Warna biru askar Honor Watch GS Pro tiba di Malaysia

Jam pintar terbaru dari Honor, Watch GS Pro kini ditawarkan di dalam warna biru camo. Ia merupakan tambahan kepada warna hitam dan putih, yang telah dijual di Malaysia sejak bulan Oktober lepas.

Harga jualan untuk Honor Watch GS Pro berwarna biru ini juga masih sama, RM999 dan ia boleh dibeli di Stor Online HiHonor, Stor Honor Experiences dan pengedar sah Honor. Pembeli di HiHonor boleh menerima hadiah percuma berupa fon telinga Honor Sport Pro.

Satu perbezaan besar pada warna Camo Blue ini adalah pada tali jam. Ia menggunakan tali yang diperbuat dari nilon seperti fabrik, berbeza dengan bahan silikon pada warna hitam dan putih. Tali ini disalut menggunakan teknologi ‘Dope Dyeing‘, memberikan warna lebih bertenaga serta tahan lebih lasak.

Lain-lain perkara adalah sama. Jam pintar Honor Watch GS Pro adalah sebuah jam pintar yang mirip Honor MagicWatch 2 tetapi lebih tahan lasak, menepati piawaian ketenteraan MIL-STD-810G. Bermakna ia tahan suhu ekstrem, debu dan habuk, gegaran, hentakan, kelembapan, altitud dan banyak lagi.

Badannya diperbuat dari fluoroelastomer, bahan yang lebih tahan haba, peluh dan minyak, serta kurang reaksi alergi. Ia turut dilengkapi sistem navigasi dwi-satelit serta fungsi “Route Back”, untuk memandu pengguna pulang ke lokasi walau di tempat yang jarang dilalui.

Baterinya juga ada jangka hayat lebih panjang, sehingga 25 hari untuk penggunaan biasa atau 47 jam dalam mod penjejak GPS. Selain itu, persamaannya dengan MagicWatch 2 seperti skrin AMOLED 1.39-inci, dikuasakan cip Kirin A1 dan dilengkapi mikrofon serta speaker untuk menjawab panggilan.

Peminat kecergasan juga boleh menggunakan jam ini kerana ia dilengkapi lebih 100 mod kecergasan dengan sensor denyutan jantung 24/7, pemantau oksigen di dalam darah SpO2, serta pelbagai statistik kecergasan.

Bacaan Berkaitan