Kementerian Pengangkutan belum keluarkan larangan e-skuter di atas jalan raya

Isu larangan e-skuter di atas jalan raya masih hangat diperkatakan. Penggunaan skuter elektrik tidak boleh lagi digunakan di atas jalan raya kerana aktiviti tersebut boleh mendatangkan bahaya dan mengakibatkan kemalangan.

Namun jika mahu menggunakannya di atas jalan raya, individu perlu memohon lesen kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pertemuan PEV Malaysia dan JPJ

Baru-baru ini, satu pertemuan melibatkan Persatuan Kenderaan Mikromobiliti Malaysia (PEV Malaysia) dengan Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah di adakan di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya.

Pertemuan diadakan adalah kerana PEV ingin meminta pencerahan dan penyelesaian isu kenderaan mikromobilit di atas jalan raya.

Antara wakil yang terlibat dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Penguatkuasa JPJ, Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Ketua Bahagian Undang-Undang dan Akta.

Perbincangan undang-undang kenderaan mikromobiliti

Di dalam pertemuan tersebut, dinyatakan bahawa tiada larangan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia buat masa ini.

Walaupun begitu, semua pengguna kenderaan mikromobiliti perlu akur dengan akta sedia ada iaitu, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan APJ (pindaan) 2020.

Dalam akta tersebut menyatakan bahawa kenderaan mikromobiliti tidak dibenarkan di atas mana-mana jalan raya yang diwartakan di seluruh negara.

Sebelum ini dalam satu temubual, ACP Zulkefly Yahya, Ketua JSPT Trafik KL berkata, kenderaan tersebut hanya dibenarkan di kawasan berikut sahaja:

  1. Taman permainan
  2. Kawasan pejalan kaki
  3. Kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.

JPJ belum keluarkan lesen kenderaan mikromobiliti

Dalam pertemuan tersebut juga, pihak JPJ menerangkan bahawa tiada lesen atau permit khas mikromobiliti yang dikeluarkan oleh pihak mereka buat masa ini.

Namun, segala urusan berkaitan lesen dan garis panduan akan dikeluarkan sekiranya ia mendapat persetujuan Persatuan Kenderaan Mikromobiliti Malaysia dan penggunanya. Ini termasuklah penggunaan e-skuter juga. Perkara tersebut akan diperhalusi terlebih dahulu agar tidak membebankan mana-mana pihak.

Mesyuarat isu penyelarasan kenderaan mikromobiliti juga sudah dirancang. Ia akan diadakan kelak melibatkan JPJ, PDRM, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Oleh itu, pihak kementerian pengangkutan akan membuat pengumuman mengenai isu tersebut apabila selesai perbincangan dengan pihak berwajib. Maka, pengguna kenderaan mikromobiliti perlu tunggu perincian panduan baharu diumumkan oleh kementerian.

Bagi mengelakkan diri dari terlibat kemalangan atau di kenakan amaran, adalah lebih baik jika semua pengguna kenderaan mikromobiliti patuh dengan arahan yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

[Sumber: Malaysia PEV]