Dengan semangat tahun baru dan jenama yang bebas, Honor hari ini mengadakan majlis pelancaran telefon pintar flagship terbaru mereka, Honor View 40. Dalam acara yang sama, Honor turut membentangkan hala tuju syarikat sebagai syarikat yang berdiri sendiri, tidak lagi di bawah Huawei.
Honor Go Beyond
Majlis ini disempurnakan dengan ucaptama dari CEO Honor, George Zhao. Salah satu perkara yang diperkatakannya di pentas adalah pengenalan slogan baru Honor iaitu “Go Beyond”. Ia adalah wawasan syarikat untuk menjadi jenama teknologi ikonik antarabangsa, yang menyediakan produk inovatif dan berkualiti tinggi di samping terbukti ketahanannya.
Komitmen Honor untuk mencipta inovasi dan R&D akan diteruskan bersama hampir 8,000 pekerja meliputi operasi hujung-ke-hujung, termasuk 50% petugas R&D. Honor memiliki 5 pusat R&D dan lebih 100 makmal inovasi di seluruh dunia.
Honor turut mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mengikat kerjasama dengan penyedia perkakas seluruh dunia. Antara jenama yang telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Honor adalah AMD, Intel, MediaTek, Micron Technology, Microsoft, Qualcomm, Samsung, SK Hynix, dan Sony.
Honor juga akan memastikan semua produk dihasilkan menepati tahap kualiti yang ketat untuk memastikan ketahanan dan keselamatan, melepasi lebih 400 ujian dan menerima 20 persijilan antarabangsa sebelum dijual. Sokongan lepas jualan juga diutamakan, dengan lebih 3,000 pusat khidmat dan 43 pusat panggilan di 82 negara.
Honor View 40
Dikenali sebagai Honor V40 di China, ia menggunakan nama Honor View 40 untuk pasaran antarabangsa. Sekaligus, ini menunjukkan keyakinan Honor untuk melancarkannnya di pentas antarabangsa tidak lama lagi.
Ketiadaan hubungan dengan Huawei ditunjukkan dengan jelas apabila Honor menggunakan cip keluaran Mediatek, iaitu Dimensity 1000+ di View 40. Cip ini dilengkapi teknologi GPU Turbo X dan Hunter Boost untuk memberikan pengalaman bermain game lebih baik.
Paparan View 40 menggunakan skrin OLED 6.72-inci yang melengkung di sisi, dengan resolusi tinggi 2676×1236. Skrin ini memiliki kadar penyegaran 120Hz seta kadar sentuhan 300Hz, ciri yang sangat menarik untuk bermain game.
Kuasa View 40 disalurkan oleh bateri berkapasiti 4,000mAh, yang menyokong pengecasan pantas 66W. Hanya 15 minit diperlukan untuk mengecas sehingga 60% dan 35 minit untuk mencapai 100%. Selain itu, ia juga menyokong pengecasan wayarles pantas 50W yang boleh mengisi 50% tenaga dalam masa 30 minit tanpa wayar.
Terdapat tiga kamera belakang View 40 iaitu kamera utama 50MP yang menggunakan sensor RYYB 1/1.56″, bersama kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Tiada kamera telefoto padanya. Kamera hadapannya pula terletak di dalam lubang di sudut atas skrin, gandingan kamera utama 16MP dan kamera ToF.
Satu perkara yang masih ada kaitan dengan Huawei adalah sistem operasi. Honor V40 di China masih menggunakan Magic UI 4.0, yang diubahsuai dari Huawei EMUI berasaskan Android 10. Mungkin Honor kini dalam pembangunan menghasilkan sistem operasi sendiri menggunakan Android 11 terbaru.
Terdapat tiga warna disediakan untuk View 40 iaitu hitam, emas ros dan perak.
Di China, Huawei V40 dijual dalam dua varian dengan harga berikut:
- Honor V40 (RAM 8GB + 128GB) – CNY 3,599 (~RM2,247)
- Honor V40 (RAM 8GB + 256GB) – CNY 3,999 (~RM2,497)
Bagaimana dengan Google?
Buat masa ini, Honor V40 yang dilancar di China masih tiada Google, kerana ia memang tidak digunakan di negara tersebut. Buat masa ini, Honor tidak menyatakan sama ada mereka akan melancarkan View 40 di pasaran antarabangsa bersama Google di dalamnya.
Bagaimanapun, dijangka Google akan tersedia di dalam Honor View 40 kelak memandangkan Honor tidak lagi dihalang dan telah mendapat persetujuan mendapatkan perkakas dari pelbagai syarikat utama. Kita nantikan pengumuman Honor untuk pasaran antarabangsa.