Jemputan untuk terima vaksin COVID-19 Fasa 2 bermula 5 April 2021

Dalam satu sidang media berkisarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairy telah berkongsikan kemas kini program tersebut setakat 29 Mac 2021.

Tentang pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19

Seramai 7,235,436 rakyat Malaysia telah mendaftarkan minat untuk menerima vaksin COVID-19 sehingga 28 Mac 2021 yang lalu.

Sumber

Ia melambangkan 35% daripada sasaran kearah keimunan kelompok. Menurut YB Khairy, ia satu pertumbuhan yang menggalakkan. Daripada jumlah tersebut, seramai 2 juta individu yang tergolonga dalam Fasa 2 telah dikenal pasti.

Kerajaan menetapkan 9 juta individu yang tergolong dalam Fasa 2 menerima vaksin COVID-19. Buat 2 juta yang telah mendaftar, JKJAV sedang menganalisis data tersebut untuk tujuan pengkelasan mengikut kedudukan geografi.

Selepas itulah baru diputuskan sama ada Pusat Pemberian Vaksin tambahan perlu diwujudkan ataupun tidak.

YB Khairy juga ditanya tentang kemungkinan golongan Fasa 2 lakukan pendaftaran lewat, contohnya sewaktu Fasa 3 sedang berjalan. Beliau menjawab yang akan ada algoritma khas beroperasi untuk mengoptimumkan giliran penerimaan vaksin kepada peserta ini.

Kerajaan sedang meneliti data 2 juta itu dalam proses pengkelasan mengikut kedudukan geografi sebelum merangka proses pemvaksinan yang paling sesuai, sama ada perlu membuka pusat pemberian vaksin yang baru ataupun tidak.

Bila fasa 3 berjalan kelak, golongan yang lewat mendaftar, tapi berada dalam kategori fasa 2, satu algoritma khas akan digunakan untuk mempercepat penerimaan vaksin padanya.

Tentang penyuntikan vaksin COVID-19

Daripada segi orang yang dah terima vaksin, Malaysia telah edarkan 580,765 dos vaksin. Daripada jumlah tersebut, 451,665 dikategorikan sebagai dos pertama manakala selebihnya ialah dos kedua.

Sumber

JKJAV melaporkan yang seramai 129,110 individu telah melengkapkan program imunisasi COVID-19 namun, ia masih jauh daripada sasaran awal 500,000. Malah, kerajaan telah mempertingkat sasaran imunisasi Fasa 1 kepada 647,398 dan mereka perlu mencapai angka tersebut dalam tempoh 2 minggu dairpada 29 Mac 2021.

Fasa 2 pemberian vaksin akan bermula 19 April 2021

Jemputan untuk terima vaksin COVID-19 buat individu dalam Fasa 2 akan mula dibuat 5 April 2021. Penerima vaksin dalam golongan ini akan diberikan notis 2 minggu sebelum tarikh janji temu.

Fasa 2 penerima vaksin COVID-19 meliputi golongan warga emas, penghidap penyakit kronik, dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kerajaan kini sedang mempertimbang mekanisme terbaik untuk memberi vaksin kepada orang bukan warganegara sepeperti pekerja kedutaan, pendatang dengan izin/tanpa izin, dan pelajar. JKJAV juga telah menerima tawaran daripada PBB untuk bekerjsama dan ia telah diangkat untuk perbincangan dalam kalangan Jemaah Menteri.

Tentang pembelian vaksin oleh pihak swasta

Kerajaan akan berbincang dengan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta. Andaiannya ialah untuk benarkan pihak swasta dapatkan vaksin sendiri dan jualnya.

Ia ditujukan pada golongan yang sanggup keluarkan belanja untuk dapatkan vaksin terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, kerajaan mengingatkan yang tidak semestinya orang “berada” mampu dapatkan vaksin kerana pengeluaran vaksin COVID-19 sekarang masih didominasi pelanggan langsung dari pentadbiran sesebuah negara. Paling awal pun suku ketiga 2021.