Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar, untuk pekerja yang dihentikan serta terjejas gaji

Perdana Menteri Malaysia hari ini mengumumkan di saluran berita nasional bahawa moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman akan dilanjutkan hanya untuk pekerja yang diberhentikan pada tahun 2020, serta pekerja yang dikurangkan gaji oleh syarikat. Pada bulan Mac lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan moratorium untuk semua peminjam bank di Malaysia selama 6 bulan, dari April hingga September 2020.

Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan moratorium kepada semua dapat dilihat dari statistik peminjam. Di mana sebanyak 601,000 peminjam telah meneruskan bayaran ansuran pada bulan Julai, berbanding hanya 331,000 peminjam pada bulan April. Peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mengambil moratorium juga meningkat, dari 5,000 peminjam pada April kepada 13,000 peminjam pada Julai.

Hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan moratorium lanjutan dan bantuan bank secara bersasar. Iaitu kepada individu yang hilang pekerjaan pada tahun 2020, serta individu yang terjejas gaji akibat COVID-19.

Bagi individu yang hilang pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu , moratorium untuk mereka akan dilanjutkan selama 3 bulan lagi, sehingga Disember 2020. Selepas itu, lanjutan moratorium akan dipertimbang oleh bank, bergantung kepada situasi individu tersebut.

Untuk individu yang terjejas gaji atau berkurangan pula, moratorium mereka tidak akan dilanjutkan. Tetapi ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman. Bantuan pengurangan ini akan diberikan sekurang-kurangnya untuk 6 bulan dan lanjutan dari itu bergantung kepada situasi semasa individu tersebut.

BACA  Cara betul basuh topeng guna semula menurut saintis

Bagi peminjam yang lain, Perdana Menteri mengumumkan bahawa bank-bank akan memberikan komitmen untuk membantu, bergantung kepada situasi individu. Antara bantuan yang akan ditawarkan oleh bank ialah:

  • Membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan
  • Memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan
  • Memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang stabil

Khas untuk pinjaman sewa beli, biasanya berkaitan pembelian kereta, pihak bank akan menawarkan pilihan penjadualan ansuran, tertakluk kepada Akta Sewa Beli. Antaranya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah.

Sehubungan itu, semua peminjam dinasihatkan untuk menghubungi bank masing-masing untuk memohon lanjutan moratorium dan bantuan bank yang layak, mulai 7 Ogos 2020. Teruskan menjaga kesihatan diri, amalkan penjarakan sosial dan pakai pelitup muka di tempat awam. Kerana virus COVID-19 masih ada di luar sana.