Raja Poco akan kembali sebagai Poco F3 Pro?

Poco kini mengumumkan akan mengadakan majlis pelancaran peranti baru mereka minggu hadapan, pada 22 Mac 2021. Pelancaran ini dibuat secara dalam talian, boleh ditonton menerusi pelbagai saluran.

Perkara ini turut dilaungkan Poco Malaysia apabila menjemput peminat untuk menonton acara ini di Facebook Poco Malaysia. Ia akan bermula pukul 8 malam, pada hari Isnin, 22 Mac 2021.

Apakah yang akan dilancarkan Poco pada hari itu, tidak pula diberitahu. Mereka hanya menyatakan tema, ‘When Power Meets Speed‘, atau apabila kuasa bertemu kelajuan, dan gambar kuku mencakar. Tidak ada perkara boleh diterjemahkan dari maksud ini.

Tetapi sudah ada cerita tersebar mengenai apakah yang akan dibawa Poco nanti. Di India, Poco akan melancarkan sebuah telefon ‘Pro’ pada 30 Mac 2021. Ia juga masih tidak diberitahu apakah perantinya, tetapi diperkatakan ia adalah Poco F3.

Terdapat dua telefon pintar dikhabarkan akan dilancar di India, Poco F3 dan Poco F3 Pro. Untuk versi Pro, ia dikatakan akan memiliki kuasa Snadragon 860 tanpa 5G, skrin HD Penuh 120Hz dan bateri 5,200mAh.

Poco F3 pula dikatakan adalah jelmaan semula Redmi K40 yang telah dilancarkan di China. Redmi K40 dikuasakan pemproses Snapdragon 870 5G, skrin 6.67-inci 120Hz HD Penuh, bateri 4,520mAh dan pengecas 33W. Di China, Redmi K40 dijual dari harga RMB 1,999 (~RM1,264) dengan RAM 6GB dan storan 128GB.

Mungkin peranti baru Poco ini akan dijual segera di Malaysia. Ini kerana Stor Rasmi Poco di Lazada dan Shopee, telah menaikkan laman jualan khas untuk peranti baru ini. Tetapi tiada maklumat dikongsi di situ.

Adakah ini dua peranti yang akan Poco lancarkan di pentas antarabangsa? Kita akan tahu lebih lanjut mengenainya pada 22 Mac nanti. Nantikan laporan dari kami mengenainya kelak.