Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Realme X3 Superzoom dilancarkan pada harga lebih murah dari Realme X2 Pro

Selepas beberapa hari berkongsi petunjuk akan ketibaannya, Realme Malaysia hari ini melancarkan telefon pintar berkuasa tinggi dengan kamera yang boleh mengezum jauh, Realme X3 Superzoom. Bagaimanapun banyak perkara tentangnya telah kita ketahui kerana ia telah dilancarkan di Eropah.

Terdapat dua varian Realme X3 Superzoom yang akan dijual di Malaysia, pada harga lebih murah dari Realme X2 Pro. Harganya seperti berikut:

  • Realme X3 Superzoom (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM1,999
  • Realme X3 Superzoom (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM2,299

Lebih menarik lagi adalah promosi jualan hari pertama yang berbeza untuk kedua-dua varian ini. Bagi storan 128GB, ia akan mula dijual pada 2 Jun, eksklusif di Lazada. Pembeli terpantas boleh mendapatkan diskaun RM200, menjadikannya hanya RM1,799. Tetapi unit sangat terhad.

Bagi storan 256GB, ia akan mula dijual pada 6 Jun 2020 dengan pemberian hadiah percuma berupa Realme Buds Air (bernilai RM299) khas untuk jualan hari pertama sahaja. Selain itu, kedua-dua varian ini turut datang dengan jaminan dilanjutkan ke tahun kedua.

Secara kasar, Realme X3 Superzoom memiliki prestasi yang sama dengan Realme X2 Pro. Ia menggunakan pemproses Snapdragon 855+, bersama RAM LPDDR4X sehingga 12GB dan storan dalaman UFS3.0 sehingga 256GB. Tiada kad mikroSD diterima.

Naiktarafnya boleh dilihat pada skrin di mana X3 Superzoom menggunakan skrin 6.6-inci HD Penuh dari jenis LCD, dengan refresh rate setinggi 120Hz. Skrin ini tidak bertakuk kerana menggunakan lubang di atas, untuk kamera hadapan. Disebabkan penggunaan skrin LCD, pengimbas capjarinya terletak di sisi bergabung dengan buatang kuasa.

Tarikan utama di X3 Superzoom adalah kameranya. Ia masih mengekalkan kamera utama yang sama, 64MP F1.8 menggunakan sesnsor Samsung GW1. Pembaharuannya adalah pada lensa telefoto di mana ia menggunakan kamera telefoto periskop 8MP F3.2, dengan kemampuan zum optikal 5x dan zum hibrid sehingga 60x. Ia turut dilengkapi penstabil imej optikal (OIS).

BACA  PKPP dilanjutkan hingga hujung tahun, terus patuh atau berhadapan kompaun lebih RM1,000

Dua lagi kamera di belakangnya ialah kamera ultra lebar 8MP F2.3 serta kamera makro 2MP F2.4. Untuk hadapan, ia dilengkapi dua kamera yang terletak di dalam lubang di bahagian atas skrin. Ia adalah gabungan kamera utama 32MP F2.5 menggunakan sensor Sony IMX616, serta kamera ultra lebar 8MP F2.2 dengan bukaan seluas 105-darjah.

Bateri di X3 Superzoom juga lebih besar, kini berkapasiti 4,200mAh dengan sokongan pengecasan pantas Dart Charge 30W melalui USB-C. Bagaimanapun, ia masih tiada sokongan pengecasan wayarles.

Salah kekurangan pada telefon ini berbanding X2 Pro ialah ketiadaan speaker stereo. Ia hanya ada satu speaker di bawah tetapi menyokong sistem bunyi sekeliling Dolby Atmos. Jek audio 3.5mm juga tiada pada telefon ini, kena guna adaptor USB-C ke 3.5mm untuk pakai fon kepala berwayar.

Untuk peminat permainan video, X3 Superzoom dilihat lebih berbaloi dari X2 Pro kerana ia masih mengekalkan prestasi tertinggi yang sama, kini dengan skrin refresh rate lebih tinggi. Malah, harganya lebih murah tetapi datang dengan kamera lebih hebat. Cuma, kena korbankan jek audio 3.5mm.

Kalau anda berminat untuk membeli Realme X3 Superzoom, jangan lupa tarikh jualan pertamanya untuk mendapatkan semua hadiah percuma tersebut.