Honor akan melancarkan telefon pintar dengan harga yang sangat mampu dimiliki, Honor 9A pada 23 Jun 2020. Ia merupakan acara pelancaran antarabangsa, tetapi dijangka akan tiba ke Malaysia tidak lama selepas pelancaran ini.
Honor 9A diiklankan sebagai sesuatu yang besar. Antaranya ialah skrin yang besar, bateri yang besar dan storan yang besar. Persoalan paling penting, adakah ia datang dengan perkhidmatan Google? Perkara ini masih belum dapat dipastikan, tetapi logo Huawei AppGallery terdapat di beberapa gambar telefon ini.
Laman produk Honor 9A telah pun sedia dilayari. Kita boleh meneliti spesifikasi penuhnya di situ.
Honor 9A dilihat seperti sebuah telefon pintar yang agak ketinggalan zaman. Ini kerana ia dikuasakan oleh cip Mediatek Helio P22. Cip ini digunakan oleh Redmi 6 yang dilancarkan 2 tahun lepas, serta Realme C2 yang dilancarkan tahun lepas. Bagusnya, Honor 9A dibekalkan RAM 3GB dan storan besar 64GB.
Bateri yang besar dimuatkan ke dalam Honor 9A, dengan kapasiti 5,000mAh. Tetapi ia masih menggunakan port mikro-USB untuk mengecas. Satu lagi petunjuk yang ia adalah telefon yang lapuk. Menariknya, telefon ini memiliki tiga slot kad, dua untuk sim dan satu untuk mikroSD, yang boleh digunakan semuanya serentak.
Skrinnya boleh dikatakan besar, dengan saiz 6.3-inci bertakuk. Tetapi resolusinya hanyalah HD 720p dari jenis LCD. Petanda ia telefon berharga rendah, atau pun sebuah telefon model lama.
Di bahagian kamera ia kelihatan sedikit baru. Terdapat 3 kamera di belakangnya yang menggunakan susunan mirip model flagship Honor V30. Ia gabungan kamera utama 13MP, kamera ultra lebar 5MP dan kamera pengesan kedalaman 2MP. Kamera hadapannya pula 8MP, terletak di dalam takuk di atas skrin.
Satu perkara yang menjadikan telefon ini terasa baharu ialah sistem operasinya. Ia menjalankan antaramuka EMUI 10.1, dipercayai berasaskan Android 10.
Dari segi spesifikasinya yang agak tua, Honor 9A mungkin boleh menggunakan aplikasi Google. Ini kerana ia adalah satu taktik yang pernah digunakan pada Honor 9X, di mana ia menggunakan cip lama yang telah lama diluluskan, agar tidak tertakluk di bawah sekatan Amerika Syarikat dan boleh menggunakan aplikasi Google.
Sama ada Honor 9A boleh menggunakan aplikasi Google atau tidak, kita nantikan pengumumannya pada 23 Jun nanti. Seperkara lagi, spesifikasi lama pada Honor 9A juga menjanjikan harga yang sangat murah. Kami jangkakan di bawah RM500. Lebih patut lagi, harganya adalah RM399. Adakah tekaan kami ini tepat?