8 syarikat dijemput sertai bidaan 5G Malaysia, antaranya Ericsson, Nokia, Huawei dan Samsung

Malaysia telah menetapkan sasaran untuk melancarkan perkhidmatan 5G pada akhir tahun 2021. Satu syarikat tujuan khas (SPV) ditubuhkan kerajaan untuk mengendalikannya, dikenali sebagai Digital Nasional Berhad (DNB). Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi menyatakan baru-baru ini bahawa DNB akan mengumumkan pembukaan tender tidak lama lagi, dijangka bernilai RM15 bilion.

Menurut laporan The Edge, DNB telah menjemput sebanyak 8 syarikat telekomunikasi iaitu Ericsson, Huawei, ZTE, Cisco, NEC, Nokia, Samsung dan FiberHome untuk menyertai tender infrastruktur 5G. Mereka telah diminta untuk memberikan pandangan dalam pembangunan rangkaian 5G kebangsaan dan mencadangkan penyelesaian menyeluruh untuknya, dari hujung-ke-hujung.

Dilaporkan juga, DNB menekankan kepentingan penyertaan pihak tempatan di dalam syarikat multinasional serta pihak pengurusan tender yang ketat telah ditetapkan, untuk memastikan kawalan yang tepat termasuk proses yang telus dan akan dipantau oleh jawatankuasa tender. Vendor akan akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuk kecekapan teknikal, kemampuan untuk berintegrasi dengan syarikat telekomunikasi sedia ada, penyelesaian pembiayaan yang inovatif dan kemampuan untuk menyokong pembangunan vendor tempatan.

Sumber The Edge yang lain pula menyebut, proses tender dijangka selesai pada pertengahan tahun ini dan syarikat yang dilantik akan memulakan kerja pemasangan 5G sejurus selepas itu. DNB dikhabarkan mahu mensasarkan Putrajaya, Cyberjaya dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dengan liputan 5G menjelang akhir tahun ini. Liputan lebih meluas di 17 bandar utama di Malaysia akan dilakukan pada tahun 2022 dan 2023.

Ketua Pegawai Operasi DNB iaitu Ralph Marshall, adalah bekas pegawai eksekutif tertinggi di Astro dan Maxis. Manakala Dato’ Asri Hamidon, adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan . Dipercayai, mereka telah menyiapkan senarai pasukan pihak pengurusan DNB, dibarisi veteran dan senior dalam bidang telekomunikasi.

Walaupun DNB adalah syarikat berkaitan kerajaan, Menteri Kewangan Tengku Zafrul telah menyatakan bahawa bahawa RM15 bilion diperlukan untuk membangunkan 5G dalam masa 10 tahun dan ia akan dibiayai secara persendirian, bukan dari kerajaan. Dalam temubual Ralph Marshall bersama The Star, dia menyatakan bahawa DNB menjangkakan pelaburan sebanyak 25% dari RM15 bilion akan dilaburkan pada 2 tahun pertama, 15 ke 20% dalam tahun seterusnya dan peratus ini akan menurun pada tahun berikut.

Berbeza dengan cara spektrum rangkaian diberikan sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional kali ini telah memutuskan untuk menganugerahkan spektrum 5G di dalam jalur 700MHz, 3500MHz dan 28GHz, semuanya kepada DNB. Langkah ini dikatakan akan menurunkan kos berkaitan bidaan dan mempercepatkan lagi proses pembangunan 5G.

Sebagai hasilnya, syarikat telekomunikasi sedia ada termasuk Maxis, Celcom, Digi, TM, U Mobile dan Yes, akan menawarkan perkhidmatan 5G menerusi perjanjian borong bersama DNB. Menurut SKMM, langkah ini akan mengurangkan beban pelaburan 5G kepada syarikat telekomunikasi dan mereka boleh memberi lebih tumpuan untuk meningkatkan liputan 4G di dalam pelan JENDELA.

SKMM telah memberi jaminan bahawa proses ini akan telus dan DNB akan dilayan sama seperti syarikat telekomunikasi lain. Bermakna, DNB masih perlu mematuhi Piawai Wajib Untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) atau berhadapan dengan denda dan kompaun.

Suruhanjaya ini juga baru mengumumkan Siasatan Awam untuk mengkaji semula MSQoS. Antara cadangan untuk diperbaiki adalah kelajuan fiber mestilah 90% dari langganan bagi 90% sepanjang masa dan kehilangan paket tidak lebih dari 0.5% bagi fiber, dan kelajuan internet TDD dan FDD tidak kurang dari 2.5Mbps 90% masa dan kelajuan wayarles tetap tidak kurang dari 25Mbps 90% masa. Orang awam dan pihak berkaitan dijemput memberi maklumbalas kepada SKMM selewat-lewatnya pada 12 tengah hari, pada 4 Jun 2021.

[Sumber: The Edge]