Selepas Twitter, Facebook pula wujudkan ruang audio seperti Clubhouse

Facebook mengesahkan bahawa mereka sedang mengusahakan ciri audio yang dilihat iras aplikasi Clubhouse.

Melalui satu perkongsian di Twitter oleh pembangun mudah alih Alessandro Paluzzi, dia menunjukkan beberapa tangkap layar ciri bilik audio yang sedang dibangunkan oleh Facebook.

Paluzzi menemui ciri ini apabila dia menggunakan kod untuk membongkar produk yang belum dikeluarkan dan berada dalam proses pembangunan.

Melalui tangkap layar ini, dapat dilihat ada pilihan untuk pengguna mencipta satu ruang bilik dan ciri itu diletakkan sebaris dengan stories.

Setelah memilih create room, akan ada pula 3 pilihan bilik iaitu pertama live audio yang membolehkan pengguna mencipta satu ruang bilik audio siaran langsung untuk pendengar umum.

Kedua ialah audio, pilihan untuk mencipta bilik audio peribadi dan hanya kawan boleh menyertainya. Manakala ketiga ialah video, bilik video peribadi untuk moderator bersama kawan sahaja.

Selain itu, Alessandro turut berkongsi tangkap layar bilik audio ini apabila sedang bersiaran langsung. Pengguna lain akan dapat lihat tajuk perbincangan, jumlah individu yang bercakap dan jumlah pengguna yang mendengar.

Sama seperti aplikasi Clubhouse, pengguna dapat lihat tajuk, jumlah pendengar dan berapa individu yang bercakap.

Di dalam ruang audio juga ada disediakan Room Link, pengguna boleh kongsi pautan bilik itu kepada pengguna Facebook lain sama ada melalui Messenger, feed atau dalam Facebook Group.

Sementara itu, melalui tangkap layar yang dikongsikan Alessandro juga terdapat gambar Mark Zuckerberg yang mewakili profil pengguna. Moderator dan pengguna yang bercakap di tempatkan pada bahagian atas manakala pendengar muncul di bahagian bawah dan ini iras seperti Clubhouse. Disediakan juga butang share dan like pada bahagian bawah.

Walapun begitu, pembaharuan ini masih dalam proses penyediaan. Setiap apa yang sedang di uji ini boleh sahaja berubah apabila ia dilancarkan nanti. Namun, tangkap layar ini sekurang-kurangnya mampu memberi gambaran ciri bilik audio yang sedang dirancang di Facebook.

Sebelum ini, Twitter juga ada mewujudkan ruangan audio yang dikenali sebagai Spaces. Ia membolehkan pengguna Twitter untuk bersembang masa nyata melalui suara, konsep yang serupa dengan ClubHouse.

[Sumber: TechCrunch]