YouTube uji ciri beli belah, pencipta kandungan dapat promosikan barang melalui video

YouTube sedang menguji cara baru agar pengguna dapat menjual dan membeli produk yang terdapat dalam sesebuah video YouTube. Dikatakan, akan ada ikon beg disediakan di sudut kiri bawah video untuk penonton membeli-belah.

Dengan mengklik ikon beg tersebut, penonton akan dapat lihat senarai produk yang disediakan oleh sesebuah saluran YouTube. Dari situ juga, penonton dapat meneliti setiap produk jualan yang disediakan disamping melihat maklumat dan video yang berkaitan untuk produk tersebut.

Mungkin dengan ciri ini, saluran YouTube yang memfokuskan kandungan masakan boleh menjual produk makanan atau alat masakan. Sama juga dengan saluran tutorial senaman, pemilik akaun boleh menjual alat senaman atau pakaian sukan pada saluran YouTube masing-masing.

Dalam pada itu, YouTube sedang menguji ciri ini dengan bilangan pemilik akaun YouTube yang terhad. Namun, ciri ini dikatakan hanya boleh diakses oleh pengguna YouTube di AS sahaja buat masa sekarang. Ikon beg tersebut dapat dilihat jika pengguna membuka YouTube menerusi peranti Android, iOS dan juga komputer di AS.

Disamping itu, aplikasi WhatsApp dan Instagram masing-masing mempunyai ciri beli-belah yang boleh digunakan oleh semua individu. Ciri tersebut dilihat sangat membantu pengguna untuk membeli secara dalam talian, ini kerana pilihan item sudah tersedia, pembeli hanya perlu pilih dan bayar sahaja.

Namun, sekiranya YouTube meluaskan ciri beli-belah tersebut kepada semua pengguna, adakah anda akan menyambut baik perkara ini? Umpama membawa siaran jualan di TV seperti Wow Shop dan Go Shop ke YouTube, tidakkah ia akan menggangu tontonan penonton yang mahukan kandungan segar dan tidak berunsurkan penjualan?

[Sumber: YouTube, Malaymail]