Acer Swift 3 dan Swift 5 disuntik kuasa Intel Core generasi 11 dan grafik Iris Xe

Dengan kemunculan pemproses baru Intel Core generasi ke-11, Acer Malaysia turut mengemaskini tawaran laptop mereka. Model popular laptop Swift 3 dan Swift 5, kini dikuasakan dengan cip terbaru Intel.

CPU Intel Core generasi ke-11 menampilkan kuasa pemproses lebih tinggi, dipadankan dengan cip grafik baru Intel Iris Xe. Prestasi ini dipertingkat dengan RAM LPDDR4X serta storan SSD PCIe NVMe.

Acer Swift 5

Laptop ini memiliki berat antara teringan di pasaran, hanya 1.05kg dengan ketebalan 14.95mm sahaja. Ia dicapai dengan menggunakan casis yang diperbuat dari magnesium-lithium dan magnesium-aluminum bergred tinggi, sekaligus menjadikannya sebuah komputer riba yang tahan lasak.

Walaupun ringan, Swift 5 sarat ni dengan prestasi tinggi. Ia dibekalkan dengan CPU Intel Core i7 atau Core i5 generasi ke-11, RAM sehingga 16GB dan storan SSD seluas 512GB. Dengan grafik diuruskan cip Intel Iris Xe, Swift 5 bersedia untuk mengendalikan video dan grafik lebih dari kebiasaan.

Daya tahan yang lama juga menjadi keistimewaan Swift 5. Dengan sekali caj penuh, ia boleh menjalankan pelbagai aplikasi sehingga 15 jam lamanya. Kuasa ini dipadankan dengan teknologi pengecasan pantas, di mana mengecas selama 30 minit membolehkan video dimainkan selama 4 jam.

Laptop ini mempunyai paparan sentuh IPS 14-inci, beresolusi HD Penuh, yang menyokong 100% gamut warna sRGB. Skrin ini memiliki bingkai nipis, memberikan nisbah skrin-ke-badan sehingga 90%, paparan tersebut dilapis dengan kaca anti-bakteria Corning Gorilla, untuk mengurangkan pembiakan mikro organisma.

Untuk sambungan wayarles, Swift 5 dilengkapi WiFi 6 dan Bluetooth 5. Selain itu, ia juga datang siap bersama sambungan USB-A, USB-C, HDMI, jek audio dan Thunderbolt 4. Pengimbas capjari turut dipasang, di bawah papan kekunci untuk perlindungan digital dan daftar masuk pantas melalui Windows Hello.

Acer memberikan jaminan selama 2-tahun untuk Swift 5, serta sistem operasi Windows 10 Home dan perisian Microsoft Office Home & Student 2019 Full Version. Hanya ada satu warna disediakan, iaitu hijau.

Acer Swift 3

Untuk bajet lebih rendah, pengguna boleh mendapatkan laptop Swift 3 yang turut dikuasakan cip terbaru Intel Core generasi ke-11. Acer turut melengkapkan Swift 3 bersama cip grafik Intel Iris Xe, RAM sehingga 16GB dan storan SSD 512GB.

Skrin Swift 3 tiada fungsi sentuhan, berukuran 14-inci dengan resolusi HD Penuh. Swift 3 masih dikira laptop yang sangat ringan dan nipis, dengan berat hanya 1.2kg dan ketebalan 15.95mm.

Tenaga bateri di Swift boleh memberi kuasa untuk penggunaan sehingga 11 jam, dan ia menyokong pantas memberikan tontonan video selama 4 jam dengan mengecas selama 30 minit sahaja.

Port sambungan dan wayarles yang sama turut ada di Swift 3 seperti WiFi 6, Bluetooth 5, USB-A, USB-C, HDMI, jek audio dan Thunderbolt 4. Tetapi ia tiada pengimbas capjari.

Pemiliki Swift 3 turut menerima Microsoft Office Home & Student 2019 Full Version, selain sistem operasi Windows 10 Home. Acer menyediakan pilihan warna lebih banyak untuk Swift 3 iaitu warna perak untuk model Core i7, serta warna perak, biru dan merah jambu untuk model Core i5.

Harga Jualan

Laptop Acer Swift 5 dan Swift 3 boleh didapati mulai sekarang dari pengedar sah Acer di seluruh Malaysia, dengan harga berikut:

  • Swift 5 (Core i5-1135G7, RAM 8GB, SSD 512GB) – RM3,999
  • Swift 5 (Core i7-1165G7, RAM 16GB, SSD 512GB) – RM4,999
  • Swift 3 (Core i5-1135G7, RAM 8GB, SSD 512GB) – RM3,299
  • Swift 3 (Core i7-1165G7, RAM 16GB, SSD 512GB) – RM4,199

Tebus hadiah percuma

Pelanggan yang membeli Acer Swift 5 dan Swift 3 dengan pemproses Intel Core Generasi ke-11 sebelum 31 Disember 2020 layak untuk menebus hadiah percuma, termasuklah kredit Touch ‘n Go eWallet bernilai sehingga RM100 dan sarung komputer riba premium di laman web www.a-redemption.com.

Setiap pembelian sebelum 25 Disember 2020 juga melayakkan pelanggan untuk mendapat satu penyertaan Christmas Reunion Advent Calendar dan berpeluang membawa pulang hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM30,000. Bermula 1 Disember 2020 hingga 26 Disember 2020, Acer Malaysia akan memilih seorang pemenang bertuah setiap hari untuk menerima hadiah istimewa. Pemenang akan diumumkan di laman Facebook Acer Malaysia atau di laman web www.a-redemption.com.