Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Mac, 2021

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Google Pixel 4A dilancar dengan harga lebih murah dari iPhone SE

Lama sudah diperkatakan tentang telefon baru dengan harga lebih mampu milik dari Google ini, tetapi baru hari ini Google melancarkannya secara rasmi. Google Pixel 4A kini menggantikan kedudukan Pixel 3A yang dilancarkan tahun lepas, sebagai telefon kelas pertengahan terbaru dari Google.

Google memperkenalkan Pixel 4A pada harga separuh lebih murah berbanding Pixel 4. Pixel 4 diberikan tanda harga USD 799 (~RM3,369) manakala untuk Pixel 4A, hanya USD349 (~RM1,471). Ia dikatakan mahu memberi saingan kepada iPhone SE, yang memiliki harga bermula dari USD399.

Jika ada satu perkara mengecewakan, bagi penulis adalah pilihan warna. Pixel 4A didatangkan dalam satu warna sahaja, iaitu hitam. Untuk Pixel 3A, ia memiliki tiga pilihan warna. Manakala bagi Pixel 4, ada dua warna yang boleh dipilih.

Pixel 4A memiliki skrin lebih besar walaupun saiz badan yang sama dengan Pixel 4. Ini kerana ia menggunakan lubang di skrin bagi meletakkan kamera hadapan, menjadikan bingkainya jauh lebih nipis. Saiznya yang berukuran kurang dari 6-inci pasti menarik minat ramai pengguna yang mahukan peranti kompak.

Skrin ini berukuran 5.81-inci dengan resolusi HD Penuh, dari jenis OLED dan kadar penyegaran 60Hz. Ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 3 di depan dan menggunakan plastik polikarbonat di belakang. Pengimbas capjari terdapat di belakang telefon ini, bukan di dalam skrin walaupun ia menggunakan skrin OLED.

Kuasa penggerak utama di Pixel 4A dijalankan oleh cip Qualcomm Snapdragon 730 dan dipadankan dengan modul keselamatan Titan M. RAM nya ditetapkan pada 6GB dan storan dalaman pula 128GB. Kad mikroSD tidak diterima untuk storan tambahan. Bateri di dalamnya 10% lebih besar, dengan kapasiti 3,140mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C.

BACA  Langganan percuma Apple TV+ dilanjutkan lagi sehingga Julai 2021

Hanya ada dua kamera di telefon ini, satu di depan dan satu di belakang. Kamera belakangnya sama dengan kamera utama di Pixel 4, dengan resolusi 12.2MP F1.7 dan auto fokus dwi-piksel. Kamera ini juga dibekalkan penstabil imej optikal dan eletronik (OIS+EIS) untuk tangkapan gambar dan video yang tajam dan stabil.

Kamera hadapannya pula 8MP F2.0 dan ia berteman dua kamera infra merah (NIR), digelar NIR flood emitter dan NIR dot projector. Kamera NIR ini digunakan untuk mengesan jarak dengan lebih tepat berbanding kamera pengesan kedalaman biasa, menjadikan pengecaman wajah lebih jitu.

Untuk sistem bunyi, Pixel 4A hadir dengan speaker stereo, di atas skrin dan di bawah telefon. Jek audio 3.5mm juga masih ada padanya, membolehkan penggunaan fon kepala berwaayar.

Kelebihan utama peranti Pixel adalah kemaskini sistem operasi terpantas dan jaminan kemaskini selama 3 tahun dari pelancarannya.

Sebagai telefon dengan harga lebih separuh murah dari Pixel 4, Pixel 4A tidak kalis air dan tiada pengecasan wayarles. Selain itu, telefon ini menyokong dwi-sim tetapi hanya boleh memuatkan satu sim fizikal bersaiz nano dan satu lagi dalam bentuk eSIM.

Pixel 4A kini telah dibuka tempahan awal di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Taiwan dan Singapura. Penghantaran awal dijangka bermula pada akhir bulan Ogos untuk Amerika Syarikat dan awal September bagi pasaran Singapura. Seperti biasa, Malaysia tidak tersenarai dalam jualan rasmi. Kepada yang berminat, harus mendapatkannya dari Singapura atau set import oleh penjual tempatan kelak.

Sumber: Macrumors, 9to5google