Huawei melancarkan siri P yang terbaharu mereka dalam bulan Mac 2020. Siri Huawei P40 mengandungi tiga ahli semuanya iaitu Huawei P40, P40 Pro, dan P40+.
Untuk pasaran Malaysia, P40 Pro+ tidak dimasukkan namun, dua ahli yang lain boleh didapati dalam pasaran kita pada harga seperti berikut:
- Huawei P40 (8GB +128GB) – RM2,799
- Huawei P40 Pro (8GB+256GB) – RM3,899
Kedua-dua telefon ini sudahpun dijual bermula 11 April 2020 dengan pemberian percuma bernilai lebih RM1,300. Antara yang anda akan terima ialah:
- Huawei P40 Wireless Charging Case (P40 sahaja)
- Huawei SuperCharge Wireless Car Charger (P40 Pro sahaja)
- Huawei Freebuds 3
- Huawei Care (jaminan tambahan 1 tahun + 1 bulan jaminan skrin retak)
- 50GB storan Huawei Cloud selama 1 tahun
- 3 bulan langganan percuma Huawei Video
Huawei P40 Wireless Charging Case
Huawei FreeBuds 3
Kalau anda masih tak tahu apa yang bagus, apa yang tak bagus tentang telefon ini, artikel ini akan bantu anda mengenali lebih dekat Huawei P40 Pro.
Naik taraf prestasi tapi DNA asal masih dikekalkan
Sudah tentu soalan yang pertama diajukan adalah apa barunya telefon ini berbanding yang lama.
Daripada sudut rekaan, ia masih kekalkan DNA P30 Pro . Anda boleh lihat pada sisi melengkung dan penggunaan materi kaca yang diterapkan sejak P20 lagi.
Di bahagian paparan, penambahbaikan yang boleh anda jangkakan adalah seperti:
- Luas skrin dipertingkat kepada 6.58”
- Resolusi paparan dipertingkat kepada 1400 x 2640
- Penggunaan paparan OLED dikekalkan tapi refresh rate dipertingkat kepada 90Hz dan menyokong HDR10.
Kalau anda pengguna siri P20, dan P30, sepatutnya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan P40 sebab ada banyak benda dikekalkan seperti layout butang kuasa, butang suara, jeriji speaker, dan slot SIM.
Unit yang saya pandu uji ada dua, satu yang warna Silver Frost dan satu lagi Deep Sea Blue. Selain dua warna ini, ada satu lagi warna yang ditawarkan iaitu Brush Gold.
Saya sukakan kemasan ini kerana ia lebih rintang pada comot terutamanya cap jari. Tapi saya tak rasa ia akan kekal bogel untuk tempoh lama sebab dalam kotak ada tersedia casing getah, jadi tak perlu risau ia tercalar.
Lagi tentang barang yang ada dalam kotak, selain casing, anda turut diberikan pengecas pantas serta kabel USB-C berserta earfon USB-C.
Pengalaman Guna
Bahagian dalam telefon ini turut menerima nak taraf berbanding sebelumnya. Atas papan utama, ia gunakan SoC yang lebih berkuasa iaitu Kirin 990 5G. Menemani SoC tersebut adalah RAM 8GB dan storan dalam 256GB.
Anda boleh meluaskan ruang storannya tapi medium storannya bukanlah mikro-SD tapi NM Card, produk proprietari Huawei.
Telefon ini ada bateri 4,200mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 40W dan pengecasan wayarles 27W.
Berikut adalah hasil ujian penanda aras Antutu untuk rujukan anda.
Daripada sudut prestasi, tiada sebarang masalah saya hadapi semasa menggunakannya. Paparan 90Hz-nya jadikan UI EMUI telefon ini lebih lancar. Bermain game pun sangat puas kerana nampak licin.
Namun, apa yang nak saya adu adalah ketiadaan speaker stereo untuk model ini. Nampak seperti tak ngam dengan panel paparan premium tapi tidak digandingkan dengan speaker yang sama hebat.
Sebelum pergi ke bahagian kamera, saya nak berkongsi pengalaman menggunakan telefon yang tiada Google Mobile Services (GMS).
Cabaran Menggunakan P40 Pro Tanpa GMS
Ya, produk ini tidak mendukung GMS seperti yang anda jangka. Sebaliknya, ia ada Huawei Mobile Services (HMS). Akses terhadap produk Google seperti YouTube, Gmail, Maps, dan sebagainya memang terbatas pada produk yang tiada GMS seperti Huawei P40 Pro ini.
Sungguhpun Huawei miliki alternatif kepada Play Store iaitu Huawei AppGallery, APP yang ditawarkan tidaklah sekomprehensif Play Store, terutamanya untuk pengguna Malaysia.
Masih ada APP yang sering saya gunakan tiada. APP seperti Facebook, Instagram, dan Twitter tidak tersenarai.
Buat pengguna Android yang sudahpun menggunakan platform ini sejak mula lagi atau sekurang-kurangnya sebelum versi KitKat (Android 4.4), golongan ini sepatutnya tiada masalah untuk beradaptasi dengan ketiadaan GMS.
Bagi APP yang tidak memerlukan kerangka GMS, saya cuma perlu mencari fail pemasangannya (APK) dan lakukan pemasangan secara manual ataupun seperti dikenali ramai sebagai sideload.
Untuk tujuan tersebut, saya suka singgah ke laman APK Mirror, hasil tangan mereka di Android Police. Sebab saya gemarkan laman ini adalah, semua fail APK pemasangan aplikasi diperiksa setiap satu untuk pastikan yang ia tidak ditempa oleh pihak yang ingin ambil kesempatan menyunting malware masuk ke dalam aplikasi.
Namun, saya berdepan dengan masalah pada platform permesejan WhatsApp. APP ini hanya menggunakan Google Drive untuk menyimpan salinan mesej anda.
Maka, tiada fungsi backup secara dalam talian boleh digunakan. Untuk tujuan itu, saya gunakan kaedah manual. Saya cuma perlu lakukan backup terus ke storan dalaman, pindahkan fail bakcup itu ke P40 Pro dan restore seperti biasa semasa anda log masuk WhatsApp di telefon baharu.
Aplikasi medsos asas seperti Facebook, Instagram, dan Twitter tidak hadapi masalah untuk dijalankn pada telefon ini.
Yang paling sukar adalah APP berkaitan kewangan. Daripada tiga penyedia e-Wallet terbesar Malaysia, Boost dan Touch ‘n Go eWallet ada tersenarai dalam AppGallery manakala Grab tiada. Untuk perbankan dalam talian, anda ada RHB, AmBank, Public Bank sahaja setakat ini.
Perbankan dalam talian bukanlah satu masalah besar kerana sejak sekian lama, ia turut ada dalam versi pelayar web.
Pada saya, ketiadaan GMS memang ada kesan pada gaya penggunaan telefon ini. Ia menyebabkan saya terpaksa korek semula ingatan tips & tricks untuk cari workaround kepada masalah ini. Untuk katakan yang P40 Pro lumpuh sepenuhnya tanpa GMS adalah kurang tepat.
Kamera Huawei P40 Pro
Memang sengaja saya letakkan bahagian ini di belakang kerana ia tersedia dikenali ramai orang. Bermula dengan kamera belakang, ada empat kamera semuanya dengan spesifikasi seperti berikut:
- 50MP F1.9
- 40MP (ultralebar) F1.8
- 12MP (telefoto) F3.4
- 3D ToF
Kamera belakang P40 Pro lebih mirip Mate 30 Pro. Bezanya adalah bilangan megapiksel sensor yang ditambah baik. Kamera 40MP dinaik taraf kepada 50MO manakala kamera telefoto daripada 8MP kepada 12MP serta zum optikal daripada 3 kali kepada 5 kali.
Kamera ultralebar dikekalkan pada 40MP begitu juga dengan kehadiran kamera 3D ToF pada bahagian depan.
Di bahagian depan, ada sepasang kamera boleh anda temui dalam paparan berlubang pada penjuru kiri badan. Ia ada kamera 32MP dan kamera 3D ToF, kamera yang sama seperti Mate 30 Pro bezanya posisi kamera.
Antara muka kamera Huawei adalah antara yang terbaik pernah saya gunakan selepas kamera Nokia Lumia yang menjalankan Windows Phone. Mode tersusun rapi, font yang digunakan tebal, besar, serta mudah dibaca.
Tapi di P40 Pro ini, mereka tak lagi menggunakan font Leica. Sudahlah Font Leica tak digunakan, faiznya agak kecil dan jadi semakin sukar dibaca. Saya perasan perkara ini sejak Mate 30 Pro lagi. Barang kali lesen penggunaan daripada Leica telah tamat.
Yang dikekalkan adalah bunyi pengatup Leica yang sedap itu. Berikut adalah hasil gambar yang sempat saya rakam melalui lensa Huawei P40 Pro.
Ada sedikit longgar pada pengasingan latar daripada subjek dalam hasil potret di bawah. Tapi, saya puji tahap beautify yang tak keterlaluan pada edisi kali ini.
Gambar di bawah adalah apabila fungsi potret dimatikan.
Ketajaman yang baik didemonstrasikan menerusi sensor 50MP Huawei P40 Pro.
Kadangkala AI memberikan kepekatan warna yang keterlaluan pada subjek rumput dan tumbuhan.
Jika tak mengesan benda organik, profil warna yang digunakannya agak suram.
Keupayaan mengezum 5 kali optikal sangat dialu-alukan.
Huawei P40 Pro tidak berdepan masalah dalam keadaan pencahayaan cukup. Namun, saya tak sangka dia sedikit bergelut dengan Night Mode.
Sejak Huawei P20, Night Mode pada siri P adalah yang terbaik pada saya. Tapi pada P40 Pro dedahannya agak gagal terutamanya dalam memberikan exposure sepatutnya pada bahagian highlight. Beberapa contoh saya berikat di bawah.
Dalam gambar di bawah, dedahan sempurna gagal diberikan pada bahagian pokok. Hasilnya nampak seperti long exposure biasa berbanding dua gambar berlainan exposure ditindih untuk dapatkan kesan High Dyamic Range yang cantik
Contoh kedua juga begitu. Cuba lihat pada bahagian kanan gambar iaitu lampu jalan.
Paling ketara adalah gambar ini. Walaupun kereta didedahkan dengan baik, papan iklan kedai hilang butirannya.
Kesimpulan
Huawei P40 Pro adalah produk yang menerima naik taraf yang sewajarnya. Perubahan daripada P30 Pro kepada P40 Pro adalah licin, lebih licin berbanding Mate 20 Pro kepada Mate 30 Pro.
Pada sudut rekaan, ia masih kekalkan DNA sebelumnya jadi penghijrahan tidak akan rasa terlalu kekok. Semua komponen masih dikekalkan pada kedudukan yang serupa.
Walau sama, anda akan rasai perubahan ketara pada prestasi hasil kehadiran cip pemproses baru, panel 90Hz yang menyokong HDR10 dan storan UFS 3.1. Cumanya, paparan cantik tidak bergandingan dengan speaker stereo itu yang jadikannya agak “meh”.
Huawei P40 Pro hadir dengan Huawei Mobile Services (HMS) jadi sekiranya anda ingin gunakannya telefon ini, terdapat beberapa penyesuaian perlu dilakukan. Bukan nak kata mustahil, tapi perlukan masa. APP medsos asas perlu di-sideload, satu daripada tiga e-Wallet terbesar Malaysia tiada, dan kebanyakan APP perbankan utama tiada.
Untuk bahagian kamera, ia hadapi masalah dengan Night Mode-nya. Keseimbagan dedahan sukar dicapai oleh Night Mode. Saya simpulkan yang ia bukan masalah komponen, sebaliknya pada firmware pemprosesan datanya. Di harapkan dalam kemas kini yang akan datang ia akan ditambah baik.