Di samping melancarkan Mi 10T dan Mi 10T Pro, Xiaomi turut memperkenalkan satu lagi ahli dalam keluarga yang sama, Mi 10T Lite. Ia adalah telefon pintar yang jauh berbeza dari kedua-dua abangnya. Kelebihannya dilihat sebagai, telefon pintar 5G paling murah boleh dibeli.
Walaupun 5G masih lagi tidak berguna di Malaysia, mungkin hingga tahun depan, ia boleh menjadikannya sedia digunakan untuk jangka masa lebih panjang. Mi 10T Lite dikuasakan pemproses Snapdragon 750 5G, sedikit bawah dari Snapdragon 765 5G di OnePlus Nord. Bersamanya ialah RAM LPDDR4X 6GB dan storan UFS 2 sehingga 128GB.
Sekilas pandang rupa dan spesifikasinya, Mi 10T Lite kelihatan seperti Poco X3 NFC. Selain pemproses berbeza, Mi 10T Lite berkongsi paparan LCD 6.67-inci berlubang, dengan kadar penyegaran 120Hz. Ia dipasang kaca Corning Gorilla Glass 5 di depan dan belakang, dengan bingkai diperbuat daripada plastik.
Rupa belakang Mi 10T Lite adalah persamaan paling ketara dengan Poco X3 NFC. Ini kerana ia berkongsi modul kamera terbonjol yang pelik di belakang. Modul ini menempatkan empat kamera iaitu kamera utama 64MP F1.89, kamera ultralebar 8MP F2.2, kamera makro 2MP F2.2 dan kamera pengesan kedalaman 2MP F2.4. Untuk kamera hadapan, ia menggunakan sensor 16MP F2.45.
Bateri berkapasiti 4,820mAh dipasang di dalam Mi 10T Lite dan ia menyokong pengecasan pantas 33W. ia ada speaker stereo dan menariknya, masih ada jek audio 3.5mm. Di samping itu, ia juga ada pemancar infra merah, perkara standard untuk telefon Xiaomi.
Xiaomi menyediakan tiga warna untuk Mi 10T Lite: Atlantic Blue, Pearl Gray dan Rose Gold Beach. Ia akan dijual di Eropah dengan harga berikut:
- Mi 10T Lite (RAM 6GB + Storan 64GB) – EUR 279 (~RM1,357)
- Mi 10T Lite (RAM 6GB + Storan 128GB) – EUR 329 (~RM1,601)
Xiaomi juga akan mengadakan promosi jualan kilat, di mana diskaun EUR 30 (~RM145) diberikan untuk varian 64GB.
Di Malaysia, Xiaomi menyatakan ia akan dilancarkan bersama Mi 10T dan Mi 10T Pro pada 6 Oktober 2020. Harganya pasti lebih murah dari Eropah dan promosi jualan kilat mungkin akan diadakan di Malaysia juga.