Mi Watch Lite tiba di Malaysia, jam pintar dengan GPS sangat mampu milik

Xiaomi Malaysia kini mengumumkan ketibaan jam pintar mereka yang baru, Mi Watch Lite. Walaupun namanya ringan, ia memiliki GPS terbina di dalam, fungsi yang sangat digemari oleh mereka yang suka berjogging.

Lebih menarik lagi, harga Mi Watch Lite ini hanya RM249 di Malaysia. Ini menjadikannya salah satu jam pintar dengan GPS terbina paling murah di Malaysia. Tetapi anda boleh dapatkannya pada harga promosi RM199 di Lazada untuk waktu terhad.

Mi Watch Lite akan mula dijual di Malaysia pada 20 Disember 2020 di semua pengedar sah Xiaomi, termasuk di Mi Store dan Stor Rasmi Lazada. Tetapi tempahan awal akan dibuka pada 17 Disember 2020 selama 1 hari di Stor Rasmi Lazada, di mana pembeli hanya perlu membayar RM199 untuk memilikinya. Kuantiti adalah terhad, maka siapa yang cepat sahaja akan menerima harga promosi ini.

Terdapat tiga warna disediakan untuk Mi Watch Lite ini iaitu hitam, biru gelap dan putih.

Spesifikasi

Mi Watch Lite adalah jam pintar dengan skrin sentuh LCD berukuran 1.4-inci. Beratnya cuma 35 gram termasuk tali jam. Ia hanya ada satu butang fizikal di tepi dan memantau denyutan nadi menerusi sensor di belakang jam.

Dengan bateri 230mAh di dalam, Mi Watch Lite boleh hidup sehingga 9 hari untuk penggunaan biasa, dan sehingga 10 jam untuk penggunaan GPS berterusan. Pengecas klip digunakan untuk mengecas dan mengambil masa 2 jam untuk mengecas dari 0 hingga penuh.

Sebagai peranti kecergasan, Mi Watch Lite boleh memantau 11 jenis mod sukan seperti larian di luar, treadmill, basikal, berenang dan banyak lagi. Ia juga kalis air sehingga 5 ATM, menjadikannya sesuai digunakan untuk aktiviti di kolam renang.

Cip GPS yang terbina di dalam Mi Watch Lite mengesan kedudukan menggunakan satelit GPS dan GLONASS. Selain itu, ia juga memiliki sensor seperti PPK, pemecut, gyrometer, barometer dan e-compass.

Sensor denyutan nadi padanya boleh memantau degupan jantung 24 jam sehari. Ia juga boleh digunakan untuk memantau waktu tidur.

Untuk melengkapkan penggunaannya, pengguna boleh menghubungkan Mi Watch Lite dengan telefon pintar Android menerusi aplikasi Xiaomi Wear, atau dengan iPhone menggunakan aplikasi Xiaomi Wear Lite. Dengannya, pengguna boleh mendapatkan data dan sejarah penggunaan untuk maklumat lebih mendalam berkenaan aktiviti kecergasan.

Kenali lebih lanjut mengenai Mi Watch Lite melalui laman produk di sini.