Poco M3 ada kemasan kulit serta prestasi lebih rendah dari Poco X3 NFC

Poco M3 akan dilancarkan pada 24 November 2020, dilihat sebagai telefon pintar paling murah mereka dilancarkan tahun ini. Semakin mendekati hari pelancarannya, Poco berkongsi sedikit demi sedikit tentang maklumat telefon baru ini.

Poco telah memuat naik video pendek yang menunjukkan rupa keseluruhan Poco M3, dengan rupa lebih dekat di bahagian belakang telefon. Dapat dilihat dengan jelas, ada tiga kamera di belakang tetapi masih tidak diketahui apakah spesifikasinya. Melihatkan harganya dijangka di bawah Poco X3 NFC, boleh dikatakan ia hanya ada kamera utama dan kamera ultra lebar, tanpa kamera telefoto.

Selain itu, dapat juga dilihat tekstur kemasan belakangnya yang dilihat berbonjol. Ini adalah tekstur seperti kulit, yang digunakan di Galaxy Note 3 lama dahulu, serta di telefon pintar Oppo A73 yang baru dilancarkan awal bulan ini.

Dalam perkongsian yang lain, Poco memaklumkan bahawa telefon pintar baru ini akan memiliki skrin 6.53-inci bertakuk, dikuasakan cip Snapdragon 662 serta bateri besar 6,000mAh. Maklumat ini menepati khabar angin yang disebut sebelum ini. Antara yang belum disahkan ialah pengecas pantas 22.5W.

Tidak syak lagi bahawa Poco M3 adalah telefon pintar dengan prestasi lebih rendah dari Poco X3 NFC. Memandangkan Poco X3 NFC dijual dengan harga bermula dari RM899, adakah Poco M3 nanti akan dijual di bawah RM600?

Poco M3 boleh menggantikan tempat Redmi 9 yang dijual pada harga RM499 (32GB) / RM599 (64GB) dengan kuasa Mediatek Helio G80, skrin HD Penuh 6.53-inci, bateri 5,020mAh dan pengecas pantas 18W USB-C. Nantikan pelancaran Poco M3 pada 24 November 2020, pukul 8 malam waktu Malaysia.

[Sumber: Poco]