Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

REVIU: Fitbit Charge 4 – Penjejak kecergasan lengkap dalam dunia hitam putih

Nama Fitbit memang sudah lama dikenali sebagai pelopor peranti penjejak kecergasan. Model penjejak kecergasan mereka yang popular adalah siri Charge dan kini sudah ada generasi ke-4. Menariknya pada Charge 4 kali ini ialah GPS terbina di dalam, satu fungsi yang sukar ditemui pada penjejak kecergasan sebelum ini.

Kami telah menerima satu unit Fitbit Charge 4 dan ini adalah pengalaman penulis bersamanya. Ia adalah Fitbit Charge 4 berwarna hitam, dengan tali juga berwarna hitam.

Spesifikasi

Fitbit Charge 4 adalah penjejak kecergasan yang kecil dan sangat ringan. Bagaimanapun, ia masih mengekalkan skrin sentuh hitam putih OLED, beresolusi tinggi.

Satu lagi perubahan ialah tiada lagi butang fizikal di sisi, diperkenal sejak Charge 3. Ia telah diubah kepada butang peka sentuhan yang bergetar apabila ditekan, atau disentuh. Butang ini berfungsi sebagai butang kembali, atau ‘back’.

Di dalam, ia memiliki sensor pergerakan 3-paksi (accelerometer), pengesan denyutan nadi optikal, GPS, motor getaran, NFC dan altimeter. Memori di dalamnya boleh menyimpan maklumat pergerakan dan denyutan nadi setiap minit, sehingga 7 hari. Manakala maklumat keseluruhan harian pula boleh disimpan sehingga 30 hari.

Penjejak ini juga kalis air dan boleh digunakan sehingga kedalaman 50 meter, membolehkan ia digunakan untuk menjejak aktiviti berenang. Baterinya pula boleh memberi tenaga sehingga 7 hari lamanya, atau sehingga 5 jam dengan penggunaan GPS berterusan.

Pengalaman penggunaan

Rupa fizikal Charge 4 tidak jauh berbeza dengan model sebelumnya, Charge 3. Pemakaiannya di pergelangan tangan seperti tidak terasa, kerana saiznya yang kecil dan sangat ringan. Tetapi ia masih menggunakan tali getah yang separa keras dan terasa murah, kurang kelihatan premium. Dari segi penggunaan, ini bukan masalah besar.

Disebabkan penulis tidak pernah menggunakan Charge 3 sebelum ini, butang peka sentuh di sisi sangat sukar digunakan pada mulanya. Apatah lagi ia terletak di sudut bawah badan, kadangkala susah dicapai tanpa melihatnya.

Tetapi naik taraf pada Charge 4 boleh dikatakan sangat besar berbanding Charge 3. Dengan terbina GPS di dalam, ia menjadikan penjejak ini tidak lagi bergantung kepada telefon pintar untuk menjejak lokasi masa nyata. Ia adalah satu fungsi yang sangat menggembirakan untuk penggemar kecergasan biasa, yang tidak memerlukan penjejak yang terlalu canggih dan mahal.

BACA  Kenapa Jangan Beli OnePlus Nord ?!

Untuk aktiviti kecergasan paling popular iaitu larian, Charge 4 boleh menjejak langkah, denyutan nadi, tahap ketinggian dan lokasi masa nyata jika GPS dihidupkan. Maklumat yang terkumpul boleh dilihat dengan lebih teliti di aplikasi mudah alih di telefon pintar. Data yang dipaparkan disusun cantik dan mudah untuk difahami, sangat membantu pengguna untuk mencapai sasaran kecergasan yang diingini.

GPS yang terbina di dalam sangat tepat dan ia pantas menjejak lokasi. Jika anda pernah menggunakan penjejak tanpa GPS dan memerlukan telefon pintar sebagai GPS, pasti tahu betapa lamanya masa yang diambil untuk menjejak lokasi. Dengan Charge 4, tekan mula dan tidak sampai 5 saat, ia telah mengunci lokasi penulis.

Satu lagi fungsi baru yang menarik di Charge 4 ini adalah sokongan Spotify. Ia bukanlah bermaksud Charge 4 boleh menyimpan lagu di dalamnya, kerana ia tidak boleh dilakukan. Sebaliknya ia bertindak sebagai alat kawalan.

Mainkan lagu kegemaran anda dari Spotify di telefon pintar, kemudian ia boleh dikawal dari pergelangan tangan seperti berhenti, memainkan lagu, melangkau ke lagu seterusnya, serta melihat nama lagu dan penyanyi, semuanya dari skrin Charge 4. Tidak perlu lagi memegang telefon semasa berlari untuk mengawal lagu yang dimainkan, jadi boleh lebih fokus untuk mengekalkan rentak larian.

Selain aktiviti fizikal, kesihatan diri juga boleh dipantau menerusi corak tidur. Fitbit memiliki analisa laporan kualiti tidur yang sangat bagus. Ia mengesan denyutan nadi dan pergerakan pengguna semasa tidur, untuk memberi gred kualiti tidur. Apatah lagi dengan saiz kecil dan ringan, pemakaian Charge 4 semasa tidur tidak terasa mengganggu, berbanding memakai jam pintar yang lebih besar dan berat.

Fitbit juga menjadi kegemaran ramai dan berjaya mengekalkan peminat menerusi fungsi Community. Di sini, rakan dan kenalan boleh membentuk kumpulan untuk berkongsi aktiviti. Antara perkara yang boleh dilakukan dalam kumpulan tersebut ialah bersaing mencapai sasaran dan memuat naik aktiviti kecergasan yang dilakukan menggunakan penjejak Fitbit, selain memberi semangat antara satu sama lain.

BACA  Perbandingan Kamera: Galaxy Note 20 Ultra, iPhone 11 Pro Max, Galaxy S20 Ultra, dan Galaxy Note 10+

Jika anda perlukan panduan, nasihat atau idea untuk aktiviti kecergasan, anda boleh mendapatkannya di ruangan Discover. Walaupun banyak yang disenaraikan untuk pengguna berbayar Premium, masih ada yang boleh didapati secara percuma. Seperti video yoga, HIIT, merampingkan pinggang dan lain-lain.

Masalah lama masih sama

Penulis telah menggunakan beberapa penjejak Fitbit sebelum ini dan boleh merumuskan, Charge 4 mewarisi masalah yang telah sekian lama ada di peranti Fitbit. Antaranya ialah pengecas. Walaupun dari siri yang sama, Fitbit menggunakan pengecas yang berbeza untuk semua model penjejak. Kalau pengecas rosak atau mahu mengecas di tempat berbeza, anda perlu membeli pengecas baru, tidak boleh menggunakan dari model Fitbit yang lain.

Masalah sambungan Bluetooth dengan telefon pintar juga masih menghantui penjejak Fitbit, walau dengan model terbaru Charge 4. Penulis mengambil masa lebih 30 minit untuk memadankan Charge 4 dengan telefon pintar Samsung Galaxy S10+ buat kali pertama. Selepas dikesan dan dihubungkan, ia masih mengambil masa yang panjang untuk dipadankan sepenuhnya sebelum boleh mula digunakan untuk mengumpul maklumat aktiviti kecergasan.

Satu perkara yang terasa menyusahkan di Charge 4 ialah notifikasi dari telefon pintar. Pengguna boleh menetapkan aplikasi mana yang dibenarkan untuk menghantar notifikasi ke skrin Charge 4. Tetapi jika anda mengumpulkan banyak notifikasi tidak dibaca di Charge 4, anda perlu membaca semua notifikasi ini terlebih dahulu sebelum sampai ke muka utama, untuk melihat jam.

Notifikasi emel baru

Kesimpulan

Pasaran masakini telah dilambakkan dengan pelbagai jenama dan model penjejak kecergasan dan jam pintar. Sementara jam pintar memberikan fungsi yang lebih banyak, ia tidaklah mudah dibawa selalu semasa membuat aktiviti kecergasan. Penjejak yang jauh lebih murah pula, tiada fungsi penjejak kecergasan yang mencukupi.

BACA  Promo 9.9: Himpunan tawaran earfon Bluetooth in-ear yang menarik

Apa yang ditawarkan di Charge 4 adalah perkara yang sekian lama dinanti peminat Fitbit. Penjejak kecergasan yang lengkap dengan pelbagai sensor aktiviti, bersama GPS. Ia memberikan banyak maklumat yang diperlukan pengguna biasa, yang mahu membuat aktiviti kecergasan biasa secara konsisten setiap hari.

Tetapi masalah lama yang masih ada di Charge 4 seperti sambungan Bluetooth yang lembab, boleh merencatkan pengalaman pengguna baru, terutama bagi yang baru mahu mencuba sebelum membeli. Kata orang, pandangan pertama itu penting untuk menarik minat. Jika ia bermula dengan langkah yang salah, ia boleh membuatkan pengguna baru tidak mahu lagi memiliki Fitbit.

Sebagai bekas pengguna Fitbit yang sudah mahir dengan kebanyakan fungsi didalamnya, Charge 4 adalah penjejak yang penulis akan beli. Hayat baterinya boleh diterima, tidak terlalu singkat. Paling penting, sudah ada GPS terbina di dalam.

Charge 4 juga memiliki NFC terbina di dalam dan menyokong Fitbit Pay. Jadi ia boleh digunakan untuk membuat pembayaran tanpa tunai terus dari pergelangan tangan, jika Fitbit Pay mula dibenarkan beroperasi di Malaysia. Satu lagi markah bonus untuk Charge 4.

Tetapi dengan harga terkini RM688, ia boleh dikira agak mahal. Apatah lagi dengan skrin hanya hitam putih. Cuma, tiada pengeluar lain yang dapat memberikan penjejak kecergasan bersaiz kecil bersama terbina GPS di dalamnya, pada harga yang hampir serupa.

Pendek kata, Fitbit Charge 4 sesuai untuk pengguna biasa yang konsisten menjalankan aktiviti kecergasan biasa seperti berlari dan berenang, serta memerlukan pemantau waktu tidur yang tidak terlalu mengganggu. Fungsi pintar sebetulnya tidak diperlukan seperti mikrofon, pembesar suara dan notifikasi. Hanya fokus pada penjejak aktiviti kecergasan.

Jika anda mahu mencuba sendiri Fitbit Charge 4, ia boleh dibeli di Stor Rasmi Fitbit di Lazada dan Shopee pada harga dari RM688. Terdapat tiga pilihan warna iaitu hitam, merah dan biru.