Sepanjang pandemik melanda, terdapat perubahan yang amat besar dalam aktiviti digital yang menyebabkan masyarakat belajar, bekerja dan bersosial secara dalam talian dengan lebih kerap berbanding sebelumnya. Antara aktiviti yang dilakukan ialah mesyuarat kerja dari rumah, memesan makanan dan banyak lagi.
Namun, bukan golongan dewasa sahaja yang melalui perubahan ini, kanak-kanak turut merasainya juga. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak meningkat 500% dalam tempoh ini, dengan 50% kanak-kanak menghabiskan lebih dari 6 jam sehari dalam talian.
Tidak dinafikan, ibu bapa merupakan pihak yang sangat tercabar dalam situasi ini. Kerana mereka perlu menguruskan masa tayangan (screen time) anak, di samping memastikan mereka selamat dalam talian.
Cara melindungi privasi anak
Digi sebagai salah satu penyedia perkhidmatan mudah alih memberikan 8 panduan keselamatan buat ibu bapa, bagi melindungi privasi anak-anak dalam norma baharu, agar mereka menikmati pengalaman dalam talian yang lebih selamat.
1. Mulakan perbualan mengenai privasi lebih awal
- Anda perlu sentiasa peka dan berkomunikasi bersama anak anda mengenai aktiviti dalam talian mereka, apa yang dikongsi dan kepada siapa.
- Ingatkan mereka supaya menghormati privasi orang lain dalam talian, seperti privasi rakan mereka. Contohnhya, jangan dedahkan alamat rakan secara umum di laman sosial. Jangan kongsi gambar rakan sekiranya mereka tidak izinkan.
2. Gandakan keselamatan peranti
- Galakkan mereka memilih kata laluan yang kuat dan pasang ciri keselamatan terkini. Ingatkan mereka untuk tidak sesekali berkongsi maklumat tersebut dengan orang lain.
- Ibubapa perlu jalankan pemeriksaan keselamatan secara berkala (disyorkan seminggu sekali!) untuk memastikan tiada ancaman pada peranti.
- Ibu bapa perlu set peranti anak yang bersekolah rendah anda dengan kawalan kata laluan supaya anda tahu mereka selamat dalam talian.
- Sekat pembelian dalam aplikasi agar bil anda tidak naik mendadak tanpa sengaja.
3. Jangan berikan kebenaran akses aplikasi pada kesemuanya yang ada dalam peranti anda
- Apabila memuat turun aplikasi atau perisian baharu, adakalanya terdapat permintaan untuk mengakses lokasi atau galeri foto, malah ada juga meminta keizinan untuk merakam audio atau video secara automatik. Aplikasi mengedit gambar misalnya memerlukan akses ke kamera telefon dan fail media untuk mengedit gambar.
- Galakkan anak anda untuk selalu berwaspada dan sekat akses jika ia tidak diperlukan untuk sesuatu aplikasi.
4. Sentiasa berfikir panjang sebelum memuat turun dan membuka sesuatu fail
- Ingatkan atau pantau anak anda agar tidak memuat turun dan membuka fail (.exe) melainkan daripada laman web yang dipercayai. (Catatan: fail .exe mengandungi arahan yang membuatkan peranti anda melakukan sesuatu apabila anda klik – malah boleh berkongsi fail tanpa anda sedari!)
- Penggodam dapat mengakses data dengan mudah apabila anda memuat turun dan membuka perisian hasad pada komputer peribadi, komputer riba atau telefon pintar. Perisian hasad yang canggih adalah sangat hebat, dan boleh menyalurkan maklumat kepada penggodam bahkan mengaktifkan kamera web anda.
5. Berhati-hati dengan apa dan banyak mana maklumat peribadi yang dikongsikan dalam talian
- Pastikan anak anda faham apa yang dimaksudkan dengan maklumat peribadi dan mengapa penting untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi.
- Semasa mendaftar di laman web baharu mereka mungkin diminta berkongsi maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon bimbit, alamat rumah atau foto mereka sendiri.
- Nasihatkan mereka untuk selalu bertanya kepada anda sekiranya tidak pasti.
6. Melindungi diri dengan tetapan privasi di media sosial
- Bimbing anak anda meneliti tetapan privasi pada akaun media sosial dan sebaiknya set semua tetapan pada peribadi (private).
- Sekat (block) kandungan yang tidak diingini contohnya kandungan isu jenyah.
- Sentiasa periksa tetapan asal.
- Ini secara tidak langsung akan mengelakkan individu luar daripada stalk anak anda.
7. Elakkan daripada perkongsian berlebihan dalam talian
- Ingatkan anak anda agar tidak terlalu banyak berkongsi foto dalam media sosial samaada foto sendiri mahupun rakan.
- Jangan berkongsi foto orang lain tanpa persetujuan mereka.
- Anda harus mempraktikkan apa yang anda katakan kepada anak dan elakkan daripada ‘sharenting’ iaitu berkongsi gambar anak-anak dalam talian.
8. Layari laman sesawang yang selamat
- Setiap kali anak anda melayari laman web, nasihatkan mereka agar memilih laman web yang bermula dengan https:// dan bukannya http://
- Perbezaan tersebut menandakan bahawa laman web itu “selamat”.
- Sesetengah pelayar seperti Google Chrome, terdapat ikon berbentuk mangga (padlock) sekiranya laman web tersebut tersulit (encrypted) atau dengan kata mudah, selamat.
Ibu bapa perlu mengambil pendekatan ini agar anak anda sentiasa selamat dalam talian. Anda juga boleh mengaplikasikan cara-cara tersebut, agar anda sentiasa selamat dalam dunia digital.