Malaysia telah menangguhkan pelancaran rangkaian 5G yang dirancang pada suku ketiga tahun ini, kepada penghujung tahun 2022. Tetapi ia tidak menjejaskan pertumbuhan pesat 5G di seluruh pelusuk dunia, walaupun berhadapan pandemik COVID-19.
Ericsson, salah satu penyedia peralatan telekomunikasi terkemuka, telah membentangkan laporan terbaru mereka mengenai 5G di seluruh dunia. Dalam laporan tersebut, Ericsson menyatakan bahawa terdapat 220 juta pelanggan 5G di seluruh dunia sehingga hujung tahun ini, jauh lebih tinggi dari jangkaan awal Ericsson pada bulan Jun lepas, iaitu 190 juta pelanggan.
Liputan 5G akan menjangkau sehingga 1 juta penduduk di seluruh dunia menjelang penghujung 2020. Ia bersamaan 15% populasi penduduk di muka bumi. Ericsson menjangkakan, sehingga 3.5 bilion pelanggan 5G akan dicapai pada tahun 2026.
China mendahului negara lain sebagai peneraju 5G apabila memiliki 175 juta pelanggan sehingga hujung 2020, iaitu 80% dari keseluruhan pelanggan 5G. Apabila digabungkan dengan Korea Selatan dan Jepun, rantau tersebut menempatkan 190 juta pelanggan 5G tahun ini.
Di Asia Tenggara, negara yang telah melancarkan 5G adalah Singapura, Thailand dan Filipina. Manakala Vietnam dan Malaysia, akan membuka bidaan spektrum 5G pada tahun 2021. Pada tahun 2026, dijangkakan 5G akan menjadi pilihan kedua terbesar selepas 4G LTE, dengan lebih 380 juta pelanggan atau 30% dari jumlah keseluruhan pelanggan talian mudah alih.
Ericsson turut melihat perkembangan drastik terhadap sambungan akses wayarles tetap atau Fixed Wireless Access (FWA). Penawaran FWA oleh syarikat telekomunikasi telah meningkat sekali ganda pada Oktober 2020, berbanding Disember 2018. Dengan kelajuan yang ditawarkan 4G dan 5G, FWA boleh memberikan akses pantas yang sama seperti jalur lebar tetap, pada kos pembangunan yang lebih rendah terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Perkembangan 5G juga dilihat lebih pesat berbanding 4G sebelum ini, antaranya didorong oleh pengeluar peranti yang cepat menyediakan sokongan 5G. Ini dapat dilihat apabila Apple telah melancarkan keluarga iPhone 12 5G, lebih awal dari kesediaan rangkaian 5G di Malaysia.
Malah harga peranti 5G juga semakin menurun dan menjadi standard dalam peranti flagship. Tahun ini dapat dilihat peranti 5G kelas pertengahan berharga serendah RM1,500, mula mengerumuni pasaran. Dijangka tahun hadapan, peranti kelas permulaan akan mula menawarkan 5G dengan harga di bawah RM1,200.
Laporan penuh dari Ericsson ini boleh didapati di sini.
5G Malaysia ditangguh untuk JENDELA
Awal tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memutuskan bahawa spektrum 5G tidak akan diberikan kepada pemegang lesen individu, sebaliknya akan diperuntukkan kepada konsortium yang dibentuk dari beberapa pemegang lesen. Ia diambil untuk mengurangkan perbelanjaan modal (CAPEX) dengan kos minima serta mengelakkan pertindihan infrastruktur, sambil penambahbaikan rangkaian 4G masih diteruskan. Peruntukan spektrum 5G akan diselesaikan pada pertengahan tahun dan mula dikomersilkan pada suku ketiga 2020.
Bagaimanapun Menteri Komunikasi yang baru dilantik selepas perubahan kerajaan pada bulan Februari 2020, Dato’ Saifuddin Abdullah telah mengarahkan SKMM melaksanakan penguntukan spektrum 700MHz kepada 5 syarikat telekomunikasi. Langkah yang bertentangan dengan perancangan awal SKMM ini telah mendapat kritikan ramai, membuatkan Menteri Komunikasi menarik balik arahan tersebut tidak lama kemudian.
Selepas itu, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), untuk meningkatkan kualiti liputan jalur lebar tetap dan 4G di seluruh Malaysia terlebih dahulu. Fasa pertama JENDELA mahu mencapai liputan 4G di 96.9% lokasi berpenduduk, dengan kelajuan 35Mbps.