Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

TM pasang WiFi percuma dikuasakan 5G di pusat kuarantin COVID-19

Bagi melancarkan lagi liputan talian di pusat kuarantin COVID-19, Telekom Malaysia Berhad (TM) telah memasang stesen pemancar 5G di 2 buah pusat kuarantin iaitu Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh, Selangor. Ia bagi membolehkan semua yang bertugas dan pesakit di kawasan tersebut, menikmati internet 5G berkelajuan tinggi.

Sebanyak 50 unit terminal Akses Wayarles Tetap 5G (5G Fixed Wireless Access terminal) di pasang di 2 lokasi tersebut dan ia memberikan sambungan WiFi sehingga 500Mbps kepada pengguna. Orang ramai boleh menggunakan WiFi menerusi rangkaian 5G itu secara percuma sepanjang masa.

Inisiatif Tanggungjawab Korporat (CSR) terbaharu daripada TM ini adalah lanjutan kepada penglibatan Syarikat dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP) di Langkawi dan Subang Jaya baru-baru ini; di mana pelaksanaan di pusat-pusat kuarantin berkenaan menggunakan aturan rangkaian teras 5G yang sama seperti di Langkawi. Dengan kepakaran, sumber dan pengalaman 5G yang dimiliki, TM berjaya melaksanakan pemasangan stesen pemancar itu hanya dalam masa beberapa hari.

Mengulas berkenaan inisiatif tersebut, Dato’ Noor Kamarul Anuar Nuruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata: “TM berasa berbesar hati kerana telah diberi peluang oleh pihak Kerajaan untuk melaksanakan pemasangan stesen pemancar 5G di dua (2) pusat kuarantin itu. Kami telah memperuntukkan 50 unit terminal FWA percuma di kedua-dua pusat kuarantin dan kami menyediakan akses WiFi PERCUMA menerusi rangkaian 5G buat semua pengguna di situ. Selain sebagai lanjutan kepada 5GDP baru-baru ini, inisiatif ini juga merupakan sebahagian usaha tanggungjawab korporat kami dalam membantu Kerajaan ke arah membendung penularan pandemik COVID-19. Dengan kecekapan dan kemudahan sambungan 5G, pasukan barisan hadapan dan perubatan akan dapat #kekalproduktif dalam operasi mereka untuk bertindak terhadap sebarang situasi kecemasan dan memberikan rawatan yang diperlukan; sementara para pesakit pula dapat #kekalberhubung dengan keluarga dan yang tersayang sepanjang mereka berada di pusat kuarantin itu. Pelaksanaan stesen pemancar 5G ini juga menggambarkan kepakaran dan keupayaan kami dalam membawakan perkhidmatan 5G kepada rakyat Malaysia seluruh negara. Kami akan terus mencari lebih banyak cara untuk kami membantu mengurangkan impak pandemik ini kepada ekonomi, serta pelanggan kami, anggota, pasukan barisan hadapan dan golongan yang memerlukan; sambil memastikan perkhidmatan kami terus diberikan tanpa sebarang gangguan.”

“Bagi pihak TM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kepercayaan dan bantuan sepanjang proses ini; daripada perancangan sehinggalah kepada pelaksanaan, yang membolehkan kami menyelesaikan kerja-kerja berkaitan di lokasi-lokasi kritikal ini hanya dalam masa beberapa hari sahaja. Ini turut membuktikan keupayaan kami untuk menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian digital yang inovatif serta menyesuaikan penawaran kami bagi membantu pelanggan apabila diperlukan, khususnya semasa tempoh yang mencabar ini. Sebagai penyedia rangkaian infrastruktur telekomunikasi nasional untuk aspirasi Negara Digital Malaysia, kami telah mewujudkan tunjang komunikasi negara dengan sambungan dan rangkaian bersepadu terluas. Kami akan terus membina asas kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan pelaksanaan 5G di seluruh negara – memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan gaya hidup yang lebih digital, perniagaan dan vertikal industri digital, serta Kerajaan digital ke arah mempertingkatkan kualiti hidup Rakyat,” tambah beliau.

BACA  Ini gambar ROG phone 3 yang lebih jelas
Laman web StayAlert.my

TM akan terus memantau perkembangan situasi semasa dan menyesuaikan perkhidmatan mereka untuk membantu pihak-pihak berkepentingan pada masa yang diperlukan. Orang ramai juga dijemput untuk melayari portal StayAlert.my, sumber maklumat sahih sehenti yang dibangunkan oleh TM, bagi membantu rakyat Malaysia terus menerima berita dan perkembangan terkini berkenaan COVID-19.