Perkembangan vaksin COVID-19 #3: Kelayakan warga asing divaksinasi & Ketibaan Vaksin CanSino

Antara kupasan pada kali ini ialah bagaimana anda akan tahu jika anda mempunyai janji temu untuk suntikan vaksin? Boleh ke individu bukan warganegara mendapat vaksin pada fasa 2? Vaksin CanSino satu dos akan tiba di Malaysia dan pelbagai kupasan lain lagi.

1. Vaksin CanSino akan tiba bulan April 2021

Menteri kesihatan Dr Adham Baba ada mendedahkan bahawa vaksin CanSino Covid-19 dari China akan tiba pada bulan April 2021. Ini adalah satu-satunya vaksin Covid-19 dalam portfolio KKM yang cuma perlu satu dos untuk lengkapkan program pemvaksinan.

Ia sangat berguna untuk penerima di lokasi yang sukar untuk dicapai pihak KKM terutamanya di luar bandar dan boleh digunakan untuk vaksinasi warga asing.

2. 95% tiada kesan sampingan setelah di vaksin

Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa ada 25,770 kes kesan sampingan pasca vaksinasi. Ia melambangkan cuma 5% daripada individu yang telah divaksinkan. Baki 95% tidak mengalami kesan sampingan.

Dari 25,770 itu, 99.5% hanya mengalami simptom ringan sementara 0.5% lagi telah ditahan di wad untuk pemantauan tetapi semuanya sudah dibenarkan pulang.

3. Tindakan tegas terhadap penyebar berita palsu di media sosial

Menteri kesihatan telah memberi amaran kepada pengguna media sosial yang sengaja menyebarkan maklumat salah mengenai kesan sampingan negatif atau kematian yang disebabkan oleh vaksin Covid-19.

Di bawah undang-undang anti berita palsu yang baru, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100 ribu kerana berkongai berita palsu tentang Covid-19.

4. Suntikan fasa 2 bermula pada 19 April di 8 Negeri

Malaysia akan mula memvaksinasi individu di bawah fasa 2 bermula 19 April di 8 Negeri. Ini termasuklah Kedah, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan. Negeri-negeri lain akan mula beberapa hari selepas itu. Penerima yang layak akan diberitahu melalui MySejahtera sekurang-kurangnya 14 hari lebih awal sebelum vaksin.

5. Orang asing boleh dapat vaksin pada fasa 2

Seorang pensyarah warganegara Jepun yang berkhidmat di Malaysia ada menghantar ciapan kepada Khairy Jamaluddin bertanya bagi pihak rakannya, bila rakannya yang juga warga Jepun akan terima vaksin. Rakannya itu seorang senior dan menghidap penyakit.

Dalam jawapannya, Khairy mengatakan rakan individu itu akan diberi vaksin pada fasa 2. Jadi, bagi mereka yang telah mendaftar dan layak terima suntikan pada fasa 2, nantikan pemberitahuan di aplikasi MySejahtera.

6. Vaksinasi & pendaftaran

Sehingga 6 April 2021 jam 23:59 malam. Malaysia telah memberikan 862,445 jumlah dos vaksin kepada individu. 328,254 individu telah menyelesaikan 2 dos program pemvaksinan.

Selangor mendahului dengan 41,043 individu selesai vaksinasi diikuti Perak sebanyak 34,035 dan Sabah 33,814 individu selesai di vaksinasi.

Dari segi pendaftaran, sejumlah 8,154,590 individu telah mendaftar. Ia mewakili 33.6% daripada jumlah penduduk yang disasarkan. Sabah masih mempunyai kadar pendaftaran terendah hanya 12.90% diikuti Kelantan 20.70%. Manakala kadar tertinggi pendaftaran ialah Putrajaya iaitu 92%.