Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 14 Apr, 2021

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

SKMM jelas pelaksanaan GOMSPV untuk 5G, menguntungkan pengguna & penyedia perkhidmatan

Salah satu perkara penting yang diumumkan Perdana Menteri semasa melancarkan MyDigital, adalah pelaksanaan 5G di Malaysia. Berbanding perancangan sebelum ini yang menyatakan 5G di Malaysia akan dilaksanakan seawal hujung tahun 2022, MyDigital meletakkan masa lebih awal iaitu hujung tahun 2021.

Pelaksanaan 5G akan dijalankan oleh sebuah Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia (GOMSPV), dan akan diberi spektrum bersesuaian untuk memiliki, melaksana, dan mengurus perkhidmatan 5G. Semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.

Bagaimanapun, terdapat banyak persoalan mengenai kemampuan GOMSPV untuk membangun dan menguruskan 5G di Malaysia, selain ketelusan pelaksanaannya bagi memastikan langkah ini tidak menyekat pembangunan 5G kelak.

GOMSPV kurangkan beban syarikat telekomunikasi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaku pengawal selia syarikat GOMSPV yang akan ditubuhkan kelak, tampil membuat penjelasan lanjut mengenai maklumat yang dikongsi pada sesi taklimat bersama penganalisis baru-baru ini.

Menurut SKMM, pihaknya akan memberi fokus kepada usaha menggalakkan pelaburan ke sektor-sektor yang betul umpamanya perkhidmatan inovatif dan mampu mencetuskan perubahan kepada pengguna, perusahaan dan negara secara umumnya sambil memastikan jurang digital berada pada tahap minimum. Salah satu caranya ialah melalui GOMSPV yang dikawal selia oleh SKMM, yang menumpukan usaha melaksanakan rangkaian 5G.

Penubuhan GOMSPV diperbuat untuk mengurangkan beban 5G kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi sedia ada, supaya mereka dapat meneruskan usaha pelaksanaan gentian optik serta memperbaiki liputan dan kualiti 4G, seperti yang dijadualkan di dalam program JENDELA.

Pembabitan sektor swasta di dalam GOMSPV, akan diperjelaskan dengan lebih menyeluruh oleh pihak GOMSPV tidak lama lagi.

Spektrum satu untuk semua

GOMSPV kelak akan memiliki spektrum 5G, sekaligus membina rangkaian dan menawarkan kapasiti secara borong kepada penyedia perkhidmatan lain. Model bukan bidaan ini juga adalah salah satu usaha untuk mengurangkan bebas kos kepada pihak penyedia perkhidmatan. GOMSPV akan menggunakan rangkaian sedia dan hanya membangunkan rangkaian baharu.

Perkhidmatan secara borong ini akan ditawarkan GOMSPV kepada penyedia perkhidmatan secara telus, dikawal selia, terbuka, saksama dan setara. Pengurangan persaingan berasaskan infrastruktur tetapi persaingan secara perkhidmatan akan memberi lebih banyak manfaat kepada pengguna, selain mengurangkan kos untuk peralatan baharu berbanding pembangunan pelbagai infrastruktur oleh penyedia perkhidmatan berlainan.

GOMSPV perlu capai standard tinggi

Dengan menumpukan pembangunan infrastruktur kepada pihak kerajaan, penyedia perkhidmatan boleh menumpukan lebih perhatian kepada produk yang ditawarkan untuk pengguna. Tetapi GOMSPV perlu memiliki standard yang tinggi untuk menguruskannya, terutama dalam urusan penyelenggaraan dan baik pulih.

Kita sering mendengar saban tahun SKMM mengenakan kompaun kepada syarikat telekomunikasi kerana tidak mencapai standard dalam menguruskan aduan pengguna. SKMM kelak tidak boleh menutup sebelah mata terhadap pengurusan GOMSPV, apabila aduan dibuat oleh penyedia perkhidmatan terhadap pengurusan 5G apabila tidak mencapai standard yang ditetapkan.

Jika GOMSPV diuruskan dengan telus dan adil, sudah pasti ia akan mencapai sasaran yang telah ditetapkan, iaitu mengurangkan kos pihak penyedia dan memberi faedah besar kepada pengguna. Kalau tidak, ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada pengguna, malah kepada negara secara menyeluruh kerana ia boleh menjejaskan kemasukan pelaburan ke dalam negara.

[Sumber: SKMM]