Mi 11 Lite: Nipis pada rupa, tebal pada gaya

Mi 11 Lite adalah telefon 5G paling nipis menurut pengeluarnya. Ia dilancarkan bersama-sama dua lagi saudaranya iaitu Mi 11 Ultra dan Mi 11 Pro. Cuma setebal 6.81mm dan berat 157g, ia tetap tidak lakukan kompromi pada spesifikasinya.

Spesifikasi Mi 11 Lite

Dengan ruang yang terhad, pengeluar telefon ini berupaya menempatkan bateri 4,250mAh. Untuk mengisi bateri tersebut, ia dibekalkan blok pengecas 33W.

Di bahagian muka, ia ada paparan FHD+ sebesar 6.55” daripada panel AMOLED dengan refresh rate 90Hz. Bingkainya nampak tekal ketebalannya di setiap sisi, satu penambahbaikan yang baik daripada Xiaomi.

Atas papan utama, ia ada SoC Snapdragon 732G, cip yang sama boleh anda temui pada Poco X3 NFC dan juga Redmi Note 10 Pro. Varian yang menyokong rangkaian 5G pula digerakkan SoC Snapdragon 780G.

Buat pasaran Malaysia, kita akan terima Mi 11 Lite yang ada RAM 8GB dan storan 128GB.

Beralih ke bahagian pengimejan, ia ada komponen kamera yang biasa-biasa, relevenlah dengan keadaan sekarang. Belakangnya dilengkapi 3 kamera dengan kombinasi 64MP, 8MP (ultralebar), dan 5MP (telemakro). Bahagian depan ada kamera selfie 16MP.

Ciri-ciri menarik yang lain adalah seperti speaker stereo, jek audio 3.5mm, Wi-Fi 5, Bluetooth 5.1 dan GPS dwifrekuensi

Harga Mi 11 Lite

Tak seperti dua Mi 11 yang dilancarkan bersamanya, Mi 11 Lite sudahpun ada tarikh pelancaran dalam pasaran Malaysia. Sekiranya anda berminat, ia mula dijual 6 April 2021 pada harga RM1,199.

500 pembeli terawal akan menerima hadiah Mi Ionic Hair Dryer, Mi True Wireless Earbud Basic 2, dan Mi Watch Lite, semuanya berjumlah RM517.