Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Jam pintar, laptop dan telefon pintar baru Honor akan tiba ke Malaysia

Walaupun terganggu akibat sekatan Amerika Syarikat, ia tidak menghalang Honor untuk terus melancarkan produk baru mereka. Baru-baru ini, Honor Malaysia mengesahkan akan melancarkan tiga lagi produk baru mereka di Malaysia dalam masa terdekat.

Produk tersebut ialah jam pintar Honor Watch GS Pro, laptop Honor MagicBook Pro dan telefon pintar Honor 9S yang sangat mampu dimiliki. Tarikh pelancarannya masih belum ditetapkan tetapi ia akan diumumkan tidak lama lagi.

Honor Watch GS Pro

Dilancarkan di pameran IFA 2020, Honor Watch GS Pro sebenarnya adalah jam pintar yang sama dengan MagicWatch 2, tetapi ia lebih tahan lasaka kerana menepati standard ketenteraan MIL STD-810G. Bermakna ia tahan suhu ekstrem, debu dan habuk, gegaran, hentakan, kelembapan, altitud dan banyak lagi.

Selain itu, baterinya juga ada jangka hayat lebih panjang, sehingga 25 hari untuk penggunaan biasa atau 47 jam dalam mod penjejak GPS. Selain itu, persamaannya dengan MagicWatch 2 seperti skrin AMOLED 1.39-inci, dikuasakan cip Kirin A1 dan dilengkapi mikrofon serta speaker.

Honor Watch GS Pro dijual di Eropah pada harga EUR 250 (~RM1,227). Untuk perbandingan, Honor MagicWatch 2 46mm telah dijual di Malaysia pada harga RM649.

Honor MagicBook Pro

Laptop paling berkuasa dari Honor ini menggunakan pemproses AMD Ryzen 5 4600H bersama RAM DDR4 16GB dan storan SSD NVMe 512GB. Ia memiliki skrin berukuran 16.1-inci HD Penuh serta bateri 56Wh yang boleh bertahan sehingga 11 jam. Pengecasan pantas 65W disokong melalui port USB-C.

Terdapat dua pembesar suara di kiri dan kanan papan kekunci dan ia datang dengan butang kuasa yang memiliki pengimbas capjari terbina di dalamnya. Ia turut dilengkapi kamera boleh sembunyi di dalam papan kekunci serta port lengkap seperti 3 port USB-A, port USB-C, port HDMI dan jek audio 3.5mm.

BACA  Honor lancar jam Watch GS Pro dan laptop MagicBook Pro berprestasi tinggi di Malaysia

Laptop Honor MagicBook Pro dijual di Eropah bersama RAM 16GB dan storan 512GB pada harga EUR 899 (~RM4,420). Memandangkan harga produk Honor di Malaysia jauh lebih murah berbanding di Eropah, kita boleh jangkakan laptop ini akan dijual di bawah RM4,000.

Honor 9S

Siri S adalah telefon pintar paling murah dalam keluarga Honor. Tidak hairanlah jika Honor 9S yang baru ini masih tiada pengimbas capjari, serta hanya 1 kamera di belakang. Telefon ini memiliki cip Mediatek Helio P22, RAM 2GB dan storan 32GB.

Skrinnya berukuran 5.45-inci dengan resolusi HD 720p, tanpa takuk kerana memiliki bingkai besar untuk kamera hadapan. Kamera belakangnya 8MP manakala kamera hadapan 5MP. Baterinya sebesar 3,020mAh dengan pengecasan 5W melalui mikroUSB.

Seperti peranti Honor baru yang lain, Honor 9S tidak dipasang Google Mobile Services dan tiada aplikasi Google. Untuk rujukan, Honor 9S telah dijual di India pada bulan Ogos lepas dengan harga INR 6,499 (~RM365).

Honor Malaysia turut menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan kedai minuman yogurt tempatan, Tien Tien Yogurt. Apakah yang akan dikerjasamakan, kena tunggu pengumuman lanjut dari Honor Malaysia tidak lama lagi.