Dos kedua vaksin COVID-19 AstraZeneca akan diberikan 12 minggu selepas dos pertama

JKJAV menetapkan yang dos kedua vaksin COVID-19 AstraZeneca akan diberikan 12 minggu selepas dos pertama untuk sesiapa yang telah menyertai kempen pemvaksinan vaksin jenama tersebut.

Menurut penyelarasnya, YB Khairy, 12 minggu adalah saranan Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga sedang diamalkan di United Kingdom.

Namun begitu, pihak JKJAV juga menerima permohonan untuk mendapatkan dos kedua lebih awal dan akan menilai secara kes-demi-kes. Contoh kes yang akan dipertimbangkan ialah yang perlu menunaikan haji ataupun pelajar yang perlu ke luar negara untuk mengikuti pengajian.

Untuk maklumat anda, AstraZeneca telah dikeluarkan daripada portfolio Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada hujung April 2021. Walau bagaimanapun, ia tetap diberikan kepada orang ramai secara siapa cepat dia dapat untuk mengelakan pembaziran.

Lebih 400 ribu slot pengambilan vaksin telah habis ditempah kurang 4 jam daripada penawaran dan ia mewakili semua dos yang tiba di Malaysia baru-baru ini. Untuk dos kedua, JKJAV akan menggunakan 1.1 juta dos yang akan tiba bulan Mei 2021 menerusi inisiatif COVAX yang kita sertai.

Sumber: MalayMail, Gambar Pemuka