Laptop Apple MacBook Air dan Pro 13″ dengan cip Apple M1 mula dijual di Malaysia

Apple telah mengumumkan penggunaan cip terbaru keluaran mereka, Apple M1 di barisan komputer mereka sebulan yang lepas. Kini, pengguna di Malaysia kini boleh mula membeli komputer yang dikuasakan Apple M1.

Komputer yang dikuasakan cip Apple M1 dan boleh dibeli ialah komputer kecil Mac Mini. Manakala laptop yang menerima kuasa Apple M1 adalah MacBook Air dan MacBook Pro 13″. Komputer baru ini dijual pada harga berikut:

  • Apple Mac Mini – dari RM2,999
  • Apple MacBook Air – dari RM4,399
  • Apple MacBook Pro 13″ – dari RM5,599

Mac Mini

Komputer kompak Mac Mini yang bermula dari RM2,999 ini dikuasakan cip Apple M1 yang memiliki 8-teras CPU dan 8-teras GPU, bersama RAM 8GB dan storan SSD 256GB. RAM boleh digandakan kepada 16GB dengan tambahan RM800. Manakala storan SSD, boleh dinaik taraf kepada 512GB dengan RM800, atau ke 1TB dengan RM1,600, atau sehingga 2TB dengan RM3,200.

Jika memilih spec tertinggi, RAM 16GB dan storan SSD 2TB, harganya menjadi RM6,999. Mac Mini dijual tanpa monitor dan hanya datang dengan kabel pengecas. Hanya ada satu warna disediakan untuk Mac Mini iaitu warna perak.

MacBook Air

Untuk laptop ini, Apple menyediakan 2 jenis cip Apple M1 dengan spec sedikit berbeza. Kedua-duanya hanya ada dua port Thunderbolt/USB 4 dengan skrin Retina Display (2560×1600) berukuran 13.3-inci.

Model asas MacBook Air dikuasakan Apple M1 dengan 8-teras CPU dan hanya 7-teras GPU. Harganya yang bermula dari RM4,399 datang bersama RAM 8GB dan storan SSD 256GB. Manakala model kedua menggunakan cip Apple M1 dengan 8-teras CPU dan 8-teras GPU, sama seperti di Mac Mini. Harganya bermula dari RM5,399 dengan RAM 8GB tetapi storan SSD lebih besar, 512GB. Kedua-dua model ini datang dalam tiga pilihan warna, kelabu, emas dan perak.

Apple menyediakan pilihan untuk naik taraf perkakas di MacBook Air. Untuk menmbah RAM dari 8GB kepada 16GB, ia memerlukan tambahan RM800. Manakala storan diganda dari 256GB kepada 512GB, atau dari 512GB kepada 1TB perlu menambah RM800. Tetapi untuk naik taraf SSD dari 1TB kepada 2TB pula, perlukan RM1,600.

Untuk pilihan tertinggi, MacBook Air dengan 8-teras GPU dengan RAM 16GB dan storan SSD 2TB, menjadikan harganya RM8,599. Pembelian dari Stor Online Apple Malaysia menunjukkan masa penghantaran sekitar 2-3 minggu. Tetapi sebarang naik taraf memerlukan masa penghantaran lebih panjang, sehingga 5-6 minggu jika menambah storan SSD 2TB.

Laptop MacBook Air M1 turut sedia untuk tempahan awal dari pengedar sah Appple seperti Machines dan Switch.

MacBook Pro 13

Perkara besar yang membezakan MacBook Air dan MacBook Pro 13 yang memiliki skrin yang sama besar, adalah kipas. MacBook Air tiada kipas penyejuk, manakala MacBook Pro 13″ dipasang kipas penyejuk di dalamnya. Tetapi ia masih ada 2 port Thunderbolt/USB 4 sahaja.

Kemudian, MacBook Pro dikuasakan cip Apple M1 datang siap dengan Touch Bar dan Touch ID di atas papan kekunci. Warna yang disediakan untuk laptop ini pula ada dua, kelabu dan perak.

Harga permulaan untuk MacBook Pro adalah RM5,599 dilengkapi RAM 8GB dan storan SSD 256GB. RAM boleh dinaik taraf kepada 16GB dengan tambahan RM800. Manakala storan SSD pula boleh digandakan dari 256GB kepada 512GB dengan RM800, serta lagi RM800 untuk 512GB ke 1TB. Tetapi untuk naik dari 1TB ke 2TB, memerlukan RM1,600.

Untuk pilihan tertinggi dengan RAM 16GB dan storan SSD 2TB, harganya akan menjadi RM9,599. Stor Online Apple Malaysia menyenaraikan penghantaran MacBook Pro 13″ dalam masa 5-7 hari, atau sehingga 1-2 minggu dengan pilihan RAM 16GB dan storan SSD 512GB, atau sehingga 5-6 minggu untuk naik taraf storan 1TB dan 2TB.

Laptop MacBook Air Pro 13″ dikuasakan Apple M1 turut sedia untuk tempahan awal dari pengedar sah Appple seperti Machines dan Switch.

Bacaan Berkaitan