS RM3 sebulan atau pelan panggilan RM5 sebulan. Kuota data mungkin tidak kelihatan di dalam aplikasi tetapi 1GB akan ditambah setiap hari sehingga tamat PKP.
Jika anda memerlukan lebih banyak data, Yoodo baru-baru ini melancarkan promosi 20GB data asas pada harga RM20 sahaja, sempena ulangtahun keduanya. Selain itu, ia juga memperkenalkan beberapa pelan baru seperti perayauan data lebih lama, program ganjaran pengguna setia dan Power Pass 100GB hanya RM2. Maklumat lanjut promosi dan pelan baru ini boleh dirujuk di sini.
Inisiatif Yoodo ini adalah tawaran terbaik untuk mereka yang memerlukan lebih data sepanjang berada di rumah. Kalau anda bukan pelanggan Yoodo dan mahu mencubanya, kad sim Yoodo boleh ditempah secara percuma dan ia datang bersama 7GB juga percuma untuk pengguna baru. Jika berminat untuk mendapatkan kad sim Yoodo, boleh mendaftar di sini.
Sumber: Yoodo