Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Keluarga Mi 10T dilancarkan pada harga jauh lebih mahal dari Mi 9T

Xiaomi akhirnya melancarkan siri Mi 10T di pentas antarabangsa, membawakan 3 model telefon pintar baru di bawah siri tersebut. Keluarga Mi 10T adalah peranti berkuasa tinggi, tetapi harganya dilihat jauh lebih mahal dari Mi 9T tahun lepas.

Tiga model yang diperkenalkan dalam siri ini ialah Mi 10T Pro, Mi 10T dan Mi 10T Lite. Sementara Mi 10T Pro dan Mi 10T berkongsi perkara yang sama hampir dalam semua aspek, Mi 10T Lite adalah peranti yang jauh berbeza.

Mi 10T Pro

Versi terbaik dalam keluarga Mi 10T ini dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 865 5G, RAM LPDDR5 sehingga 8GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB.

Jika Mi 9T Pro dulu menggunakan skrin AMOLED, di Mi 10T Pro ia digantikan dengan skrin LCD 6.67-inci tetapi dengan kadar penyegaran 144Hz bersama mod adaptif. Ia boleh mengubah kadar penyegaran mengikut keperluan dari serendah 30Hz, hingga ke 144Hz supaya lebih jimat tenaga.

Skrin ini juga dilengkapi teknologi Sunlight Mode 3.0 agar boleh dilihat di bawah terik matahari, bersama sensor cahaya 360° untuk memberi paparan terbaik. Ia turut ada Paper Reading Mode 3.0 yang kurang memberi tekanan kepada mata jika membaca untuk waktu yang lama, serta di persekitaran malap.

Xiaomi paling banyak bercerita tentang fungsi baru di kamera Mi 10T Pro. Terdapat tiga kamera di belakang di dalam modul yang terbonjol tebal. Ia gabungan kamera utama 108MP F1.69 dengan OIS, kamera ultralebar 13MP F2.4 dan kamera makro 5MP F2.4. Tiada kamera telefoto. Kamera hadapannya pula 20MP F2.2 di dalam lubang di atas skrin.

Fungsi baru yang ada di kamera Mi 10T Pro adalah seperti pendedahan panjang (long exposure), yang membolehkan pengecatan cahaya (light painting) dibuat. Jika anda kreatif, ia memang sangat menarik.

BACA  Proton X50 dinilai lebih selamat berbanding Honda HRV

Menangkap gambar langit di waktu malam pula lebih bergaya dengan AI Skyscapping 3.0. Ia turut boleh menjadikan latar bergerak. Sedikit sebanyak, ia serupa dengan apa yang boleh dilakukan di Photoshop Camera.

Fungsi paling menarik adalah Photo Clones di mana anda boleh menangkap beberapa diri anda sendiri dalam satu gambar. Malah, ia turut boleh dilakukan untuk video.

Selain itu, ia juga ada mod Dual-Video yang menggunakan kamera depan dan belakang dalam satu rakaman. Kamera ini juga boleh merakam video sehingga resolusi 8K.

Memberi tenaga kepada telefon ini ialah bateri 5,000mAh, yang menyokong pengecasan pantas 33W. Xiaomi menyatakan mereka mengguna teknologi MMT (Middle Middle Tab) yang memberi pengecasan lebih pantas, kurang panas dan tahan lama.

Lain-lain perkara tentang Mi 10T Pro adalah bingkainya diperbuat daripada aloi aluminium, dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5 depan dan belakang, pengimbas capjari di sisi, ada 5G dan WiFi 6, serta pemancar infra merah.

Ia juga ada speaker stereo, tetapi tidak kalis air dan tiada pengecasan wayarles. Seperkara lagi, Mi 10T Pro dilengkapi motor penggetar paksi-x, memberikan rasa getaran lebih baik kepada pengguna.

Xiaomi turut memberikan pelindung skrin dan casing anti-bakteria di dalam kotak, boleh membunuh sehingga 99.9% bakteria. Telefon ini akan menjalankan sistem operasi MIUI 12 berasaskan Android.

Mi 10T

Sebenarnya tak banyak perkara perlu diceritakan tentang Mi 10T kerana ia serupa dengan versi Pro hampir dalam semua perkara. Perbezaannya ialah di kamera utama.

Kamera utama Mi 10T menggunakan sensor 64MP F1.89 dan tiada OIS. Dua kamera lagi dan kamera hadapan adalah sama dengan versi Pro. Ia juga dilengkapi semua fungsi baru seperti kamera Mi 10T Pro.

BACA  Pengecasan wayarles 80W Xiaomi ini isi penuh bateri dalam masa 19 minit saja

Harga Jualan

Terdapat dua warna disediakan untuk Mi 10T dan tiga warna bagi Mi 10T Pro. Dua warna adalah sama iaitu Cosmic Black dan Lunar Silver, manakala Aurora Blue eksklusif untuk Pro.

Harga jualan untuk Mi 10T dan Mi 10T Pro di Eropah adalah seperti berikut:

  • Mi 10T (RAM 6GB + Storan 128GB) – EUR 499 (~RM2,430)
  • Mi 10T (RAM 8GB + Storan 128GB) – EUR 549 (~RM2,674)
  • Mi 10T Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – EUR 599 (~RM2,917)
  • Mi 10T Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – EUR 649 (~RM3,161)

Xiaomi Malaysia akan melancarkan siri Mi 10T di Malaysia pada 6 Oktober 2020. Harga rasmi dan tarikh jualan pasti akan diumumkan di acara tersebut.

Walaupun harga Malaysia selalunya lebih murah dari di Eropah, ia nampaknya akan jauh lebih mahal berbanding Mi 9T ketika dilancarkan, tahun lepas. Untuk perbandingan, harga Mi 9T dan Mi 9T Pro ketika dilancarkan di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Mi 9T (RAM 6GB + Storan 64GB) – RM1,199
  • Mi 9T (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM1,399
  • Mi 9T Pro (RAM 6GB + Storan 64GB) – RM1,599
  • Mi 9T Pro (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM1,799

Rasanya kita tidak akan melihat Mi 10T dibawah RM1,800 di Malaysia. Tetapi adakah ia akan melebihi RM2,000? Nampak macam ya. Mahukah anda membeli Mi 10T nanti?