Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Samsung lancar Galaxy S20 FE dilengkapi Snapdragon 865 di Malaysia

Samsung hari ini melancarkan ahli terbaru dalam keluarga siri Galaxy S20 mereka, dengan nama diberi Galaxy S20 Fan Edition, atau nama pendeknya Galaxy S20 FE. Ia juga adalah model paling murah dalam keluarga Galaxy S20, tetapi mengekalkan prestasi tinggi yang sama.

Harga untuk Galaxy S20 FE diumumkan bermula dari USD699. Menariknya, Samsung Malaysia turut mengumumkan harga rasminya di Malaysia iaitu RM3,399 dan ia adalah versi 5G. Harga ini lebih murah dari Galaxy S20 yang berharga RM3,599 di Malaysia, tanpa 5G.

Walaupun prestasi Galaxy S20 FE kekal sama seperti abangnya yang lain, terdapat beberapa perkara perlu dikurangkan untuk memastikan ia boleh dijual lebih murah. Samsung dilihat memilih perkara yang tepat untuk diturun taraf di peranti baru ini, tanpa menjejaskan prestasi tinggi.

Kuasa pemproses Galaxy S20 FE masih menggunakan cip Exynos 990 atau Snapdragon 865. Ini apa yang dikatakan di atas kertas spesifikasi. Tetapi Samsung Malaysia memaklumkan, Galaxy S20 FE di Malaysia akan dikuasakan cip Snapdragon 865, berbeza dari keluarga Galaxy S20 sebelum ini.

Di Malaysia, hanya satu varian yang dijual, memiliki RAM LPDDR5 8GB dan storan dalaman 256GB, serta menyokong rangkaian 5G. Model ini juga menerima kad mikroSD di dalam slot hibrid, sehingga 1TB.

Kekurangan Galaxy S20 FE berbanding model biasa Galaxy S20 adalah di skrin. Ia memiliki skrin Super AMOLED Infinity-O berukuran 6.5-inci, tetapi kekal dengan kadar penyegaran 120Hz. Baterinya pula lebih besar, berkapasiti 4,500mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 25W melalui USB-C, serta pengecasan wayarles terus dan terbalik.

Bahagian kamera juga dilihat diturun taraf, tetapi masih berpretasi tinggi. Terdapat 3 kamera di belakangnya iaitu kamera utama 12MP F1.8 dengan dwi-piksel AF dan OIS, kamera ultra lebar 12MP F2.2 dan kamera telefoto 8MP F2.4 berkeupayaan zum optikal 3x. Kamera ini turut boleh mengezum digital sehingga 30x. Bagi kamera hadapan, ia menggunakan sensor 32MP F2.0 dan terletak di dalam lubang di atas skrin.

BACA  Samsung Galaxy S30 bakal guna konfigurasi kamera macam Huawei Mate 40 Pro?

Tambah menarik lagi apabila Samsung mengekalkan fungsi kalis air IP68 di telefon ini, serta sistem bunyi stereo. Selain itu, ia memiliki pengimbas capjari di dalam skrin serta dilengkapi WiFi 6 dan Bluetooth 5.0.

Pilihan warna yang segar dan menarik disediakan untuk galaxy S20 FE. Terdapat 6 warna boleh dipilih iaitu Cloud Mint, Cloud Navy, Cloud Lavender, Cloud Red, Cloud Orange dan Cloud White.

Harga dan Tarikh Jualan

Galaxy S20 FE 5G dengan storan 256GB, akan dijual di Malaysia pada harga RM3,399. Tempahan awal aka dibuka dari 24 September sehingga 8 Oktober 2020, atau selagi stok masih ada. Sudah pasti, tempahan awal akan menerima banyak hadiah percuma. Kali ini, Samsung menyediakan hadiah bernilai RM586 berupa:

  1. Pembasmi kuman UV bersama pengecas wayarles bernilai RM299
  2. Satu kali perlindungan keretakan skrin bernilai RM168
  3. Pelindung telefon lutsinar bernilai RM119

Tempahan awal boleh dilakukan di Stor Online Samsung Malaysia, kedai Samsung Experience Store serta mana-mana pengedar sah Samsung. Untuk mengenali dengan lebih lanjut, layari laman produk Samsung Galaxy S20 FE.