Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Poco F2 Pro bukan lagi pembunuh flagship yang murah

Selepas dua tahun melancarkan Poco F1, hari ini mereka kembali semula membawakan generasi kedua telefon pintar berkuasa tinggi, Poco F2 Pro. Tetapi nama Pro padanya adalah serampang dua mata, di mana ia bukan sahaja membawa maksud prestasi tertinggi, ia juga menjadikan harganya turut dinaikkan lebih tinggi berbanding Poco F1 yang lalu.

Malah Poco F2 Pro bukanlah satu telefon pintar serba baharu yang direka sendiri oleh Poco, sebaliknya ia adalah klon Redmi K30 Pro yang telah dilancarkan di China bulan lepas. Ia turut tampil dengan senarai warna yang sama, iaitu biru, putih, ungu dan kelabu.

Perkara paling utama dinantikan oleh peminat Poco sudah pasti harganya. Dengan semua perkakas terbaik yang digunakan, adalah mustahil untuk Poco F2 Pro meletakkan harga yang melampau rendah seperti Poco F1. Malah, harga permulaannya dilihat menghampiri RM2,000.

Harga jualan

Pelancaran antarabangsa Poco F2 Pro malam ini hanya menunjukkan harga jualannya di Eropah iaitu:

  • Poco F2 Pro (RAM 6GB + Storan 128GB) – EUR499 (~RM2,344)
  • Poco F2 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – EUR599 (~RM2,814)

Untuk perbandingan harga di Eropah dan Malaysia, kita boleh membandingkan dengan model yang telah sedia dijual. Contohnya ialah Mi Note 10 dan Mi Note 10 Pro. Harga jualannya di Eropah ialah:

  • Mi Note 10 (RAM 6GB + Storan 128GB) – EUR549
  • Mi Note 10 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – EUR649

Manakala harga jualannya di Malaysia ialah:

  • Mi Note 10 (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM2,099
  • Mi Note 10 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM2,499

Ada perbezaan sekitar RM400 untuk versi Pro dan bukan Pro. Secara kasar, harga Poco F2 Pro yang lebih rendah EUR50 dari Mi Note 10, membawa kepada pengurangan RM200. Dari perbezaan harga ini, kami menganggarkan bahawa Poco F2 Pro kelak akan dijual di Malaysia dengan harga:

  • Poco F2 Pro (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM1,899
  • Poco F2 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM2,299
BACA  Digi akan meluaskan liputan jalur lebar tetap menggunakan rangkaian TM HSBB

Jika benar, Poco F2 Pro boleh menjadi bukan sahaja peranti 5G pertama di Malaysia yang dijual di bawah RM2,000, malah peranti berkuasa Snapdragon 865 pertama di bawah RM2,000 juga! Semoga jangkaan kami ini menjadi kenyataan.

Prestasi tertinggi

Banyak habis cerita pada harga tetapi apa sebenarnya Poco F2 Pro ini? Telefon pintar Poco F2 Pro ialah sebuah peranti dengan prestasi terbaik ada di pasaran, sama seperti Redmi K30 Pro. Ia dikuasakan cip Snapdragon 865 5G yang menggunakan teknologi penyejukan lebih baik dari Samsung Galaxy S20+, bersama RAM LPDDR5 terkini serta storan dari jenis UFS3.1 yang sangat pantas.

Telefon ini memiliki skrin berukuran 6.67-inci AMOLED FHD+, tanpa takuk dan lubang kerana menggunakan modul pop-up untuk kamera hadapan. Sayangnya ia tidak memiliki refresh rate tinggi, hanya pada 60Hz sahaja. Pengimbas capjari terdapat di dalam skrin hadapan ini.

Bateri yang agak besar dipasang di dalamnya, berkapasiti 4,700mAh. Pengecasan pantas turut disokong dengan kuasa sehingga 30W menggunakan sambungan USB-C.

Di bahagian kamera, ia dilengkapi empat kamera belakang dengan AI. Kamera utamanya menggunakan sensor Sony IMX686 64MP dengan saiz sensor besar berukuran 1/1.7-inci. Kamera kedua pula ialah kamera ultra lebar 13MP, diikuti kamera pengesan kedalaman 2MP dan kamera telemakro 5MP dengan autofokus. Kamera hadapannya pula 20MP di dalam modul pop-up yang boleh disembunyikan.

Selain dari ini, Poco F2 Pro turut memiliki jek audio 3.5mm, pemancar infra merah dan juga NFC. Di samping sokongan rangkaian 5G, ia turut dilengkapi WiFi 6 dan Super Bluetooth, tetapi Poco F2 Pro tiada slot kad mikroSD, tiada speaker stereo serta tiada pengecasan wayarles.

BACA  AirAsia kini di WhatsApp, satu lagi saluran untuk anda kejar “refund” anda

Baik Beli Poco?

Sememangnya harga anggaran kami tentang Poco F2 Pro jauh melambung tinggi jika dibandingkan dengan Poco F1 yang dilancarkan dengan harga sekitar RM1,200 sahaja. Tetapi Poco F1 hanya memberi fokus kepada prestasi sahaja, sambil melupakan aspek kamera dan lain-lain perkara.

Di Poco F2 kali ini, ia mengambil maksud prestasi dalam skop lebih luas seperti sokongan 5G dan kamera berkualiti tinggi. Buat masa ini, masih belum ada peranti dengan cip kelas flagship yang dijual di bawah RM2,000, apatah lagi dengan sokongan 5G.

Jika harga Poco F2 Pro menepati ramalan kami, maka peranti ini layak untuk memegang kembali tanda pagar #BaikBeliPoco. Tapi jangan cepat gembira, kita kena tunggu ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia kelak.