Pek Movie Astro naik harga untuk tambah akses ke Disney+ Hotstar

Selain ketibaan Disney+ Hotstar ke Malaysia, Astro turut sama mengumumkan bahawa mereka telah dilantik oleh The Walt Disney Company sebagai pengedar rasmi Disney+ Hotstar di Malaysia. Dengan ini, Astro akan kembali menyiarkan kandungan Disney di platform mereka, setelah ia ditamatkan penyiaran pada akhir tahun lepas.

Pelanggan Astro berpeluang menonton lebih daripada 800 filem dan 18,000 kandungan episod Disney di aplikasi Disney+ Hotstar. Astro juga berusaha untuk menyediakan kandungan Disney+ Hotstar menerusi kotak Ultra dan Ulti pada tahun ini, untuk memberikan kemudahan hiburan sehenti kepada pelanggan Astro.

Pek Movie Astro naik harga

Sehubungan itu, Astro akan menaikkan harga pek Movie sebanyak RM5 bermula 1 Jun 2021. Pelanggan pek Movie akan dapat menghubungkan akaun Astro mereka, untuk membolehkan mereka menonton semua kandungan di Disney+ Hotstar.

Untuk mengaktifkannya, ia boleh dilakukan mengikut langkah seperti berikut:

  1. Layari laman web pengaktifan Disney+ Hotstar di Astro: https://astro.com.my/Disney/activate.
  2. Daftar masuk menggunakan ID Astro anda dan ikuti langkah-langkah pengaktifan yang disediakan.
  3. Selepas berjaya diaktifkan, muat turun aplikasi Disney+ Hotstar atau pergi ke laman web https://disneyplushotstar.my dan daftar masuk menggunakan nombor telefon yang sama.
  4. Anda boleh mula menonton kandungan Disney+ Hotstar di aplikasi atau laman web.

Jika anda pelanggan Astro tetapi tidak melanggan pek Movie, anda ada 2 pilihan untuk mendapatkan akses ke Disney+ Hotstar. Pertama dengan melanggan pek Movie dengan harga baru dan kontrak 12-bulan. Kedua melanggan Disney+ Hotstar secara berasingan tanpa kontrak.

Disney+ Hotstar sendiri ditawarkan di Malaysia dengan harga langganan RM54.90 untuk 3 bulan, bersamaan RM18.30 sebulan. Bagaimanapun, ia tidak boleh dilanggan untuk sebulan sahaja.

Disney+ Hotstar boleh ditonton menerusi pelbagai platform seperti telefon pintar dan tablet Apple dan Android, TV Pintar dan di komputer. Satu akaun Disney+ Hotstar boleh ditonton serentak di dua peranti atau platform.

Disney+ Hotstar menyediakan kandungan eksklusif keluaran Disney dari siri Disney sendiri, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic, dan banyak lagi. Antaran siri eksklusif yang hangat di pasaran masakini ialah Star Wars Mandalorian, Marvel Wandavision serta Marvel The Falcon & Winter Soldier.

Selain itu, Disney+ Hotstar turut menyediakan kandungan tempatan untuk menarik lebih ramai pelanggan. Antara filem yang boleh ditonton adalah seperti J2: J Retribusi, Ejen Ali The Mvoie, KL Special Force, Zombitopia dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran Disney+ Hotstar di Astro ini, layari laman web astro.com.my/disney. Semak juga terma dan syarat di sini.