Jam Garmin Enduro dengan hayat GPS 80 jam sudah tiba di Malaysia

Peminat kecergasan di Malaysia yang memerlukan peranti dengan hayat bateri yang amat panjang, kini boleh mendapatkan jam GPS berprestasi tinggi, Garmin Enduro. Ia bukan sahaja mampu memantau pelbagai tahap kecergasan diri pengguna, malah ia memiliki hayat bateri untuk penggunaan sehingga 65 hari.

Garmin Malaysia mengumumkan bahawa jam Garmin Enduro dijual di Malaysia pada harga RM3,699 dan boleh dibeli bermula 5 April 2021. Ia boleh didapati dari Stor Garmin di Lazada, Shopee, AECO e-store dan semua pengedar sah Garmin.

Badan jam Garmin Enduro diperbuat daipada besi dan ia menggunakan tali nilon UltraFit, menjadikan ia sangat ringan dan tahan lasak. Dengan cas penuh, Garmin Enduro boleh memberikan hayat bateri dengan GPS aktif sehingga 70 jam. Hayat ini boleh menjadi lebih panjang dengan bantuan pengecasan Solar yang terdapat padanya, menjadikan masa penggunaan bersama GPS sehingga 80 jam.

Jam ini direka untuk perlumbaan dan latihan jangka panjang, bagi menguji daya tahan diri pengguna yang lama. Antara pemantau dan sensor yang terdapat pada Garmin Enduro adalah VO2 Max, ClimbPro bagi peminat pendakian, Rest Time untuk pemantauan waktu rehat, Mountain Biking dan Recovery, satu perkara penting sebelum memulakan aktiviti seterusnya.

Sistem penjejak lokasi di Enduro dihubungkan melalui pelbagai satelit di angkasa seperti GPS, GLONASS dan GALILEO. Ia juga dibina bersama sensor ABC iaitu Altimeter untuk data ketinggian, Barometer untuk cuaca persekitaran dan Compass bagi arah petunjuk.

Sedikit sebanyak, Garmin Enduro dilihat memiliki ciri-ciri yang hampir sama dengan jam Garmin Fenix 6s Pro Solar yang kini berharga RM3,950. Walaupun Enduro tidak secanggih Fenix 6s Pro Solar seperti tiada WiFi serta storan untuk muzik dan peta, ia memiliki hayat bateri yang jauh lebih panjang.