Samsung Galaxy Buds Pro dilengkapi ANC pintar dan mudah dicari jika hilang

Acara pelancaran Galaxy Unpacked malam ini dimulakan dengan pengenalan produk audio baru Samsung, Galaxy Buds Pro. Ia adalah earbuds TWS Samsung paling premium pernah dihasilkan.

Sistem bunyi berkualiti tinggi pada Galaxy Buds Pro dihasilkan dari dua pemacu bunyi, woofer 11-mm dan tweeter 6.5mm. Ini membolehkan ia menghasilkan bunyi dengan dinamik lebih meluas dan jelas.

Pengalaman menggunakan Galaxy Buds Pro menjadi lebih menarik dengan keupayaan penyaring hingar aktif (ANC) padanya. Menurut Samsung, ANC di Galaxy Buds Pro boleh menapis sehingga 99% bunyi bising. Pengguna juga boleh mengaktifkan Ambient Sound apabila perlu, untuk mendengar bunyi luar tanpa mencabut buds dari telinga.

ANC Pintar dan SmartThings Find

Tetapi ANC di Galaxy Buds Pro bukan sebarangan kerana ia dilengkapi ciri pintar. Ia boleh mengesan suara pengguna dan mengubah fungsi ANC kepada Ambient Sound dan memperlahankan lagu yang dimainkan, kerana mengetahui pengguna perlu bercakap dan mendengar perbualan dengan orang lain.

Teknologi pintar ini menggunakan keupayaan 3 mikrofon terbina di dalam, bersama Unit Penangkap Suara dan penapis angin. Ia mengurangkan bunyi bising dan menangkap suara pengguna dengan lebih jelas.

Penggunaan Galaxy Buds Pro boleh menjadi lebih menarik bersama produk Samsung yang lain. Ia boleh bersambung dengan dua perani serentak, dan berubah dari Galaxy Tab S7 kepada Galaxy S21, jika ada panggilan masuk. Ia juga boleh merakam suara serentak dari buds dan telefon seperti Galaxy S21, untuk menangkap bunyi sekeliling sambil memasukkan suara sendiri ke dalam rakaman video dari jarak jauh.

Seperkara lagi, buds ini juga boleh dikesan dengan mudah jika tercicir atau tersorok dari pandangan. Menggunakan SmartThings Find, telefon pintar berupaya mengesan jarak buds secara Bluetooth dan memberi panduan untuk mencari dengan tepat.

Tenaga bateri dan kalis air IPX7

Bateri pada Galaxy Buds Pro dan bekas pengecasnya, boleh memberikan masa penggunaan sepanjang hari. Tanpa ANC aktif, buds boleh hidup sehingga 8 jam dan tambahan 20 jam dari bekas pengecas. Dengan ANC dihidupkan, hayatnya menjadi 5 jam di buds dan tambahan 13 jam dengan bekas pengecas.

Bekas pengecas ini menerima tenaga mengecas melalui sambungan USB-C dan secara wayarles. Pengecasan berwayar memberikan tenaga pantas, mampu memainkan lagu sehingga sejam dengan mengecas selama 5 minit sahaja.

Penggunaan lasak dan aktiviti kecergasan tidak perlu dikhuatiri kerana Galaxy Buds Pro kalis air IPX7, paling tinggi untuk earbuds TWS.

Harga dan Tarikh Jualan

Galaxy Buds Pro akan mula dijual di Malaysia pada 5 Februari 2021 pada harga RM799, tetapi tempahan awal telah dibuka sekarang sehingga 28 Januari 2021. Pembeli dalam tempoh ini akan menerima pad pengecas wayarles bernilai RM239 secara percuma.

Terdapat tiga warna dihasilkan untuk Galaxy Buds Pro iaitu Phantom Silver, Phantom Black dan warna tema S21, Phantom Violet. Maklumat lanjut mengenai buds terbaru Samsung ini boleh didapati di laman produk Galaxy Buds Pro.

Bacaan Berkaitan