OnePlus Nord N10, telefon 5G paling murah akan dijual Malaysia

OnePlus Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan telefon pintar 5G mampu milik mereka, OnePlus Nord N10 5G. Malah, ia akan menjadi telefon pintar 5G paling murah boleh dibeli di Malaysia.

Harga rasmi untuk OnePlus Nord N10 5G di Malaysia, telah ditetapkan kepada RM1,199. Tetapi OnePlus menawarkan promosi hari pertama jualan, di mana anda boleh membelinya dengan diskaun sebanyak RM200, menjadikan harganya cuma RM999 sahaja, di bawah RM1,000!

Jualan hari pertama OnePlus Nord N10 5G akan diadakan pada 27 Mac 2021, pukul 12 tengah malam secara eksklusif di Stor Rasmi OnePlus di Lazada. Hanya ada satu warna dihasilkan untuk OnePlus Nord N10 5G, iaitu Midnight Ice, amat mirip dengan biru gelap.

Lebih baik lagi jika anda memiliki kad Citibank, anda boleh mendapat diskaun tambahan RM150 untuk pembelian melebihi RM1,000 di Stor Rasmi OnePlus di Lazada, menggunakan kod CITI1PLUS, dalam stok terhad. Kalau beli OnePlus Nord N10 5G sahaja, tak boleh guna kod promosi ni tapi boleh tambah aksesori OnePlus lain, untuk jadikannya melebihi RM1,000 dan dapat diskaun RM150.

Untuk perbandingan, telefon 5G lain dengan harga menghampirinya adalah seperti Realme 7 5G (RM1,299)Huawei Nova 7 SE (RM1,299), Xiaomi Mi 10T (RM1,699) dan OnePlus Nord (RM1,799).

Spesifikasi

Telefon ini sebenarnya bukanlah model baru kerana ia telah dilancarkan pada bulan Oktober tahun lepas. Tetapi baru kali ini ia akan dijual di Malaysia.

OnePlus Nord N10 dikuasakan cip Snapdragon 690 5G 8nm, bersama RAM LPDDR4x 6GB dan storan UFS 2.1 128GB. Kad mikroSD diterima sehingga 512GB di dalam slot hibrid, di samping dua slot untuk kad sim nano.

Skrinnya dari jenis LCD HD Penuh, berukuran 6.49-inci dan berkadar penyegaran 90Hz. Kaca Corning Corilla Glass 3 digunakan di lapisan luarnya. Pengimbas capjari terdapat di belakang telefon dan ia juga ada speaker stero.

Telefon ini memiliki empat kamera belakang, menggabungkan kamera utama 64MP F1.79, kamera ultra lebar 8MP F2.25, kamera makro 2MP F2.4 dan kamera monokrom 2MP F2.4. Kamera hadapan yang terletak di dalam lubang di atas skrin, menggunakan sensor 16MP F2.05.

Bateri berkapasiti 4,300mAh dipasang di dalamnya dan ia menyokong pengecasan pantas Warp Charge 30T USB-C, boleh mengisi sehingga 67% dalam masa 30 minit sahaja. Sistem operasi OxygenOS menjadi penggerak utama perisian, tetapi masih berasaskan Android 10.