Apabila terbaca mesej yang diforwardkan kepada saya, melihatkan tajuk status Facebook: “MAMPUKAH 10mbps menjulang Malaysia di mata Dunia?!“, saya menjangkakan ia adalah aduan berkenaan kualiti rangkain Yoodo. Rupa-rupanya, aduan tersebut ditujukan kepada kualiti buruk jalur lebar tetap di rumah.
Muhamad Izzrudin Hashim atau lebih dikenali sebagai Jumper, adalah ahli kepada pasukan Yoodo Gank yang ditaja oleh Yoodo, sebuah syarikat telekomunikasi maya (MVNO) yang menggunakan rangkaian Celcom. Baru baru ini, Yoodo Gank telah dinobatkan sebagai juara di dalam Liga Profesional PUBG Mobile (PMPL) Musim Bunga 2020. Mereka mengutip 284 mata, menewaskan pasukan lain untuk menjadi pasukan terbaik di Asia Tenggara.
Bersempena kejayaan tersebut, Yoodo Gank turut menerima gelaran “Pasukan Pertama Memenangi Pertandingan PUBG Mobile di Peringkat Asia Tenggara”, oleh Malaysia Book of Records.
Alkisahnya begini.
Jumper telah memuat naik status Facebook yang panjang lebar bertajuk “MAMPUKAH 10mbps menjulang Malaysia di mata Dunia?!“. Status tersebut menceritakan mengenai kualiti Wifi di rumahnya yang terletak di Kuala Pilah. Beliau menggunakan jalur lebar tetap Streamyx di rumah dan mengadu bahawa kualitinya sangat teruk.
Menurut beliau, kelajuan yang diterimanya hanyalah 10Mbps dengan ping yang boleh pergi setinggi 100-150ms. Perkara ini boleh menyekat usaha beliau untuk bertanding dengan baik di dalam pertandingan Liga Dunia PUBG Mobile yang akan datang.
Beliau mengatakan, semasa bermain di pusingan akhir peringkat Asia Tenggara, beliau menggunakan sambungan Streamyx di rumah secara WiFi. Walaupun bergelut dengan sambungan internet di rumah, beliau bersyukur kerana berjaya menang dan menjadi nombor 1 di rantau ini. Untuk menjadi juara dunia, persediaan adalah kunci dan sambungan internet adalah sangat penting, tambahnya.
Kerana itu, beliau pernah memohon kepada TM untuk memasang Unifi di kawasan rumahnya, tetapi diberitahu perlu menunggu sehingga permintaan mencukupi. Dengan rendah diri, beliau sekali lagi memohon menerusi Facebook agar TM atau pihak berkaitan, boleh membantunya dalam usaha menjadi juara dunia di mana ia datang dengan hadiah wang tunai bernilai RM3.2 juta.
Yoodo menggunakan rangkaian Celcom di mana sambungan 4G adalah terbaik di dalam negara, menurut laporan OpenSignal. Laporan itu menyebut, pengalaman bermain permainan video lebih memihak kepada Maxis dengan 75.4 mata, tetapi Celcom tidak jauh ketinggalan dengan 72.7 mata.
Semakan dengan OpenSignal menunjukkan, pengguna Celcom di Kuala Pilah menerima muat turun purata berkelajuan 9.96Mbps dan muat naik purata 4.39Mbps. Kependaman pula sekitar 59ms, jauh lebih baik dari yang dinyatakan oleh Jumper untuk sambungan Streamyx.
Tidak lama selepas status Jumper dimuat naik, Unifi telah membalas respon beliau. Unifi berterima kasih kepada kesetiannya terhadap Streamyx serta usahanya memartabatkan nama Malaysia di dalam eSports. Tetapi Unifi keliru kerana pasukan Yoodo Gank yang dianggotai Jumper dan ditaja oleh Yoodo yang juga penyedia perkhidmatan internet, mengadu masalah internet kepada Unifi.
Kami menghubungi Yoodo tentang masalah Jumper ini dan mereka membalas dengan kenyataan berikut:
We understand that there was a certain degree of miscommunication and misunderstanding based on the way Jumper had worded his original post. We hope his follow up statement clarifies the situation.
Yoodo always encourages all our players to use our mobile data as it is part of the nation’s widest 4g LTE network. However we are also aware of the reality where on many situations players would also depend on their home WiFi.
Whatever the case may be, Yoodo is fully invested in supporting it’s players in any way possible.
Pendek kata, Yoodo menyatakan terdapat salah faham dan kesilapan perhubungan dalam ayat yang digunakan Jumper dalam aduan beliau di Facebook. Yoodo menggalakkan semua pemainnya agar selalu menggunakan internet mudah alih Yoodo. Tetapi mereka tidak menghalang penggunaan WiFi di rumah masing-masing.
Sejurus selepas itu, Jumper memuat naik status baru di Facebook menerangkan bahawa masalah WiFi di rumahnya tidak berkaitan Yoodo. Disebabkan arahan duduk di rumah, beliau terpaksa menggunakan WiFi untuk apa jua aktiviti.
Semoga dengan tularnya aduan Jumper ini dapat membuka mata semua pihak yang berkaitan untuk terus menyediakan internet berkualiti tinggi di Malaysia. Sementara itu, mungkin Jumper boleh mengkhususkan masa bermain PUBG Mobile dengan menggunakan Yoodo kerana Yoodo memberikan 20GB data percuma untuk PUBG Mobile, serta tawaran 20GB hanya RM20. Malah, beliau pasti boleh memohon internet tanpa had dari Yoodo. Sambungan internet Celcom di Kuala Pilah pun tak kurang bagusnya jika mahu digunakan bermain PUBG Mobile.